Wednesday, May 20, 2009

Sinaran Sukma: bersinar lagikah sukma orang Taiping?


Ketika menatap Majalah Susila terbitan Persatuan Sinaran Sukma tahun 1976, saya mengulang baca rencana di halaman 3 bertajuk Sejarah Sinaran Sukma yang ditulis oleh Hawari Che Teh. Rencana pendek satu halaman itu ringkas sahaja, tetapi isinya benar-benar menarik dan perlu dibaca dan direnungkan kembali.

Rencana tersebut mengulas tentang sejarah Sinaran Sukma secara ringkas. Sinaran Sukma adalah penerbit kepada Majalah Susila, dan saya adalah Pengurus penerbitan majalah ini. Majalah ini mencatatkan tarikh ia diterbitkan ialah Jun 1976. Pada kulit luarnya tercatat Jilid 1 Bilangan 1 1976. Ketika majalah ini diterbitkan saya sudah berada di tahun 1 univesiti. Majalah ini dikirimkan kepada saya dan saya sudah lupa siapa yang mengirimkannya. Namun saya pasti mereka pastilah rakan-rakan yang bersama-sama mengusahakan majalah ini. Hanya kami berempat yang bekerja menerbitkannya, iaitu Cikgu Adnan Yusof, Cikgu Hawari Che Teh, Fadzlan Yahya dan saya sendiri. Cikgu Nan dan Cikgu Hawari telah tiada lagi.

Seingat saya majalah ini diusahakan ketika saya berada di Taiping sekitar tahun 1971-72. Kemudian saya meninggalkan Taiping kerana belajar di Maktab Perguruan di Pulau Pinang. Tahun 1975 saya bertugas, mengajar di Pahang, kemudian belajar semula di UKM pada tahun 1976. Ini bermakna Susila mengambil masa hampir empat tahun untuk diterbitkan. Demikianlah sulitnya menerbitkan sebuah majalah, kerana sebab-sebab yang saya sendiri tidak tahu.

Aneh juga sebagai seorang Pengurus, dia tidak mengetahui tentang itu semua. Sebetulya nama saya tercatat sebagai Pengurus, tetapi urusan sebenarnya dijalankan oleh Fadzlan Yahya dan dua lagi rakan kami. Saya hanya menguruskan hal-hal penerbitan dan percetakan. Hal-hal kewangan dan urusan iklan saya tidak mengetahui langsung. Saya telahpun selesaikan tugas saya iaitu menyediakan kulit majalah, yang mana saya sendiri menggunakan sedikit kebolehan melukis, melakarkan gambar YAB Tun Hussein Onn menggunakan pensil hitam.

Oleh kerana peranan saya kecil sahaja, dan saya pula masih perlu belajar di Maktab waktu itu, maka saya tidak pernah lagi bertanya mereka tentang majalah ini. Apa lagi selepas 1972 saya jarang sekali bertemu dengan mereka semua. Sekali sekala saya hanya mendengar berita dan khabar daripada kawan-kawan lain. Terakhir saya mendengar Cikgu Nan dan Cikgu Hawari sudah tiada lagi. Sebenarnya mereka berdua ini jauh beza usianya dengan saya dan Fadzlan.

Ingatan kepada mereka kembali segar, terutama apbila menyemak semula naskah Susila ini. Ingatan kepada majalah ini muncul ketika saya menulis tentang pengalaman di Taiping dalam blog. Lantas saya mencari naskah ini di perpustakaan Baitul Hikmah, perpustakan kami sekeluarga. Saya membelek dan menyelak helai demi helai halaman majalah ini. Apabila terbaca nama-nama Cikgu Nan, Ckgu Hawari, Fadzlan Yahya, Dr Dali, ingatan saya ke tiga dekad silam segar kembali. Mereka adalah rakan-rakan yang rapat ketika itu, biarpun saya sangat muda usianya berbanding dengan mereka. Namun satu hal saya tidak dapat melupakan, bagaimana mereka boleh menerima saya untuk bersama mereka. Mereka adalah orang-orang berpengalaman, doktor, guru dan mereka juga adalah tokoh politik yang ada nama di daerah Larut Matang; sedangkan saya masih muda dan mentah lagi.

Hari ini ketika membaca rencana tulisan Cikgu Hawari tentang Sinaran Sukma, menyebabkan saya merasa ingin menyorot kembali sejarah Sinaran Sukama itu. Walaupun saya turut bersama mereka dalam persatuan itu, tetapi ketika itu saya tidak merasakan ianya begitu penting, sebagaimana saya rasai sekarang. Oleh kerana mereka ini sudah tiada, agak sukar untuk menyorot kembali sejarah Sinaran Sukma yang begitu berjasa kepada masyarakat di Taiping khususnya.

Marilah kita kongsi tulisan Cikgu Hawari ini:

"Diantara beberapa banyak persatuan-persatuan dalam kawasan ini, ada terselit sebuah persatuan kebudayaan dan kesenian Melayu yang dinamakan Persatuan Sinaran Sukma Larut dan Matang. Persatuan ini laksana sebuah bintang di langit daerah Larut dan Matang. Kalau pun cahayanya tidak seterang bintang-bintang yang lain, namun kewujudannya tidaklah dapat dinapikan.

Ertikata "Sinaran Sukma" mengikut huraian pengasas-pengasas dan penaja-penajanya seperti berikut:
Sinaran bererti: pancaran cahaya
Sukma bererti: Jiwa atau nyawa
jadi, paduan perkataan: "Sinaran Sukma" bererti: "Pancaran cahaya jiwa atau pancaran cahaya nyawa. Dengan kata lain Sinaran Sukma bererti "pancaran jiwa yang hidup".

Mengikut catitan yang dapat dikesan, bahawa Persatuan Sinaran Sukma ini ditubuhkan oleh dua golongan manusia: pejuang seni dan pejuang kemerdekaan. Golongan pejuang kemerdekaan tanahair terdiri daripada penyokong-penyokong partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API).

Peristiwa tertubuhnya persatuan ini bermula dalam tahun 1940an. Akhir tahun 1947 berlaku bah (banjir) besar di Kuala Kangsar dan beberapa kawasan lain yang berhampiran dengan Sungai Perak. Dalam banjir tersebut banyaklah orang-orang yang menderita kerana kehilangan harta dan sebagainya.


Dua golongan di atas berkumpul dan berbincang untuk menolong mangsa-mangsa bah itu. Mereka mengadakan pertunjukan sandiwara berjudul "Keris Melaka" di Dewan Bandaran Taiping. Berikutnya mereka bentuk satu kumpulan yang mereka namakan: "Taiping Malay Dramatic Group". Supaya persatuan itu kekal dan dapat memberikan derma baktinya kepada masyarakat dengan berpanjangan, akhirnya dalam tahun 1950 mereka mengambil persetujuan supaya persatuan tersebut didaftarkan dengan nama: Sinaran Sukma Larut dan Matang (Malay Dramatic Association) telah diluluskan pendaftarannya pada 25hb. Julai 1950 dengan nombor pendaftaran Pk. 97/50.

Sinaran Sukma ialah satu badan kebudayaan yang berasaskan kebajikan. Intisari dasar atau tujuan tersebut didirikan ialah:
1. Menggalakkan umat Melayu dalam lapangan kesenian dan kebudayaan.
2. Menghidupkan semangat kesenian Melayu dan berusaha meninggikan derajatnya.
3. Mengasuh serta memperbaiki budi-pekerti serta masyarakat hidup kebangsaan Melayu mengikut aliran zaman.
4 Menghebah serta mencerminkan ketinggian kesenian serta kebudayaan Melayu.
5. Menimbulkan bakat atau kebolehan dalam syarahan, bunyian-bunyian dan lakonan.
6. Menggalakkan umat Melayu dalam lapangan karang mengarang dan persuratan.


Berdasarkan catatan Cikgu Hawari itu, jelaslah Sinaran Sukma adalah sebuah pertubuhan yang lama dan bersejarah. Bergerak sejak tahun 1947 dan secara rasmi didaftarkan pada thun 1950. Bermakna hampir 60 tahun usianya. Saya tidak pasti apakan ianya masih wujud dan aktif sehingga ke hari ini. InsyaAllah saya akan berusaha menyemak statusnya dan cuba mengesan apakah ia masih hidup atau sebaliknya.

Ketika Majalah Susila ini diterbitkan pertengahan tahun 70an, ia masih hidup. Cikgu Hawari sendiri pernah menjadi Setiausahanya pada tahun 1970-71. Menurut catatan Cikgu Hawari, beliau menyertai Sinaran Sukma dalam tahun 1970. Beliau pernah mendengar persatuan ini pernah menubuhkan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan Taiping (1965), menganjurkan ceramah sastra membantu pelajar STP dan lain-lain.

Memandangkan Sinaran Sukma adalah sebuah pertubuhan yang bersejarah dan punya peranannya tersendiri bagi memajukan masyarakat Melayu Taiping, dan Taiping sendiri dikenali sebagai bandar warisan; maka masyarakat Taiping perlu menyorot kembali sejarah ini. Sekiranya Sinaran Sukma masih lagi hidup, tentulah kita patut terus menyokong dan mengaktifkannya. Walaupun ia sebuah pertubuhan berasaskan kebudayaan tetapi penghayatan kebudayaan yang luas akan membolehkan kita menggerakkannya ke arah aktiviti yang lebih dinamik dan pelbagai.


Atas: pemandangan Taman Tasik Taiping yang indah. Bawah: pemandangan Zoo Taiping.

Saturday, May 16, 2009

Perak, nostalgia 70han.


Perak kini menjadi terkenal dan hari-hari diberi liputan oleh media massa. Sebagai anak kelahiran negeri Perak, saya sentiasa mngikuti perkembangan di sana, biarpun sebahagian besar hayat saya adalah di Selangor. Sebetulnya hanya 16 tahun terawal dari hayat saya berada di Perak, iaitu dua tahun di kampung di Bukit Gantang, dan tiga tahun lagi di Ipoh semasa bersekolah di Sekolah Agama Izzuddin Shah (1966-1968).

Sekitar tahun 1970 hingga 1972, kembali semula ke kampung berkhidmat di Sekolah rakyat al-Fallah, kemudian ke Taiping bekerja sambil belajar. Ketika mengajar di sekolah rakyat di kampung, saya dibayar RM40.00 sebulan (gaji atau elaun atau saguhati saya tidak pasti). Yang penting dapat mengajar berkongsi sedikit ilmu yang ada dengan anak-anak kampung, adalah satu kepuasan. Di situ saya bersama rakan-rakan lain dapat membentuk anak-anak kampung berpidato, berbahas, bernasyid, sehingga beberapa orang pelajar kami waktu itu menjuarai pelbagai kategori pidato, mengaji di peringkat daerah dan negeri. Itulah kepuasan yang tidak dapat dilupakan sehingga kini. Si samping melatih mereka berpidato saya juga menyediakan teks pidato sehingga beberapa orang daripada mereka menjadi juara di peringkat negeri.

Selepas berkhidmat di sekolah rakyat di kampung tak sampai setahun, saya ke Taiping untuk bekerja. Waktu itu bekerja di percetakan iaitu Percetakan Rakyat di Jalan Asam Kumbang. Kisah bekerja di percetakan ini ditulis di dalam Blog DarAfif.blogspot.com. Di sini saya mula belajar melalui kehidupan sukar dengan berdikari. Dengan pendapatan tak seberapa, masih berazam untuk belajar mengikuti kurus Homeopathy di Semanggol.

Semasa menganggur, pelbagai usaha mencari kerja dilakukan tetapi tiada satupun yang dapat. Mohon kerja kerani tidak dapat. Pernah memohon sebagai Pegawai Tentera. Pernah dipanggil temuduga di Port Dickson. Seminggu di sana, akhirnya terpaksa pulang kerana tidak lulus ujian awal sebagai Kadet tentera. Azam untuk menjadi pegawai tentera rupanya dimakbulkan juga oleh Tuhan, apabila pada tahun 1981 saya ditauliahkan sebagai Lt Muda dalam Pasukan Askar Wataniah. Saya terus berkhidmat dalam Regimen Askar Wataniah selama 17 tahun dan terakhir memakai pangkat Kapten. Selama 17 tahun itu pelbagai kursus telah diikuti bagi melayakkan kenaikan pangkat. Berbulan-bulan menjalani latihan lasak di Pusat Latihan Askar Wataniah di Jalan Tambun, Ipoh. Walaupun ketika itu usia telah melepasai 30 tahun, namun azam dan semangat serta minat dengan kehidupan tentara membolehkan saya menjalani latihan dengan jayanya. Rupa-rupanya keazaman dan cita-cita sejak kecil hendak menjadi pegawai tentera tercapai juga sepuluh tahun setelah gagal ujian pegawai kadet di Port Dickson tahun 1971 dulu.

Pertemuan dengan al-Marhum Dr Dali Muin di Taiping membawa sejarah baru dalam kehidupan saya. Waktu itu beliau menjalankan operasi Pusat Rawatan Homeopathy di tingkat satu Bangunan Seri Larut. Pertemuan itu menjadikan saya begitu rapat dan terpengaruh dengan pandangan dan pemikiran beliau. Dr Dali adalah adik ipar dan juga murid kepada al-Marhum Dr Burhanuddin Helmi, seorang nasionalis dan tokoh politik tanahair. Sungguhpun saya sendiri tidak pernah berkesempatan bertemu muka dengan al-Marhum Dr Burhanuddin, namun melalui Dr Dali, saya merasa dekat dengan Dr. Burhanuddin kerana Dr Dali sering menceritakan kisah-kisah perjuangan beliau dengan abang iparnya itu. Saya pernah bertemu dengan anak Dr Burhanuddin, Shukri dan anak saudaranyanya. Saya juga agak rapat dengan isteri Dr Dali (adik Dr Burhanuddin), Kak Yati (Ustazah Norhayati).

Dr Dali membuka gerbang baru kepada saya, iaitu bidang perubatan Homeopathy. Sebagai seorang yang meminati ilmu, saya tidak mensia-siakan kesempatan untuk mengenal dan mendalami ilmu baru ini. Saya mendaftar untuk mengikuti kursus Homeopathy di Ehya al-Syarif Gunung Semanggol. Malangnya saya berdepan dengan masalah kewangan untuk biaya kursus dan juga biaya hidup. Waktu itu tiada pekerjaan tetap. Selain pernah bekerja di percetakan, saya turut membantu emak saudara (al-Marhum Aliah Sheikh Juned Talla) berniaga kain di bazar Seri Larut. Setelah mengikuti kursus beberapa siri, saya akhirnya kecundang kerana tiada kewangan untuk meneruskannya. Tiada siapa bersedia membantu, keluarga pula susah. Akhirnya kursus Homeopathy tergendala begitu sahaja.

Sungguhpun kursus asas formal tak dapat diteruskan, namun saya sentiasa dapat berdamping dengan Dr Dali. Klinik tempat rawatannya, menjadi tempat saya bertandang, berbual, berbincang dan mendengar cerita-cerita Dr. Dali. Saya begitu kagum dengan pengetahuannya terutama semangat nasionalisme dan politiknya. Ternyata beliau mempunyai latarbelakang perjuangan politik sejak zaman sebelum merdeka, terutama di Singapura. Oleh kerana saya adalah seorang murid yang sering bertemu dan bersedia mendengar dan belajar daripadanya, saya sedar Dr. Dali begitu mengambil berat tentang saya.

Saya sangat berminat dengan pengetahuan Homeopathy. Saya beruntung kerana ketika ke Klinik Dr Dali, banyak buku-buku Homeopathy kepunyaan Dr Burhanuddin di simpan di sini. Saya adalah antara orang yang sering memanfaatkan buku-buku berharga ini. Di samping membaca saya juga turut mengemas dan menjaga perpustakaan kecil pusaka Dr Burhanuddin ini. Sebagai seorang kaki buku, saya sedar khazanah ilmu Homeopathy ada di sini. Malangnya waktu itu bahasa Inggeris saya tidaklah begitu bagus, menyebabkan khazanah itu tidak dapat digali dengan lancar.

Sungguhpun saya tidak pernah menamatkan pengetahuan Homeopathy secara formal, namun pengetahuan tentang falsafah Homeopathy saya garap dengan membaca dan belajar dari buku dan dari Dr. Dali. Hasilnya saya menulis tentang bidang Homeopathy. Antara rencana penting tentangnya pernah tersiar dalam Majalah Dewan Masyarakat sekitar tahun 1973. Di samping itu tersiar juga dalam majalah Mastika dan Panji Islam. Dengan menulis tentang Homeopathy saya berharap dapat memperkenalkan bidang perubatan ini kepada masyarakat, kerana waktu itu orang belum begitu faham dengan kaedah rawatan Homeopathy.

Pergaulan dengan Dr Dali membawa saya ke satu dimensi lain di mana saya didedahkan kepada kelompok orang-orang perjuangan di Taiping. Melalui Dr Dali, saya diketemukan dengan beberapa orang tokoh politik dan pejuang PAS tempatan seperti Cikgu Nan (Adnan), Cikgu Hawari (semuanya sudah meninggal), Fazdlan Yahya, Tuan Guru Haji Mat Saman Kati dan lain-lain. Rata-rata mereka adalah penyokong parti PAS, manakala Fadzlan Yahya adalah orang kuat DAP. Dr Dali sendiri adalah orang kuat parti PAS. Saya pernah bertemu dan berkenalan dengan Ustaz Hassan Shukri melalui Dr Dali ketika bertemu di kliniknya. Walaupun saya paling muda (dalam kumpulan ini), tetapi syukurlah kerana saya diterima untuk bersama mereka. Saya turut dibawa terlibat dalam pelbagai aktiviti persatuan seperti Persatuan Sejarah Taiping, Persatuan Kebudayaan Sinaran Sukma.

Saya begitu rapat dengan Fadzlan Yahya dan beliau sering mengajak saya mengikuti program DAP yang diikutinya. Beliau diberi kedudukan penting dalam politik DAP Taiping dan juga negeri Perak. Beliau pernah bertanding dan menjadi ADUN Pasir Berdamar beberapa penggal. Beliau pernah disebut akan menjadi Menteri Besar Perak sekiranya DAP memenangi kerusi DUN Negeri Perak suatu waktu dahulu. Saya begitu rapat dengan Fadzlan bukan saja sebagai sahabat tetapi sudah macam keluarga. Saya mengenali keluarga beliau dan sering ke rumahnya. Cuma apabila saya ke Universiti petengahan tahun 70han, kami sudah jarang ketemu dan sekali pernah ketemu di satu majlis di universiti. Ketika itu beliau menjadi ahli panel forum mewakili DAP.

Walaupun begitu rapat dengan Fadzlan saya tidak mudah dipengaruhinya untuk ikut dalam DAP. Saya menolak ideanya kerana saya berasa begitu asing dengan politik DAP ketika itu (awal 70han). Fadzlan pernah berkata kepada saya, "aku sertai DAP untuk cari makan". Betul juga kata-katanya. Saya tahu ketika kehidupan sulit (beliau sudah berkeluarga) waktu itu, hanya rakan-rakan Cina yang membantu beliau. Beliau juga pernah mengajar di Sekolah Cina di Taiping. Sebagai seorang anak muda bersemangat dan mempunyai cita-cita politik, beliau pernah memberitahu saya, beliau kecewa kerana parti Melayu tidak memberinya tempat, sebab itu dia ikut parti Cina (DAP). Saya kira berbaloi juga dia menyertai DAP kerana beliau diberi tempat yang baik dan pernah menduduki pelbagai jawatan penting dalam parti. Bersama Fadzlan, saya menguruskan penerbitan Majalah Susila. Hanya satu kali penerbitan sahaja dapat diusahakan kerana masalah kewangan. Saya menyediakan kulit luarnya dan menguruskan percetakannya. Kulit luarnya adalah wajah Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn, yang saya lukis sendiri.

Kisah Fadzlan sudah tidak kedengaran lagi. Entah di mana dia sekarang, tiada khabar lagi dan kami tidak pernah lagi bertemu dan berhubung. Saya hanya menyimpan kenangan lama bersama beliau di Taiping dulu.

Hubungan dengan Dr Dali terputus agak lama kerana saya ke Pulau Pinang belajar di Maktab Perguruan Sri Pinang dua tahun (1973-74). Kemudian berkhidmat sebagai guru dan masuk Universiti tahun 1976-79. Sekitar awal tahun 80han, Tuhan menemukan kami kembali di Kuala Lumpur. Waktu itu kami berdua kebetulan tinggal berhampiran. Klinik beliau di Jalan Raja Abdullah Kg Baru manakala saya tinggal di Jalan Raja Mahmud, Kg Baru juga. Setelah bertemu semula, hubungan kami kembali rapat. Beliau sering berkunjung ke rumah saya dan saya juga sering mengunjunginya di kliniknya.

Hubungan kami menarik saya kembali kepada Homeopathy. Saya diajak aktif membantu Persatuan Homeopathy Malaysia, ketika itu dipimpin oleh Dr Dali dan rakan-rakannya. Saya diberi tugas baru iaitu mengendalikan penerbitan Majalah Homeopathy. Oleh kerana Dr Dali tahu kebolehan saya di bidang penerbitan, beliau pandai memujuk saya untuk membantu beliau dalam menerbitkan majalah tersebut. Bahan sudah ada, iklan juga ada, cuma tiada orang yang hendak menguruskan penerbitannya.

Akhirnya saya beri kesanggupan dan mulalah menerbitkan majalah Homeopathy. Bersama dalam Lembaga Pengarang ialah Pak Atondra (Mohd Nordin Abdul Rahman, kini Dato'). Dua kali Majalah Homeopathy diterbitkan. Beberapa rencana disediakan oleh Dr Dali sendiri, sementara saya juga turut menyumbang rencana. Kejayaan penerbitan Majalah Homeopathy ini sangat bermakna kepada diri saya, dan Dr Dali sendiri, di samping ia merupakan satu pencapaian persatuan juga.

Di penghujung tahun 80han, saya mendengar khabar Dr Dali sudah tiada lagi. Beliau meninggal akibat sakit (saya tak pasti sakit apa). Ketika itu kami sudah tiada di Kg Baru kerana berpindah ke Serdang, jadi jarang sudah bertemu beliau. Klinik beliau diteruskan oleh rakan lama saya, Dr Tajuddin Abdullah. Klinik itu tidak lagi di Jalan Raja Abdullah, tetapi berpindah ke Jalan Raja Mahmud, berdepan Masjid Jamek Kg Baru.

Tuesday, May 5, 2009

K.Trengganu dan alam pesisirnya


1 Mei adalah hari pekerja, dulunya dikenali sebagai hari buruh. Cuti hari pekerja ini membawa kami sekeluarga ke Kuala Trengganu, bandaraya warisan pesisir, ibu negeri Trengganu. Kunjungan ini sempena majlis perkahwinan anak saudara, di samping menziarah anak, menantu serta cucu tunggal yang berkhidmat di Kuala Trengganu.

Kuala Trengganu sepertimana 40 tahun dahulu ketika pertama kali menjejak kaki ke sini, mempunyai auranya tersendiri. Sebagai sebuah bandar (kini bandaraya) yang berada di pinggir kuala, sesuai dengan namanya, ia memiliki aset alaminya yang menarik kerana ada daratan, ada lautan, ada laut dan ada kuala sungainya. Wujudnya beberapa buah pulau di kuala telah membantu Kuala Trengganu berkembang menjadi bandaraya pesisir yang berpotensi untuk dikunjungi sebagai sebuah destinasi pelancongan lokal mahupun global. Kini Pulau Wan Man telahpun dimajukan dengan tersergamnya Kompleks Taman Tamddun Islam.

Uniknya Kuala Trengganu kerana orang masih menghargai sungai dan laut. Air masih dijadikan alat perhubungan yang masih berkesan. Dulunya sebelum dibina jambatan Sultan Mahmud, perhubungan antara Seberang Takir dan bandar Kuala Trengganu adalah menggunakan jalan air, iaitu berperahu. Hanya itulah satu-satunya kenderaan yang dapat membawa penduduk Seberang Takir ke bandar. Pengangkutan itu dikenali sebagai Perahu Penambang. Nama ini mungkin ada kaitan dengan perkhidmatan yang mengenakan tambang, lantas ia disebut penambang. Hari ini fungsi perahu penambang masih berkesan. Masa menyeberang dengan perahu penambnag lebih pendek iaitu kira-kira sepuluh minit sahaja, berbanding masa yang lebih lama menyeberang menggunakan jambatan Sultan Mahmud. Kos kewangan dan kos masa tentu dapat dijimatkan dengan menyeberang menggunakan perahu atau bot penambang. Di sepanjang tebing sungai sebelah bandar terdapat banyak jeti-jeti yang digunakan untuk orang awam, jabatan-jabatan kerajaan dan juga khusus untuk nelayan. Jeti-jeti ini terus berperanan sebagai lokasi penting bagi aktiviti bot, perahu dan kapal-kapal nelayan dan bot-bot jabatan Kerajaaan. Kini kapal persiaran mewah telahpun berlabuh di kuala.

Pasar Kedai Payang adalah sebuah lokasi penting dan bersejarah. Ia masih terus popular di kalangan pelancong dari luar dan juga penduduk tempatan. Nama Kedai Payang ini berasal dari nama perahu payang, iaitu perahu tradisi orang Trengganu. Oleh kerana sejak dauhulu lagi Kedai Payang ini mejadi tumpuan perahu-perahu payang berlabuh memunggah dan mengisi barangan perniagaan, maka lokasi tersebut dikenali sebagai Kedai Payang. Kini ia telah menjadi sebuah kompleks pasar basah di bahagian bawahnya, manakala di atasnya dijadikan bazar beli-belah khususnya pakaian. Dari laut, Pasar Kedai Payang ini kelihatan sebagai pasar terapung, dengan tiang-tiangnya di dalam air.

Kini sebuah kompleks yang besar dan menarik dikenali sebagai Plaza Warisan baru sahaja siap digunakan. Sungguhpun ia dibangunkan lebih moden dan selesa, namun ia nampaknya tidak dapat menandingi Pasar Kedai Payang. Orang masih ramai ke Kedai Payang untuk beli-belah terutama pakaian batik, sutera dan songket. Sungguhpun suasana di Kedai Payang agak sesak dan kecil, namun popularitinya sukar ditandingi kompleks lain.

Trengganu terkenal dengan batiknya. Sungguhpun Kelantan juga mempunyai batik, namun batik Trengganu ada keistimewaannya. Batik moden dengan bahan dan reka coraknya yang sentiasa mengikut trend mendapat sambutan ramai. Sungguhpun harganya agak mahal, namun peminatnya masih ramai. Lebih-lebih lagi sekarang ini pegawai Kerajaan perlu memakai baju batik pada hari Khamis. Sebelum ini ia pernah dipakai pada hari Sabtu.

Selain batik, Trengganu terkenal dengan tenunan songket. Songket Trengganu masih mengekalkan corak tradisi di samping perubahan di segi warnanya. Selain batik dan songket, Trengganu juga terkenal dengan ukiran tembaganya. Makanan pula Trengganu dikenali dengan kerpok lekornya. Kawasan Losong dikenali sebagai lokasi pengusaha keropok lekor beroperasi. Di sepanjang jalan pantai dari Kuala Trengganu hingga ke Marang, terdapat banyak gerai menjual keropok lekor.

Pertama kali mengunjungi Taman Tamaddun Islam di Pulau Wan Man, kami mendapati ramai pengunjung lain turut serta. Kebetulan hari minggu, ramai pelancong luar Trengganu masih bercuti di sini. Kewujudan Taman Tamaddun Islam ini membawa imbauan pengunjung kepada sejarah keagungan Islam yang ditampilkan dalam bentuk replika masjid-masjid terkenal di seluruh dunia Islam. Replika ini dibina mirip bentuk asal, dikatakan menepati 90 peratus bentuk sebenar. Lebih 20 buah replika dibina di sini. Selain itu terdapat sebuah masjid sebenar yang dikenali sebagai Masjid Kristal di bina di sini. Di samping itu sebuah kompleks serbaguna juga dibina untuk digunakan bagi acara-acara tertentu dan juga untuk kegunaan orang awam.

Tiket masuk ke kompleks berharga RM10 dan RM20 untuk pelancong asing. Tiket ini termasuk RM3 kupon untuk makanan. Kemudahan trem dikenakan RM3 lagi. Satu tarikan lain di Taman Tamaddun Islam ini ialah aktiviti berperahu mengelilingi pulau-pulau di sekitar kuala. Dari atas perahu payang (berenjin) perjalanan satu jam benar-benar memanfaatkan kerana kita boleh melihat bandaraya Kuala Trengganu dan Kompleks Taman Tamaddun Islam dari arah sungai. Keindahannya amat berbeza dengan pemandangan dari darat. Di samping itu sepanjang pesisir yang dilalui, kita disajikan dengan pemandangan menarik pulau-pulau kecil yang ada sejarahnya tersendiri. DI pesisir Seberang Takir, kita menyaksikan bengkel-bengkel membuat bot dan perahu, dan juga jeti-jeti di perkampungan sekitarnya.

Aktiviti menyisir sekitar kuala ini elok dijadikan satu tarikan pelancongan. Ia perli diwarwarkan bagi menarik lebih ramai lagi pelanconga, baik pelancong tempatan mahupu pelancong asing, untuk menikmati keindahan alam semulajadi di samping melihat perkampungan pesisir di Seberang Takir dan lokasi-lokasi penting di pesisir bandaraya. Di Thailand misalnya, pelancong dibawa menyisir sungai Chao Phraya untuk melihat pemandangan perkampungan dari arah sungai. Aktiviti ini begitu popular di kalangan pelancong di sana, dan kosnya juga bukan murah.





Gambar atas: Plaza Warisan. Bawah: Masjid Suleiman, Turki, dan pemandangan bandaraya dari atas perahu (pandangan dari kuala).