Saturday, August 22, 2009
Ramadhan: mari kembali ke alami (fitrah diri).
Ramadhan mempunyai signifikasi besar kepada kehidupan, bukan sahaja kepada Muslim tetapi juga kepada semua manusia termasuk juga kepada alam. Ramadhan adalah satu Sunnah Tuhan atau satu yang bersifat alami. Pertama, Ramadhan adalah satu proses putaran masa yang didasarkan kepada perubahan peredaran bulan pada orbit bumi. Bulan beredar mengitari bumi pada paksinya adalah satu proses alami, tidak pernah berubah sejak dulu hinggalah sekkarang, malah akan terus beredar mengiktut pusingan serupa sehingga kiamat.
Peredaran bulan mempengaruhi perubahan pada kehidupan di bumi di mana kaitan mengalami dua waktu iaitu waktu siang dana malam. Bulan hanya menjelma di waktu malam dan cahayanya lembut sekadar menampakkan dirinya, tetapi tidak mampu menerangi bumi sebagaimana fungsi matahari. Bulan bermula putarannya setiap hari dari anak bulan (hilal) menjadi purnama (bulan penuh, kemudian di hari kelima belas mengecil semula sehingga hilang daripada pandangan. Proses ini mengambil masa 29 atau 30 hari, itulah kiraan sebulan. Ilmu falak atau astronomi akan melihat fenomena bulan ini dengan lebih jelas lagi.
Ramadhan mempunyai kaitannya dengan proses penurunan al-Quran, sebuah Kitab yang datangnya dari langit, dari Tuhan Rabbul Aalamin. Kitab ini begitu bererti kepada kehidupan manusia kerana ia mengandungi petunjuk-petunjuk kepada umat manusia dari semua zaman, untuk mengenali Tuhan mereka, mengenali diri mereka dan juga mengenali alam di sekeliling mereka. Keperluan manusia kepada Kitab dari langit terletak pada kekurangan manusia sendiri di mana akal manusia tidak mampu untuk memikiri tentang dirinya sendiri, apa lagi untuk memikiri tentang hal-hal spiritual termasuk kewujudan Tuhan dan alam spiritual.
Percaya dan menerima agama juga adalah satu fitrah atau suatu yang alami kerana manusia dilahirkan dengan hati, dan hati adalah satu kewujudan ruhaniah yang sentiasa terdedah kepada aspek spiritual. Kecenderungan manusia beragama adalah satu fitrah yang tidak boleh dinafikan. Orang yang mengaku atheis pun tetap mempunyai hati yang sentiasa terdedah kepada maklumat-maklumat spiritual biarpun mulut dan akalnya cuba menafikannya. Akhirnya mereka berdepan dengan konflik iaitu konflik antara akal dan hatinya.
Tarikan kepada agama adalah alami kerana manusia mempunyai hati yang sentiasa tertarik kepada hal-hal spiritual. Sebahagian orang yang tidak mempunyai pegangan agama juga masih mempunyai asas kepercayaan kepada Tuhan dan mereka mengembangkan deria hati mereka melalui pelbagai amalan seperti meditasi, yoga dan ritual-ritual yang dapat memenuhi fitrah tersebut. Kita lihat di zaman moden ini di kalangan masyarakat yang tidak kuat berpegang dengan agama, mula tertarik dengan amalan agama-agama Timur. Orang Barat mencari amalan-amalan yoga, reiki, johrei, prana di India dan Jepun untuk memenuhi tuntutan ruhani meeka. Kebosanan dengan cara hidup yang menolak spritual akhirnya membawa mereka kepada budaya Hippies satu waktu dahulu. Akhir-akhir ini kita melihat kecenderungan orang Barat untuk mencari agama bagi memenuhi ciri-ciri alami mereka.
Akibat menolak agama, manusia semacam menolak hidup alami. Apabila faktor hati dikesampingkan, maka manusia menjadi robot dan tidak bepeperasaan lagi. Tanpa hati, tanpa perasaan, manusia tidak menjadi manusia lagi. Inilah yang kita saksi hari ini. Manusia melakukan perbuatan-perbuatan di luar kemanusiaan, melakukan jenayah, merompak, merogol, membunuh dan menumpahkan darah melalui konflik sesama sendiri, dengan bangsa lain yang berakhir dengan peperangan. Lebih zalim lagi mereka menggunakan senjata canggih untuk membunuh orang-orang yang lemah dan tidak berdosa. Tragedi di Palestin, Iraq dan Afghanistan hari ini menjadi bukti kekejaman manusia yang tidak lagi ada ciri-ciri alami - berperikemanusiaan.
Ramadhan mengingatkan manusia supaya berhenti sejenak, menerenung kembali tragedi-tragedi tak berkemanusiaan yang terus berlaku ini. Melalui puasa, manusia dididik kembali kepada hati, kembali kepada perasaan. Akhirnya kita menjadi insaf, sedar tentang diri, dengan itu kita akan sedar perasaan orang lain, terutama mereka yang tidak bernasib sebaik kita. Di sinilah lahirnya keinsafan untuk bersimpati, berempati terhadap sesama manusia.
Amalan berlapar seharian mengajar manusia erti kesabaran iaitu satu pendekatan kawalan diri yang sangat berkesan untuk mengawal diri daripada pengaruh nafsu. Nafsu yang tidak terkawal selama ini telah merosakkan hidup masnusia secara peribadi mahupun masyarakat. Nafsu menjadikan manusia tamak, haloba dan tidak pernah mengecapi kepuasan. Masyarakat menjadi begitu materialistik dan egoistik, terikut-ikut budaya hedonistik yang mementingkan hiburan, keseronokan lahiriah dan terpengaruh dengan gaya hidup kepenggunaan yang berlebih-lebihan. Nafsu membenarkan manusia menghalalkan cara demi mencapai matlamat peribadi. Mereka sanggup menceroboh hak orang lain, menipu, rasuah, melakukan jenayah demi mencapai cita-cita nafsu mereka.
Kita sudah bosan dengan pelbagai situasi dalam masyarakat. Konflik politik memecah belahkan masyarakat, jenayah menjadi-jadi, pembunuhan terjadi setiap hari oleh perkara-perkara kecil dan remeh, anak-anak muda melepaskan resah di jalanan melalui amalan lepak, rempit, hiburan, dadah dan jenayah kerena ibu bapa tidak lagi melindungi mereka dengan kasih sayang. Ibu bapa hanya tahu menyediakan wang dan kemewahan tetapi tidak memberi kasih sayang dan perhatian. Orang dewasa pula menghabiskan waktu dengan mengejar angan-angan peribadi hingga lupa kepada tanggungjawab kekeluargaan. Mereka beranggapan tanggungjawab menjaga anak-anak adalah di tangan orang gaji dan tanggungjawab masyarakat dan Kerajaan. Maka jadilahlah beban memulihkan penagih beban kepada masyarakat dan Kerajaan, padahal semuanya bermula dari dalam rumahtangga.
Ayuh di bulan berkat ini marilah kita kembali insaf, kembali sedar bahawa kita perlu memberi masa dan tumpuan untuk kembali ke alami, kembali kepada diri kita, kembali kepada HATI kita. Marilah kita rehat sejenak, tinggalkan hal-hal lain dan duduk bertafakkur, berdoa, bermunajat dan kembali kepada Tuhan. Selama ini kita telah menentang arus fitrah dan kita tidak alami. Kita umpama umang-umang yang hidup dalam kerangka cengkerang orang lain, terikut-ikut dengan keghairahan orang lain mengejar apa yang mereka sendiri tidak tahu.
(atas: tragedi atom memusnahkan Hiroshima. Pembunuhan kejam, tragedi kemanusiaan).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment