Thursday, October 29, 2009

politik Malaysia mau ke mana?


Perkembangan politik Malaysia hari ini mahu menuju ke arah mana? Inilah persoalan yang tering terpancul di kepala akhir-akhir ini. Selain itu ia juga sering menjadi topik perbincangan dengan sahabat dan rakan-rakan. Sungguhpun kita tidak berminat dengan politik, namun perkembangan politik negara tidak dapat dikesampingkan kerana ia akan membabitkan setiap orang daripada kita. Suka atau tidak suka, permasalahan politik negara tetap perlu juga difikirkan.

Persoalan politik negara menjadi asam garam kehidupan orang-orang politik, terutama mereka yang bergantung kuasa kepadanya dan mereka yang hidup dengan kausa politik. Baik pemerintah atau pembangkang masing-masing mengidamkan kuasa politik kerana di situlah letaknya kuasa untuk memerintah dan mentadbir negara. Sistem politik menjadi sebuah institusi yang dihormati kerana ia menampung sekumpulan orang yang dikenali sebagai pemimpin, yang memimpin pentadbiran sesebuah negara. Oleh kerana posisinya yang tinggi dalam hiraki sosial, maka ia menjadi rebutan, impian, dan cita-cita ramai orang. Mereka ini sebahagiannya ikhlas dn sebahagiannya mempunyai agenda sendiri, yang hanya mereka dan Tuhan sahaja yang tahu. Umumnya mereka adalah bersedia dan sebahagian lagi tidak pun bersedia untuk menghayati prinsip-prinsip kepimpinan, namun begitu semuanya mahu diri mereka dianggap dan diangkat menjadi pemimpin.

Pengalaman politik Malaysia menunjukkan kita tidak begitu serius dan tidak begitu ikhlas mencari dan melantik pemimpin. Situasi ini menyebabkan wujud ramai pemimpin yang berusaha mengangkat dirinya melalui pelbagai usaha dan pendekatan, termasuk apa jua cara baik halal mahupun tidak halal. Sungguhpun setiap orang mahu mengasosiasikan dirinya dengan imej demokrasi, namun tidak semua faham dan menghayati makna demokrasi. Buktinya ramai yang memaksa orang lain memilih mereka, mungkin paksaan itu tidak jelas dalam bentuk paksaan fizikal, tetapi penggunaan cara-cara yang menyalahi nilai moral seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah/politik wang, menghalalkan cara untuk mencapai tujuan, masih diamalkan secara meluas. Hal-hal ini menyebabkan politik masih membawa imej 'permainan kotor', yang menyebabkan sebahagian rakyat terutama golongan muda yang masih mentah dan idealistik, menolak aktiviti berpolitik dan golongan politik. Tidak mustahil golongan yang kecewa ini akan menunjukkan reaksi negatif dengan mengabaikan proses demokrasi dan meremehkan urusan politik negara.

Di negara-negara maju seperti Jepun misalnya, mereka yang menjadi pemimpin bersikap lebih rasional dan mempamerkan imej demokratik dan terbuka. Mereka bersedia melepaskan jawatan atau kuasa tanpa perlukan paksaan atau hukuman melalui pilihanraya, apabila mereka sedar atau disedarkan tentang kelemahan atau kesalahan diri mereka. Mereka menghukum diri sendiri dengan meletak jawatan secara sukarela. Hal begitu mungkin sangat jauh untuk diamalkan di Malayisa. Ramai pemimpin yang jelas-jelas bersalah baik di segi undang-undang, apa lagi kesalahan politik atau kesalahan moral, masih mahu mempertahankan diri dan kedudukan. Mereka tidak ikhlas untuk mengakui kesalahan dan kesilapan dengan meletakkan jawatan atau melepaskan kuasa, sehingga perlu dipaksa dengan hukuman oleh pihak lain. Sikap begini merupakan satu sikap yang sangat tidak demokratik, dan tidak bermaruah.


Dewan mulia yang menjadi tempat ahli politik bertelagah

Orang Jepun lebih islamik dari aspek moral kepimpinan ini. Meeka bersedia dihukum dan bersedia menghukum diri sendiri sebelum diadili orang lain. Islam mengajar bagaimana seorang pemimpin sebagaimana ditunjukkan oleh Khalifa Abu Bakar ketika dilantik menjadi Khalifah pertama. Beliau mengingatkan rakyat supaya mengingatkan dirinya, memperbetulkan drinya sekiranya dia melakukan hal-hal yang menyalahi perintah agama. Inilah asas keihklasan kepimpinan yang diajarkan oleh Islam. Namun kita sangat sedih dalam sebuah negara di mana majoriti umat Islam yang menguasai politik, gagal menghayati prinsip-prinrip mulia ini.

Tragedi politik semasa di Perak, dan riak-riak di Selangor mendedahkan satu senario yang sangat merisaukan. Ketidaktenteraman politik (yang dicetuskan oleh pihak-pihak yang berbalah di Perak) menyebabkan rakyat merasa risau dan celaru tentang sikap politik parti-parti politik negara. Wujudnya elemen-eleman tekanan, paksaan, kekerasan oleh pemimpin-pemimpin politik yang memperalatkan pihak-pihak eksekutif, di mana pihak-pihak keselamatan yang telah masuk campur begitu jauh sehingga mencemar kemuliaan Dewan Undangan, merupakan gejala yang sangat tidak sihat dalam sebuah negara demokrasi.

Rakyat menilai dan rakyat merasa takut terhadap kewujudan suatu kuasa baru, iatu 'kuasa kejam' di sebalik kuasa kepimpinan dan eksekutif yang diperalatkan dan dihalalkan untuk mencapai matlamat politik. Kehidupan orang politik juga dilihat tidak selamat, sebagaimana terjadi ke atas pemimpin-pemimpin politik tertentu yang menjadi mangsa ekploitasi, ugutan, tekanan.

Seenario ini amat tidak sihat. Ia melahirkan satu ketakutan di kalangan rakyat terhadap pihak-pihak tententu. Kita bimbangkan suasana poltik kita akan melahirkan politik yang tidak lagi demokratik lagi. Tida gunanya kita melaungkan-laungkan demokrasi sekiranya realiti kehidupan di negara kita tidak lagi menggambarkan kehidupan demokrasi. Kita akhirnya akan dilabelkan oleh anak-anak muda dan generasi muda kita sebagai golongan hipokrit belaka.

Saturday, October 24, 2009

Politik, pemerintah dan rakyat


Minggu lalu, UMNO sebagai sebuah parti yang menerajui kumpulan parti politik yang mentadbir negara, baru mengadakan Persidangan Agung tahunannya. Persidangan kali ini tentulah memberikan pelbagai harapan kepada ahli-ahli parti, pemimpin parti, pihak pembangkang dan seluruh rakyat, kerana apa sahaja keputusan yang diambil ia akan menyentuh kehidupan semua pihak tersebut.

Persidangan kali ini biarpun tanpa pemilihan pimpinan tetapi ia kelihatan sangat penting kerana orang hendak mendengar dan menganalisa ucapan penting Presiden baru UMNO, DS Najib Razak. Ini adalah ucapan sulungnya sebagai presiden, dan ia akan dinilai oleh semua pihak sebagai dasar kepimpinannya.

Setelah kehilangan banyak kerusi di parlimen dan hilang kuasa di beberapa buah negeri, UMNO yang menerajui BN sedang berbuat sesuatu untuk memperbaiki kelemahan-kelemahannya yang telah menjadi faktor kehilangan kuasa itu. Kesedaran baru ini antara lain ialah usaha menerima realiti. UMNO kini berada dalam konflik antara yakin diri dengan realiti ditolak oleh rakyat. Selama lebih setengah abad berkuasa menyebabkan sebahagian pemimpin UMNO merasa diri mereka kebal dengan kekuasaan, sehingga kejutan 2008 terjadi, yang mereka ibaratkan sebagai tsunami politik Malaysia. Akhir-akhir ini baru kedengaran di kalangan pemimpin mereka nada keinsafan, penyesalan dan sebagainya.

lambang kuasa, harta yang menjerumus ke dalam rasuah (politik wang).

Imej-imej angkuh, sombong, pementing diri, materialistik, rasuah, kroni yang ditampilkan melalui kuasa dan harta, telah diakui oleh orang UNMNO sendiri sebagai antara faktor yang membawa rebah. Maka mengikut logika mereka, untuk bangun kembali, semua imej ini perlu dihapuskan. Satu realiti yang mereka tidak boleh lupakan ialah: bukan mudah untuk mengubah sikap. Kebiasaan memiliki kuasa, di mana kuasa membawa kepada harta, menyebabkan UMNO jauh kesasar dalam gaung rasuah - politik wang. Berpuluh tahun rasuah dididik, ditanam dalam jiwa ahli oleh pemimpin sehingga kesemuanya ahli dan pemimpin bermindakan wang. Telah menjadi budaya UMNO, tiada wang, kerja tak menjadi. Inilah akar umbi masalah yang tidak mudah untuk diatasi. Wang telah menggantikan keikhlasan perjuangan. Inilah imej yang dilihat oleh rakyat terbanyak.

Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di tahun-tahun mendatang. Namun senario semasa menunjukkan arah politik Malaysia menuju satu era yang tidak menentu, dan sukar diramal. Perkembangan semasa menunjukkan kemurnian demokrasi tercemar dengan sangat serius. Orang-orang politik sudah tidak lagi rasional, malahan emosional. Ini satu sikap yang sangat merbahaya kepada politik negara. Kekuasaan kini dicabar dengan cara yang tidak demokratik. Kedua-dua pihak, baik yang memerintah atau yang membangkang kelihatan sama-sama mengguna pakai cara yang tidak bijak ini hanya untuk survive dan berkuasa. Apa yang sedang terjadi di Perak dan Selangor menjadi bukti kukuh. Rakyat yang waras akan menilai tingkah laku orang politik dan tingkah laku politik kedua-dua pihak. Kegagalan di peti undi menyebabkan ada pihak yang kalah akan berusaha melakukan kerja-kerja hina 'merampas kuasa' menggunakan mahkamah dan sebagainya untuk menghalalkannya. Apa yang orang politik lupa, rakyat sedang memerhati dan membuat penghakiman terhadap tingkah laku dan cara-cara politik Malaysia hari ini.

Dahulu kita berbangga kerana mempunyai sistem politik yang demokratik berbanding dengan negara-negara tetangga. Tetapi kini kita juga nampaknya cenderung untuk mengikuti trend di negara tetangga, yang silih berganti kerajaan mereka. Akhirnya politik begini akan membawa huruhara kepada rakyat. Kerana beberapa kerat pemimpin politik yang gilakan kuasa, keamanan rakyat menjadi taruhan. Apakah berbaloi kita mengorbankan ketenteraman hidup rakyat hanya untuk memuaskan nafsu beberapa kerat orang tertentu yang mahukan kuasa, kuasa dan kuasa.

Hari ini kita ditakut-takutkan dengan imej perpecahan, masalah perkauman dan isu-isu sensitif. Apakah dalam realiti kehidupan, hakikat ini benar? Atau ia hanya isu yang sengaja digembur-gemburkan oleh orang politik? Politik Malaysia sememangnya berteraskan suku kaum dan hakikat ini tidak boleh dinafikan. Gabungan badan-badan politik adalah gabungan luaran untuk memperlihatkan kesatuan, sedangkan sehingga ke hari ini persoalan kesatuan itu masih juga dislogan-slogankan. Maknanya hakikat perpaduan masih belum wujud dan kalau wujud pun ia belum mantap.


apalah makna politik kepada mereka yang tinggal di sini.

Di sisi lain , marilah kita lihat realiti kehidupan rakyat di daerah-daerah tertentu di mana masyarakat hidup aman, tenteram tanpa mengenal perbezaan politik atau pemikiran. Dalam kepelbagaian agama, kepercayaan, adat resam, mereka masih menjalin keharmonian sesama mereka, kerana mereka sama-sama mahu hidup aman, selamat biarpun di segi ekonomi mereka, hidup mereka sangat sederhana. Realiti ini terjadi sendiri secara alami, bukan dibuat-buat atau diadun melalui slogan. Realiti beginilah perlu diangkat menjadi model kesatuan rakyat Malaysia.

Dari sisi rakyat, hidup mereka akan lebih bermakna lagi sekiranya pemikiran dan minda mereka tidak diganggu gugat oleh aktiviti politik yang menyajikan mereka pelbagai janji dan harapan yang muluk-muluk. Di sebalik semua itu minda mereka dikeruhkan dengan pelbagai persepsi politik yang sebenarnya terlalu relatif. Semua pihak dan parti politik akan menanamkan persepsi bahawa merekalah yang betul, merekalah yang terbaik, merekalah yang adil dan pelbagai lagi imej-imej baik-baik. Dalam waktu lain rakyat juga boleh berfikir dengann lojika mudah mereka: kehidupan mereka akan berlangsung begitu-begitu juga. Selepas pilihanraya berlalu, hidup mereka serupa juga. Alangkah baiknya jika tiada lima tahun sekali di mana badai politik akan menerpa ke desa dan kampung mereka. Mereka tidak pernah berfikir tentang kuasa dan juga tentang harta kerana kehidupan mereka adalah kerja dan usaha untuk meneruskan kehidupan seorang rakyat biasa.