Saturday, August 8, 2009

Mohon maaf kepada bumi ....


Tarikh 08.08.09 adalah hari yang sangat bermakna dalam hubungan manusia dan alam, apabila sejuta kemaafaan dipohon kepada bumi melalui satu program melontar sejuta biji bola selut (mud ball) ke laut dan sungai di Pulau Pinang.

Projek anjuran pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat swasta yang diketuai oleh EM AdminS itu merupakan simbolik dan juga satu aktiviti memulihkan bumi daripada pencemaran dengan melontar sejuta bola selut mengandungi EM (mikrob bermanfaat) ke dalam laut dan sungai di tujuh daerah di Pulau Pinang. Syarikat-syarikat swasta menaja kos pembuatan bola selut manakala anggota NGO, murid-murid sekolah dan kakitangan Kerajaan turut menyertai program membaling bola selut ke laut dan sungai.

Sejuta bola selut yang dibaling ke laut dan sungai melambangkan penyesalan dan cara kita memohon maaf kepada bumi (one million apologies to mother earth) kerana kita telah melakukan dosa mencemarkan alam. Perairan di Pulau Pinang dijadikan sasaran untuk dibersih dan dipulihkan melalui penggunaan bola selut hasil teknologi EM. Program ini juga sebagai satu kaedah efektif untuk melahirkan kesedaran di kalangan rakyat tentang penjagaan alam sekitar dengan melibatkan mereka dalam aktiviti memulihkan perairan negeri.

Sejak bertahun-tahun, malahan berpuluh tahun kita mencemari perairan kita baik longkang, sungai dan laut dengan segala sisa baik sisa pepejal, sisa kumbahan dan bahan kimia. Semua golongan baik individu di rumah mahupun industri sama-sama turut bertanggungjawab mencemarkan sumber air itu. Akibat buruk daripada amalan dan tabiat buruk itu menyebabkan segala sumber air tercemar dengan teruk. Di Pulau Pinang dua buah sungai iaitu Sungai Juru dan Sungai Pinang dikenali antara sungai paling teruk tercemar di negara ini.

Beginilah teruknya laut Gurney Drive tercemar.

Projek membersihkan laut dan sungai yang dipelopori oleh EM AdminS itu dianggap satu usaha dinamik ke arah membersihkan dan merawat kesan-kesan pencemaran air di Pulau Pinang. Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng telah hadir merasmikan majlis pelancaran projek One Million Apologies to Mother Earth di dataran Gurney Drive pada pagi 8 Ogos lalu. beliau turut sama melontar bola selut ke laut di pinggir Gurney Drive sebagai merasmikan usaha melontar sejuta biji bola selut ke laut dan sungai di tujuh daerah Pulau Pinang.

Berucap di majlis tersebut, Encik Guan Eng menyatakan komitmen kerajaan Negeri untuk melakukan sesuatu bagi memulihkan kerosakan eko sistem terutama perairan di Pulau Pinang. Beliau memuji usaha melontar sejuta bola selut ini sebagai satu usaha murni yang penuh komitmen daripada kalangan NGO dan syarikat swasta untuk memulihkan perairan di Pulau Pinang. Katanya, sebanyak 164 batang sungai di negeri ini perlu diselamatkan daripada terus dicemari oleh tabiat buruk rakyat yang membuang sampah dan sisa-sisa kumbahan ke situ.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Profesor Dr Teruo Higa dari Okinawa Jepun. Beliau adalah pengasas kepada teknologi EM dan juga pengerusi pertubuhan Jaringan Pertanian Alami Asia Pasifik (APNAN) yang berpusat di Bangkok, Thailand. Turut hadir ialah pegawai-pegawai APNAN dari Bangkok, perwakilan dari Singapura, Indonesia dan aktivitis teknologi EM dari seluruh Malaysia. Kehadiran kumpulan ini menunjukkan komitmen pengamal teknologi EM yang begitu serius menggerakkan usaha mengembangkan teknologi EM kepada msyarakat.

Projek sejuta kemaafan kepada bumi adalah satu usaha penuh bermakna untuk menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab mereka menjaga dan memelihari alam sekitar. Projek ini bertujuan membangkitkan kesedaran baru di kalangan rakyat Malaysia dan warga dunia amnya tentang bencana buruk yang dihadapi oleh sumber air di merata tempat, yang teruk tecemar akibat tabiat buruk manusia sendiri. Projek ini adalah usaha dinamik untuk merawat pencemaran sedia ada dengan menggunakan teknologi EM yang terbukti sudah berkesan. Jepun telah mebuktikan beberapa perairan di negara mereka dapat dipulihkan kembali setelah dirawat dengan teknologi ini. Beberapa pertubuhan dan pengamal teknologi EM di merata tempat di dunia juga turut membuktikan bagaimana EM sangat berkesan mengatasi pencemaran air khususnya.

Projek ini dilakukan di Malaysia, di Pulau Pinang khususnya diharap akan menjadi model untuk dikembangkan ke negeri lain. Impiana Kerajaan Pulau Pinang untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri hijau akan menjadi kenyataan sekiranya usaha serius dan berterusan dilakukan untuk memulih dan merawat sungai dan laut di persekitarannya. Di samping itu rakyat sendiri perlu disedarkan supaya menukar tabiat buruk mencemarkan alam kepada tabiat mulia menghargai dan menyayangi sumber alam.

Umumnya pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk merobah situasi pencemaran alam di negara ini, kerana mereka mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, peraturan atau akta bagi melindungi alam sekitar. Kita sudahpun mempunyai jabatan dan kementerian khusus untuk menjaga alam sekitar, namun melaksanakan akta dan undang-undang tidaklah mudah. Industri sebagai salah satu penyumbang besar kepada pencemaran alam perlu disedarkan supaya bertanggungjawab. Kawalan dari dalam atau disiplin diri adalah lebih berkesan daripada penguatkuasaan undang-undang. Ada baiknya jika organisasi industri sendiri menyediakan sejumlah peruntukan untuk tabung memulih dan merawat pencemaran, kerana pencemaran hari ini sebahagian besar adalah berpunca daripada aktiviti industri sendiri. Oleh itu dengan menyediakan sedikit dana untuk tujuan tersebut, industri akan dilihat mempunyai rasa tanggungjawab dan sedar akan kesilapan masa lalu mereka. Di samping itu pendidikan perlulah bermula dari sekolah dan dari rumah di mana anak-anak didedahkan dengan pelajaran dan teladan mulia menjaga kebersihan, dan memuliakan sumber alam.

Membaling bola selut mengandungi EM ke laut depan Gurney Drive. Ketua menteri berbaju biru di kiri. Gambar atas: Ketua Menteri Pulau Pinang menyerahkan cenderamta kepada pengasas dan bapa EM, Prof Higa.

No comments:

Post a Comment