Saturday, January 16, 2010

Haiti, lagi pelajaran baru untuk kita.


Mari kita letakkan diri kita dalam keadaan orang-orang di Haiti yang sedang berdepan dengan trauma dahsyat akibat kejadian gempa Rabu lalu. Yang hidup bersyukur namun dalam syukur mereka berdepan dengan suatu keadaan yang sukar hendak digambarkan. Kehilangan saudara mara, ahli keluarga, rakan taulan, jiran tetangga, hilang harta benda. Kesempitan hidup di Haiti menjadi bertambah parah dengan kejadian gempa pada 7.0 magnitude ini.

Sebagimana di Acheh pada tahun 2004, situasi di sini juga sama, seperti kiamat kecil telah terjadi. Di depan mata hanyalah kesan runtuhan konkrit, bangunan tinggi dan rendah, struktur binaan, rekahan jalanraya, dan segala-galanya rebah ke bumi. Goncangan dahsyat itu telah merebahkan segalanya. Puluhan ribu, malah ada disebut mencecah ratusan ribu jiwa terkorban. Bayangkan begitu banyak mayat bergelimpangan dan masih banyak berada di bawah timbunan runtuhan dan yang tertimbus. Masa terus berjalan, sehari, dua hari, tiga hari dan hari-hari yang sedang melewati akan meninggalkan kesan berganda di mana mayat-mayat ini akan mula rosak, berbau dan akan mengundang kuaman dan bakteria yang akan membawa penyakit.


Orang-orang di sini sudah bagaikan kehilangan waras akibat trauma dan bagai mimpi sedang berusaha memulihkan kembali ingatan. Kejadian umpama mimpi itu adalah satu mimpi ngeri, bukan mimpi indah! Amat perit melayani mimpi ini, tetapi situasi di depan mata kini bukan sekadar mimpi, tetapi adalah realiti. Mayat-mayat bergelimpangan, dan mereka adalah sebahagiannya adalah darah daging sendiri, ahli keluarga sendiri, rakan-rakan, jiran tetangga. Tetapi bagaimana hendak menguruskan semua ini tanpa bantuan dari luar. Dalam trauma sebahagian yang hidup juga dalam keadaan trauma, kesakitan akibat kecederaan malah sebahagian tidak dapat melakukan apa-apa pun.

MasyaAllah. Mereka sedang menangisi suratan, menangisi takdir. Tetapa siapa yang dapat menghalang takdir Tuhan daripada berlaku? Apabila sudah sampai ketikanya ajal sesuatu umat, ia pun berlaku, tanpa dilewatkan sesaatpun atau ditangguhkan. SubhanaLlah. Benarlah janji-janji-Mu, malangnya kami di bumi ini sering lupa dan mudah dilupakan.

Sunday, January 10, 2010

Isu yang lebih besar.


Waktu ini masyarakat Malaysia sedang kecoh dengan beberapa insiden membaling bom dan kerja jahat merosakkan rumah ibadat, gereja dan juga surau. Semuanya bermula daripada reaksi masyarakat Islam yang begitu sensitif tentang isu penggunaan nama Allah oleh pertubuhan Kristian dalam penerbitan mereka. Isu penggunaan nama Allah telahpun diharamkan oleh KDN tetapi pihak gereja membawanya ke mahkamah. terakhir mahkamah memberi kemenangan kepada pihak gereja, membenarkan meeka menggunakannya. Akibat keputusan mahkamah itu telah menaikkan kemarahan rata-rata umat Islam yang tidak boleh menerimanya.

Inilah isu semasa, yang sedang panas. Namun diharapkan rasional akan menguasai jiwa orang Malaysia agar terhindar segala impak buruk daripada isu ini. Perbuatan merosakkan rumah ibadat adalah kerja orang jahat, bukan kerja orang yang beragama. Ini sudah pasti, kerana orang Islam khususnya dilarang keras melakukan apa sahaja kerosakan, apa lagi merosakkan rumah ibadat, biarpun rumah ibadat agama lain. Kita masih belum mengetahui siapa pelakunya, namun perbuatan itu tentulah memberikan kesan sentimen tidak sihat di kalangan pihak-pihak yang terlibat dalam isu ini. Sedikit sebanyak rasa masam (sour) telah wujud.

Inilah realiti Malaysia, realiti rakyat Malaysia yang bersifat majmuk. Kemajmukan dalam pelbagai sudut baik suku kaum, etnik, budaya, kepercayaan dan cara hidup. Sungguhpun pelbagai pendekatan diambil untuk menyatukan rakyat Malaysia termasuk slogan mutakhir 1 Malaysia, pada hakikatnya ia tidak mampu menafikan realiti kemajmukan ini. Maka terimalah semua berbezaan dan kepelbagaian yang wujud. Sungguhpun ada waktunya kita akan bertembung dengan hal-hal sensitif terutama melibatkan isu agama dan kepercayaan, namun kebijaksanaan dan sikap tasammuh yang dapat menghindarkan kita daripada terjebak ke dalam krisis atau konflik sebagaimana pernah terjadi pada tahun 1969 dulu.


Kita sedang melalui tahap-tahap perubahan di mana masyarakat beragama sudah mula membukakan diri mereka dan menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa. Dulu Bible hanya ditulis dalam Bahasa Inggeris. tetapi hari ini sudah ada Bible dalam bahasa Malaysia, bahasa Indonesia, kerana sebahagian penganut Kristian tidak boleh berbahasa Inggeris. Ini antara latar yang membawa kepada isu di atas. Selebihnya di Indonesia isu begini tidak timbul kerana sifat terbuka masyarakat di sana. Kristian menggunakan pelbagai istilah yang biasanya digunakan oleh orang Islam termasuk kitab, Tuhan Yang Maha Esa dan lain-lain. Pengaruh ini mungkin juga menular ke Malaysia.

Secara umumnya golongan spiritual akan mengambil sikap terbuka, kerana pada hakikatnya Tuhan kita hanya satu, iaitu Allah. Walaupun apa agama yang mereka anuti, hatta mereka yang tidak beragama sekalipun, tuhan mereka hanya Dia Yang Esa, bukan selainnya. Cuma agama-agama selain Islam menyalahi prinsip tauhid apabila menyengutukan Tuhan dengan makhluk, menghadirkan perantara dan sebagainya.

Apa yang penting orang Islam perlu mengambil teladan terbaik, iaitu kembali kepada Islam, kembali kepada ALlah SWT. Perbaiki mutu atau kualiti Islam kita, iman kita, ehsan kita. Kembali melihat ke diri sendiri, ke dalam keluarga sendiri, ke dalam masyarakat sendiri. Banyak lagi kelemahan dan ancaman dari dalam yang patutnya menjadikan kita lebih sensitif. Isu dadah, sesat (ajaran sesat bertopeng agama), khurafat (permobohan, kepercayaan kaurt pada hantu, jin, mistri), kebejatan moral, kelonggaran syariat, perpecahan, kejahilan, jenayah (membuang/membunuh janin dan bayi) dan macam-macam lagi kelemahan umat Islam adalah antara urusan besar umat Islam waktu ini. Seandainya kita mempunyai benteng kukuh, kita tidak bimbang ancaman dari luar, insyaAllah.

Friday, January 8, 2010

Malap benarkah nurani insani?


(pembunuhan bayi menjadi-jadi)
Beberapa hari lalu, berita di media berkisar tragedi pembunuhan empat sekeluarga di Gemencih Negeri Sembilan. Akhbar melaporkan pembunuhan disyaki dilakukan oleh ahli keluarga sendiri yang mana motifnya masih belum diketahui. Dalam tempoh waktu singkat pihak polis telah dapat menangkap tertuduh dan ditahan reman untuk siasatan.

Apapun motifnya, pembunuhan empat orang sekeluarga, termasuk seorang yang putus kepala adalah satu peristiwa pembunuhan ngeri, yang amat mengejutkan masyarakat. Tanpa mengambil kira apa pun motifnya, pembunuhan sebegini tidak dijangkakan berlaku. Namun ia telah pun terjadi.

Amat menyedihkan kerana ia terjadi dalam keluarga orang Melayu, beragama Islam. Tertuduh pula seorang yang disebut oleh ahli keluarganya sebagai 'anak yang baik' dan berpendidikan pula. Maka apakah pelajaran yang kita boleh ambil daripada peristiwa begini?

Pembunuhan banyak terjadi sebagaimana dilaporkan oleh media massa. Pembunuhan termasuk pembunuhan kejam dilakukan dengan motif rompakan, penculikan, balas dendam, hutang atau disebabkan oleh gangguan emosi seperti penagihan dadah, hilang kewarasan atau sakit jiwa. Tak kurang pula kejadian pembunuhan yang dilakukan atas dorongan amalan karut seperti khurafat, perbomohan atau pemujaan syaitan.

Selain daripada faktor jenayah, pembunuhan seperti kejadian di atas agak mengejutkan dan sulit juga mengesan motifnya. Umumnya pembunuhan terjadi adalah akibat tindakan balas seperti pergaduhan atau mempertahankan diri ketika diserang dan sebagainya. Selain itu faktornya adalah emosi. Apabila seorang dalam keadaan tidak waras kerana tekanan emosi, dia boleh melakukan pembunuhan. Contohnya beberapa kejadian pembunuhan di atas jalanraya adalah kesan daripada emosi amarah yang melampaui sehingga mencetuskan tindakan kejam mencederakan dan membunuh mangsa. Emosi marah yang tidak terkawal adalah pencetus ketidakwarasan yang membawa kepada tindakan ganas luar biasa. Ia boleh jadi didorong oleh kesan tindakbalas spontan, atau dicetuskan oleh kebencian, dendam yang telah lama membara. Biasanya orang yang memiliki personaliti begini mempunyai latarbelakang dan persekitaran masa lampau yang buruk.

Walau apapun hujah psikologi, satu fakta nyata adalah manusia hilang waras, hilang pertimbangan, hilang rasa belas kasihan, rasa kasih pabila dirinya telah dikuasai anasir ketiga, iaitu syaitan. Syaitan adalah musuh nombor satu manusia yang kerjanya menghasut, merosakkan emosi manusia melalui emosi marah, benci, dendam, kecewa dan emosi-emosi negatif lainnya.

Al-Quran mencatatkan kisah pembunuhan awal yang terjadi di antara Qabil dan Habil, dua orang anak Nabi Adam as. Qabil membunuh adiknya Habil kerana rasa cemburu dan dengki kepada adiknya. Syaitan menghasut Qabil melakukan pertumpahan darah, maka terjadilah jenayah pembunuhan terawal di bumi.

Tragedi pembunuhan dan pertumpahan darah terus menerus terjadi sepanjang sejarah, hinggaalah ke hari kiamat. Manusia sememangnya cenderung melakukan jenayah ini, sehingga di skala lebih besar pembunuhan terus dilakukan dengan motif peperangan, penjajahan, penguasaan politik dan perebutan kuasa. Ini yang terjadi kini, di mana setiap hari berita melaporkan puluhan, ratusan orang mati akibat ledakan bom, bom kereta dan serangan roket. Di negara-negara yang sedang bergolak akibat penjajahan, peperangan saudara dan konflik politik, pembunuhan terjadi setiap hari, setiap jam.


(nurani insan telah gersang dari rasa cinta?)
MasyaAllah, inilah realiti kehidupan manusia di bumi. Tiada kuasa apapun yang dapat menghentikannya, kerana suratannya manusia cenderung mengikuti langkah syaitan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di bumi. Penyesalan datang kemudian, setelah fikiran kembali waras. Namun sudah terlambat kerana pembunuhan sudah terjadi.
Hukuman gantung sampai mati, hukuman tembak, pancung atau mati atas kerusi elekterik tidak pernah menakutkan manusia untuk terus membunuh sesama sendiri.

Di manalah kasih sayayang, di manalah belas kasihan, di manalah rasa kemanusiaan? Sudah malap benarkah nurani insani?