Sunday, August 30, 2009

Di ambang merdeka


Rencana ini ditulis ketika kita sedang berada di ambang merdeka. Siaran tv menyiarkan pelbagai program berupa iklan, lagu-lagu patriotik, rencana dan drama bertemakan kemerdekaan. Semuanya bertujuan membangkitkan emosi untuk mengingat kembali detik-detik kemerdekaan. Besok adalah hari kemerdekaan Malaysia ke-52.

Setiap tahun kita menyambut ketibaan tarikh kemerdekaan negara 31 Ogos 1853, penuh emosi, penuh bersemangat, penuh aktiviti. Namun akhir-akhir ini kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran semasa, cabaran baru yang boleh dikaitkan dengan erti kemerdekaan itu sendiri. Semua ini menuntut kita kembali merenung, berfikir dan mencari formula-formula bernas untuk memberikan makna dinamik kepada kmerdekaan itu sendiri.

Merdeka daripada cengkaman penjajah adalah satu perkembangan politk yang membolehkan kita mentadbir dan menguruskan negara dengan acuan sendiri. 50 tahun adalah umur dewasa bagi kemerdekaan, bermakna kita telahpun melalui detik-detik hidup menjadi dewasa, matang dan berpengalaman. Pada umur manusia, 50 tahun adalah umur yang cukup matang dan cukup dewasa.


(Apalah erti kemerdekaan pada penghuni di sini)

Cabaran semasa adalah cabaran mengisi kemerdekaan dan cabaran kejayaan mengisi kemerdekaan tersebut. Diukur daripada pencapaian fizikal, pembangunan negara telah melalui pelbagai zaman, yang dianggap cemerlang. Kemajuan literasi telah membolehkan Malaysia melahirkan generasi celik huruf, terpelajar. Bermula pada tahun 60an dengan sebuah universiti, kini 40 tahun kemudian kita sudah memiliki berpuluh buah univeriti tidak termasuk milik swasta. Kejayaan itu turut melonjakkan kemajuan ekonomi di mana taraf hidup meningkat maju. Rata-rata rakyat hidup selesa dan makmur dengan segala kemudahan prasarana. Kemajuan ICT yang menjadi ukuran kemajuan zaman moden menunjukkan kita berada di kelompok atas berbanding dengan negara-negara membangun lain.

Kemajuan-kemajuan di atas nampaknya tidak juga menjadikan kita bangsa yang boleh mengekalkan tempo hidup 'bebas' dalam erti kata hidup bebas dan sejahtera. Kemajuan-kemajuan di atas akhirnya telah membawa kita kepada suatu situasi yang tidak mengembirakan apabila hidup kita kini diancam oleh perpecahan politik yang sangat ketara, jenayah yang tinggi, moral yang rendah, konflik sosial yang tidak berkesudahan, toleransi yang rapuh dan perebutan kek ekonomi yang masih belum juga selesai.

Kerajaan melaungkan slogan perpaduan, kini dengan slogan 1 Malaysia. Kita pun terfikir, teruk sangatkah keadaan perpaduan kaum di negara kita? Masih rapuhkan toleransi kaum di negara ini? Atau hanya fenomena politik yang cenderung mengeksploitasi isu-isu sedemikian untuk meraih sokongan kaum? Sedarkah kita politik Malayisa masih lagi berteraskan politik suku kaum, di mana kebanyakan parti-parti politik cenderung memperjuangkan kepentingan kaumnya? Hal-hal sensitif seperti ehwal agama masih menjadi perkara-perkara sensitif yang boleh menjadi bom jankga yang merbahaya.

Sikap ekstrim walaupun tidak dapat diterima di sebuah negara demokrasi, masih dapat dikesan wujud dalam tindak-tindak berpolitik. Keinginan berkuasa menyebabkan badan-badan politik sanggup melakukan pelbagai pendekatan ekstrim. Kini demonstrasi jalanan sudah membudaya. Hari ini ia nampaknya menjadi pilihan dan pendekatan parti-parti pembangkang. Tidak mengira parti mana, apabila ia menjadi pihak pembangkang, ia akan mengambil pendekatan ini. Hari ini parti A menjadi pemerintah ia akan ditentang habis-habisan, apabila bertukar pemerintah, parti A menjadi pembangkang, ia juga akan melakukan perkara yang sama, ia pula akan menentang parti B yang memerintah habis-habisan.

Tingkah-laku dan adab berpolitik di Malaysia hari ini sudah jauh melangkaui jangkaan. Kita tidak terfikir orang-orang politik yang mahu menjadi 'pemimpin' sanggup bertindak di luar batas kesopanan kesusilan (mengambil satu prinsip Rukun Negara). Apabila sidang Parlimen diudarakan melaui siaran langsung tv, barulah kita nampak dengan jelas watak-watak jelik 'pemimpin' bersidang di parlimen. Tingkahlaku kebudak-budakan, bertikam lidah tidak lagi berasaskan intelek dan hujah akal, tetapi menonjolkan emosi dan akhlak yang rendah, mencerca, memaki-hamun dan mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar didengar, apa lagi ditonton oleh jutaan rakyat di luar. Mereka lupa bahawa kebebasan parlimen beukan bermakna bebas bercakap dan bersikap 'tidak terpelajar'.

Perkembangan sebegini amat menyedihkan. Dalam mengisi dan menikmati hasil kemerdekaan, kita terjebak ke dalam satu situasi yang membayangkan kita seolah-olah masih tidak lagi merdeka, masih lagi tidak memahami erti demokrasi, masih tidak tahu dan tidak mahu menghormati hak-hak rakyat. Model yang ditunjukkan oleh 'pemimpin' begini sangat hodoh. Rakyat amat kecewa apabila pemimpin yang mereka pilih masih mahu mengekalkan wajah hodoh ini demi berebut kuasa.

Kita seolah-olah berada di ambang fitnah besar, di mana sukar kita meramal bagaimana masa depan dua tiga tahun akan datang, 10 tahun akan datang dan beraabad-abad akan datang. Kita merasakan demokrasi tidak diamalkan sepenuhnya, diamalkan berplih-pilih memihak kepada kepentingan sendiri, kepentingan parti, kepentingan kuasa. Beberapa institusi besar yang kita harap dapat melindungi kesejahteraan hidup kita mula diragui kerana dilihat bertindak tidak adil, memihak, tidak bersikap berkecuali. Jentera di sebalik pelbagai organisasi Kerajaan dibauri oleh imej rasuah, menyebabkan keyakinan kita kepada keupayaan mereka untuk menyumbangkan khidmat dengan jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, semakin hari semakin menurun. Bukti prestasi penyampaian kini boleh kita jadikan hujah bernas. Kenaikan gaji penjawat-penjawat awam nampaknya tidak menunjukkan perubahan sikap yang lebih baik daripada sebelumnya.

Sedarkah kita rasuah, di bidang politik disebut 'politik wang' adalah barah yang akan membunuh kesejahteraan hidup kita semua. Baik di dalam plitik, dalam pentadbiran Kerajaan atau di sektor manapun, rasuah tetap merbahaya, ia tetap 'barah' yang boleh membunuh kita. Mengapa kita memilih rasuah sebagai pilihan kita semasa kita menikmati kemakmuran hasil kemerdekaan? Tanyalah diri sendiri. Amatlah sedih apabila rasuah bersarang di dalam kelompok orang-orang yang beragama, yang agamanya menyebut "penerima dan pemberi rasuah, kedua-duanya dalam neraka".

Apakah kemerdekaan dan nikmat kemerdekaan telah membuka mata kita melihat 'materialistik' sehingga kita lupa kepada aspek ruhaniah, lupakan prinsip-prinsip susila dan prinsip agama? Apakah kita mengukur nikmat kemerdekaan hanya dari indek kereta besar, rumah besar, duit besar dan projek besar? Apakah kuasa yang kita dapat dianggap senjata untuk kita memusnahkan orang lain? Fikirlah sendiri.


(Nikmat kemerdekaan adalah seperti air tasik yang tenang)

Dalam kita bersyukur atas nikmat kemerdekaan ini, ingatlah bahawa nikmat sebenar kemerdekaan ialah apabila kita dapat hidup dengan aman dan makmur, iaitu keadaan di mana kita bebas daripada dua musuh kita iaitu ketakutan dan kelaparan. AlhamdulilLah di segi kemakmuran, kita mungkin dapat mengekalkan keadaan ini, namun dari segi keamanan kita merasa ragu-ragu. Keamanan dari segi kerukunan hidup bermasyarakat masih lagi terjamin, tetapi gejala jenayah yang keterlaluan waktu ini bolehlah dianggap satu cabaran besar kepada kita. Orang merasa tidak selamat tinggal di rumah, tidak selamat di jalan raya, tidak selamat di mana sahaja, kerana peragut, perompak, perogol, pembunuh berada di mana-mana.

No comments:

Post a Comment