Tuesday, August 25, 2009

Kenapa hati perlu didahulukan dan iman diutamakan.


Secara fitrah atau secara alami manusia dikawal oleh beberapa mekanisme yang bersifat metafizik iaitu akal, perasaan atau emosi dan nafsu. Antara organ yang dikaitkan dengan fungsi akal ialah otak, manakala perasaan dan nafsu sukar dikenali di mana ia bertapak. Hati dalam pengertian metafizik bukanlah hati (jantung atau liver) yang dikenali secara anatomi itu. Sementara nafsu juga bersifat non-fizik kerana ia lahir daripada keinginan-keinginan naluri seumpama dorongan untuk makan minum dan seksual.

Kesemua yang dibicarakan ini adalah unsur ruhaniah daripada diri manusia. Oleh itu ia tidak mudah difahami. Oleh kerana tabir ruh tidak dibuka seluas-luasnya kepada manusia, maka kita memerlukan pengertian dan kefahaman berasaskan bimbingan agama. Namun begitu kemajuan di bidang sains, psikologi turut memudahkan kita memahami aspek-aspek ini, insyaALlah.

Akal adalah satu kelebihan yang ada pada manusia dan tidak ada pada haiwan. Akal adalah satu mekanisme yang membantu manusia mengenali, memahami, berfikir dan menjana maklumat. Inilah kelebihan manusia kerana manusia dibekalkan Tuhan dengan akal, iaitu sebuah penjana tenaga maklumat yang sangat besar kuasanya. Bayangkan bagaimana kekuatan akal telah menjadikan dunia ini begitu maju dengan segala pencapaian sains dan teknologinya.

Sementara hati pula adalah satu institusi yang juga penting selain akal. Hati berfungsi menampung maklumat-maklumat samawi (maklumat tentang hal-hal ghaib dan ketuhanan). Hati juga dibekalkan dengan getaran-getaran emosi yang menjadikan hidup ini indah dan bahagia. Hati menjadikan kita dapat merasa. Hembusan angin mungkin sekadar menyejukkan wajah dan tubuh kita, tetapi hembusan angin yang sama menjadikan kita merasa sangat enak, sangat indah, sangat nyaman dan membahagiakan. Mata kita mungkin terpukau melihat pelangi berwarna-warni di kaki langit, tetapi hati merasakan pelbagai emosi ketika melihat pelangi yang indah itu. Perasaan kagum, rasa terharu, indah, sayu, dan pelbagai lagi adalah kesan dari hati, bukan dari mata.

Sementara itu nafsu dapat dilihat dengan jelas pada zaman kanak-kanak. Mereka akan menangis apabila kelaparan atu kehausan. Keperluan kepada makan minum telah sedia wujud sejak bayi lagi. Apabila semakin besar, berkembang pula nafsu lain seperti keinginan untuk memiliki, kemudian keinginan seksual tumbuh apabila umur baligh. Nafsu secara alami adalah elemen penggerak kepada kehidupan. Ia menjadikan hidup manusia berkembang dan maju. Namun begitu nafsu adalah satu unsur yang perlukan kawalan kerana ia tidak boleh dibiar berkembang secara sendiri. Walaupun matlamat kewujudan nafsu adalah unduk kedinamikan manusia namun sekiranya dibiar tanpa kawalan ia akan menjadi rosak dan memusnahkan kehidupan manusia.

Tuhan yang menciptakan manusia dengan ketiga-tiga elemen ruhaniah ini, telah mendidik manusia supaya memahami dan mengenali ketiga-tiga unsur ini, dan memeliharanya dengan baik demi kemanfaatan hidup manusia dan juga kehidupan alam ini. Tuhan menurunkan agama untuk tujuan pendidikan tersebut.

Menjaga akal adalah antara maslahah agama. Akal perlu dijaga supaya tidak rosak. Sebab itu perbuatan yang merosakkan akal seperti arak, dadah dan sihir dilarang kerana ia boleh merosakkan akal waras manusia. Dalam waktu yang sama akal disuburkan dengan ilmu, sebab itu kita diperintah menuntut ilmu, membaca dan berfikir kerana semua itu adalah aktiviti yang akan menajamkan akal. Ketajaman akal pelu untuk memakmurkan alam ini.

Ketiga-tiga unsur ini akan setiasa berusaha mendominasi antara satu lain. Untuk kesejateraan hidup manusia, ketiga-ketiga unsur ini perlu seimbang dan hati perlu dijadikan tempat rujukan atau pusat kawalan. Akal apabila ia sudah maju, ia mudah dipengaruhi oleh nafsu kerana nafsu sentiasa cenderung membawa manusia kepada kerosakan. Nafsu sangat bijak menggoda akal. Walaupun akal adalah lambang kebijaksanaan namun ia dapat dikuasai oleh nafsu yang lebih licik lagi. Akal waras akan tunduk dan mengalah kepada nafsu sekiranya ia tidak dibimbing oleh hati.

Hanya hati yang dapat mengawal kedua-dua ini. Hati akan selalu memberikan pertimbangan yang benar kerana hati adalah pancaran ketuhanan. Hati tempat bermukimnya iman, taqwa, dan semua sifat-sifat mahmudah. Namun begitu hati juga dapat dikotori oleh sifat-sifat mazmumah seperti angkuh, sombong, hasad, riak dan lain-lain, sekiranya ia lemah dan dapat dikuasai oleh nafsu.

Baik hati mahupun akal dan nafsu, kesemuanya terdedah kepada pengaruh-pengaruh di luar. Hati lebih sensitif dan terdedah kepada pengaruh langit. Cahaya ketuhanan terpancar di hati bukan di akal. Oleh itu cahaya ketuhanan itu perlu dimanfaatkan untuk menguatkan hati. Agama diturunkan untuk mengukuhkan hati, menggilap kekuatannya. Iman yang kuat di hati akan menjamin hati yang sejahtera. Perkataan Islam itu sendiri merujuk kepada maksud kesejahteraan di dalam hati. Kesejahteraan ini dipancarkan daripada emosi-emosi sihat dan positif seperti redha, syukur, tenang, sabar, tawakkal dan ikhlas. Sebaliknya hati yang tiada iman akan dipenuhi emosi-emosi negatif dan merosakkan seperti sombong, hasad, riak, amarah, ujub, resah, risau, murung dan lain-lain.

Oleh itu hati adalah elemen yang sangat perlu dijaga, diawasi dan dimantapkan. Hati yang bersih, bercahaya adalah hati yang dipenuhi iman dan taqwa. Hati yang begini yang dapat mengawal, menjaga dan mentadbir diri manusia. Ia akan mengawal kebijaksanaan akal dan mengawasi kelicikan nafsu. Nafsu akan dijinak dan ditundukkan supaya patuh kepada hati. Proses pendidikan nafsu ini akan berakhir dengan ia menjadi nafsu yang jinak, nafsu yang baik dan mampu meningkat darjatnya ke tahap nafsu yang mulia. Inilah yang disebut sebagai peningkatan daripada nafsu ammarah kepada nafsu lawwamah, kepada nafsu mulawwamah dan kepada nafsu mutmainnah.

Dalam keadaan lain, hati yang tiada kekuatan iman, ia tidak mampu mengawasi dan mengawal nafsu. Nafsu akan mempengaruhi akal dan melakukan perbuatan jahat. Akal yang terpengaruh oleh nafsu akan sentiasa memberikan justifikasi baik dan menyokong kehendak nafsu. Akhirnya manusia terjebak ke dalam kerosakan dan kejahatan. Nafsu yang bebas tdak dikekang akhirnya akan membinasakan tuannya sendiri. Nafsu yang tidak terkawal akan menjadikan akal semakin lemah dan hati semakin gelap. Keadaan inilah yang menjadikan orang yang jahat bertambah kejahatannya, yang sesat semakin jauh kesesatannya.

Kita melihat bagaimana orang berubah daripada jahat menjadi baik apabila hatinya yang gelap tersentuh cahaya petunjuk Tuhan. Sentuhan itu akan membukakan jendela hatinya untuk insaf, sedar dan bangun berubah. Inilah proses yang dialami oleh orang-orang yang kembali bertaubat, berubah dan berhijrah daripada kejahatan kepada kebaikan. Hati yang mula bercahaya digilap lagi hingga cahayanya semakin terang. Ketika itulah ia mula memancarkan semula emosi-emosi positif seperti tenang, damai, sabar, syukur dan sebagainya. Hidup keseluruhannya akan kembali membaik apabila hatinya sudah kuat.

(Alam akan kelihatan indah, apabila dipandang dengan hati yang bersih).

No comments:

Post a Comment