Friday, March 27, 2009

Bukit Gantang: imbauan kenangan dan impian ...

Ketika blog ini sedang ditulis, pemimpin dan ahli-ahli UMNO sedang bersidang dalam Perhimpunan Agung di PWTC. Semalam adalah detik mendebarkan apabila keputusan pemilihan pucuk pimpian diumumkan. Timbalan Presiden, tiga orang Naib Presiden dan 25orang Ahli Majlis Tertinggi dipilih. Dan keputusan sudah diumumkan. Semua orang sudah maklum.

Rabu, dua hari lalu saya kembali lagi ke Bukit Gantang, bukan balik berkempen, tetapi balik kampung, buat sedikit projek di kampung. Suasana pilihanraya sudah mula terasa apabila di sepanjang jalan dari Bukit Berapit ke pekan Bukit Gantang penuh dengan bendera parti-parti yang akan bertanding, iaitu UMNO/Barisan dan Pas/PR. Bendera kecil besar memenuhi pinggir jalan. Sungguhpun menurut Suruhanjaya Pilihanraya, kempen begini tidak dibenarkan sebelum tarikh penamaan calon yang akan diadakan pada 29hb. Mac nanti; namun kedua-dua belah baik BN mahupun PR sudah mula berkempen, sekurang-kurangnya dengan perang bendera.

Ketika orang UMNO berkampung di PWTC, orang-orang Pakatan Rakyat/PAS siang malam bekerja keras bergerak memastikan jentera pilihanraya mereka telah melakukan yang terbaik untuk memenangi kerusi Palimen Bukit Gantang. PAS sudahpun mengumumkan calonnya, Datuk Ir Nizar Jamaluddin. Sentiasa ada aktiviti di markas-markas mereka.

Kampung kami sebuah kampung kecil yang dikenali sebagai Kampung Bercat. Kini ia dikenali sebagai sub-kampung atau sebahagian daripada komuniti Kampung Cheh. Kampung kami dikenali sebagai Bercat, mengambil nama sejenis ikan seakan-akan ikan haruan, tetapi saiznya agak kecil. Kampung kami diterokai oleh sekumpulan orang-orang Fatani yang datang dari selatan Thailand. Moyang kami, Haji Ismail adalah orang yang mula membuka penempatan kampung Berchat. Beliau bersama saudara maranya datang dari Fatani melalui laluan Grik, lalu membuka penempatan di lokasi sekarang. Mereka berkembang biak melahirkan beberapa generasi, dan penulis adalah generasi keempat Haji Ismail. Seperti tradisi orang Fatani, Haji Ismail merantau membuka penempatan baru, kemudian membuka pondok pengajian agama.

Seingat saya waktu kecil-kecil dahulu (tahun lima puluhan) masih ada lagi beberapa buah pondok tempat tinggal mereka yang belajar (memondok) atau sentri dari luar daerah. Pondok-pondok kecil dari kayu yang begitu ringkas dan sangat sederhana dibina sendiri oleh pelajar-pelajar yang mahu belajar (memondok) di situ. Lokasinya di sekitar surau tua. Lokasi pondok juga terdapat di hujung kampung (dikenali sebagai Kepala Bendang) di mana terdapat sebuah sekolah agama atau madrasah yang dikenali sebagai Madrasatul Falah. Di situ juga terdapat sebuah rumah agak besar kepunyaan Haji Abdullah Senawi. Beliau dikenali sebagai Tuan Guru kerana beliau yang mengurus madrasah dan mengajar orang-orang kampung dan juga pelajar pondok di situ. Haji Abdullah adalah menantu kepada Haji Ismail, nenek saya.

Pondok di kampung kami tidaklah terkenal sebagaimana pondok-pondok pengajian di Fatani atau di Kelantan. Namun begitu jasanya tidak juga kecil. Seorang tokoh agama terkenal di Perak, Al-Marhum Tuan Haji Ahmad Sungei Petai (Sungei Petai adalah nama kampung tidak juga jauh dari Kampung Bercat), pernah belajar di sini. Tuan Guru Haji Ahmad kini diwarisi oleh beberapa orang anak yang juga dikenali sebagai ulamak. Datuk Haji Hassan Hj Ahmad, kini Mufti Pulau Pinang; Datuk Hj Salleh Hj Ahmad, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulamak Mlaysia, juga Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Selain itu Almarhum Tuan Haji Hussein Che Dol, pengasas pondok Guar Chempedak, Kedah juga mempunyai hubungan rapat dengan Kampung Bercat. Beliau berkahwin dengan orang Bercat. Saya tidak pasti beliau pernah belajar di pondok Bercat atau tidak, tetapi hubungan beliau dengan beberapa keluarga di kampung kami begitu akrab.

Seingat saya, sekitar tahun 60han, aktiviti sekolah pondok sudah tiada lagi. Hanya bersisa beberapa buah pondok usang sebagai sejarah. Namun begitu aktiviti Madrasah Al-Falah terus berjalan. Ia dikenali sebagai sekolah rakyat yang dibiayai sendiri oleh sumber wakaf dari orang-orang kampung. Saya sendiri adalah lepasan (alumni) Madrasah Al-Falah dan latar belakang pendidikan agama di situ menjadi asas kepada pendidikan yang saya lalui kemudiannya.

Madrasah Al-Falah adalah sekolah awal yang memberikan pendidikan agama kepada kami. Kami belajar di sana pada sebelah petang, kerana sesi pagi kami bersekolah biasa - sekolah kebangsaan di Kampung Cheh. Kini sekolah itu telah dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah, Kg Cheh. Di Madrasah Al-Falah kami diajar dan dibimbing oleh ustaz-ustaz lulusan pondok dan sekolah agama. Sebahagian mereka datang dari luar daerah. Kami diajar subjek agama dan bahasa Arab cara lama, perlu menghafal nahu dan saraf. Belajar waktu itu sangat sinonim dengan rotan. Lupa menghafal pelajaran, akan dirotan ustaz. Rotan waktu itu adalah hal biasa! Dalam kelas saya adalah yang termuda (tidak mengikut umur), namun begitu sepanjang lima atau enam tahun di situ, nombor satu adalah milik saya.

Selain pelajaran biasa, satu yang istimewa di sini ialah latihan praktikal (pembangunan sahsiah - soft skill) yang diwajibkan kepada semua pelajar. Setiap hari khamis (hujung minggu), kami diwajibkan menjalankan aktiviti mengaji al-Quran (tarannum), berpidato, berbahas dan bernasyid dalam majlis yang dihadiri guru-guru dan semua pelajar. Di sinilah kami belajar berpidato (public speaking), memberanikan diri berucap di depan khalayak ramai. Setiap tahun waktu ihtifal (hari penyampaian hadiah tahunan), pertandingan membaca al-Quran (musabaqah tilawah), pertandingan syarahan, nasyid akan diadakan. Setiap tahun kami mengambil bahagian, dan saya tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan atau pidato. Saya tidak pernah menjadi johan, hanya di tempat kedua sahaja. Bakat berpidato yang digilap di sini begitu bermakna kepada diri saya, kerana ia menjadi asas sehingga bakat tersebut berkembang ketika di sekolah menengah dan Kolej. Ketika di Universiti (1976) saya pernah menjuarai pertandingan tafsir al-Quran peringkat universiti/ kolej unversiti tempatan. Malahan keupayaan mengendalikan latihan dan kemahiran public speaking yang ada ini adalah berkat asuhan ustaz-ustaz di Madrasah Al-Falah dulu. Syukran kasiran kepada Ustaz Abu Bakar, Ustaz Yusuf, Ustaz Teridi, Ustaz Abd Majid (sebahagian mereka telahpun meninggal), kerana telah mendidik dan mengasuh kami menjadi orang.

Hampir setengah abad sudah, saya meninggalkan alam persekolahan di Madrasah Al-Falah. Kini perubahan telah sangat banyak berlaku sepanjang tempoh tersebut. Secara fizikalnya, bangunan madrasah (yang terakhir dibina dari batu) masih berdiri lagi, namun pengajiannya sudah tiada lagi. Madrasah yang penuh bersejarah kini ditinggalkan sepi sendiri, tiada lagi murid-murid belajar di situ. Entah kenapa, saya tidak mendapat jawaban yang pasti dari orang-orang kampung. Kini anak-anak kampung yang mahu belajar agama terpaksa keluar ke kampung berhampiran untuk belajar. Suatu yang sangat menyedihkan. Dahulu anak-anak kampung luar datang berbondong-bondong belajar di Madrasah Al-Falah kerana tidak banyak sekolah rakyat ketika itu, di samping itu nama Madrasah Al- Falah juga terkenal di daerah Larut Matang Dan Selama.

Dalam hati kecil saya kerinduan kepada kampung laman masih kental. Kata orang 'tempat jatuh lagi dikenang; inikan pula tempat bermain'. Kerinduan itu disemai dalam impian untuk 'balik kampung' dan lakukan sesuatu yang bermakna di sana. Namaun begitu kesibukan menguruskan kehidupan di luar kampung menyebabkan sudah sekian lama impian tersebut tersimpan di sudut hati, belum dapat direalisasikan lagi.

Impian untuk melahirkan IPAL masih kuat. Sudah dilakar di kertas (kertas kerja). Tanah pun sudah sedia. Kalau ada rezeki insyaAllah ia akan dijelmakan juga. IPAL masih belum dapat diceritakan lagi. Biarlah ia sendiri lahir menonjolkan dirinya sendiri, dan orang akan mengetahuinya kemudian. IPAL akan memberikan impak kepada orang-orang kampung, kepada orang-orang kampung sekitar, dan masyarakat Bukit Gantang umumnya.

Biarlah orang politik mengambil apa yang mereka mahu dari Bukit Gantang, namun orang Bukit Gantang menantikan sesuatu yang lebih bermakna daripada janji-janji manis orang politik. Hanya orang Bukit Gantang sahaja yang mampu memberikan sesuatu yang boleh membangunkan kehidupan mereka. Politik hanya akan banyak mengambil dan kurang memberi. Inilah pelajaran dari sejarah lebih 50 tahun lalu. Orang Bukit Gantang perlu belajar dari sejarah, dan bangunkan sendiri kehidupan kita terutama di di bidang ekonomi dan pendidikan.

Sunday, March 8, 2009

Bukit Gantang: gempar politik dan realiti hidup


Sewaktu blog ini ditulis Bukit Gantang menjadi fokus minda dan menjadi lokasi tumpuan, khususnya kepada orang-orang politik kerana pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang P59 akan diadakan pada 7 April depan. Pilihanraya ini diadakan setelah kematian ahli Parlimennya, saudara Roslan Shaharom. Beliau pernah menjadi teman sekamar ketika kami bersama-sama menghadiri program TOT di Kuala Trengganu awal 2005 lalu. Malangnya sejak beliau menang pilihanraya 2003 dan menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang, kami tidak sempat bertemu lagi, hinggalah akhirnya saya mendapat sms pada hari beliau kembali ke RahmatulLah. Kebetulan hari itu saya berada jauh di Kota Kinabalu. Hanya doa dipohon semoga Allah menerima beliau dan amal baiknya, amin!

Bukit Gantang adalah pekan kecil (kalau boleh dikatakan pekan), mempunyai beberapa buah kedai runcit, kedai kopi, gerai-gerai tempat memasar hasil kampung, terutama durian dan buah-buahan ketika musim buah. Seingat saya sejak tahun 60 hinggalah sekarang, pembangunan fizikal pekan Bukit Gantang tidak ada yang dapat dibanggakan. Ianya masih macam dulu-dulu juga. Yang berbezanya nama Bukit Gantang kini lebih gah apabila ia mewakili sebuah kawasan Parlimen yang dulunya dikenali sebagai Larut Matang dan Selama. Sebelumnya ia pernah menjadi DUN, tetapi hari ini ia berada dalam DUN Changkat Jering.

Semalam saya baru pulang ke Bukit Gantang, ke kampung tumpah darah di Kg Bercat. Biasanya balik kampung adalah untuk ziarah keluarga yang masih hidup, di samping melewati persemadian orang-orang tersayang yang telah kembali ke RahmatulLah. Untuk masuk ke kammpung kami, mahu tak mahu terpaksa melewati tanah perkuburan di luar. Walaupun sudah lama meninggalkan kampung laman kerana tuntutan hidup, namun kata orang 'tempat jatuh lagi dikenang, ini kan pula tempat bermain'.

Ketika melewati lebuhraya berhampiran hentian sebelah Bukit Gantang, kelihatan kibaran bendera parti-parti politik didirikan di jejantas untuk ke kampung kami. Perang bendera nampaknya dah bermula, biarpun perang poster belum lagi. Waktu ini hanya cerita tentang beberapa nama calon baik BN mahupun PR yang didengar. Namun hakikatnya hanya akan diketahui pada hari penamaan calon 29 Mac nanti.

Orang politik mempertaruhkan Parlimen Bukit Gantang untuk meraih cita-cita politik mereka. Ia sudah mula menjadi lokasi tumpuan orang politik dari luar, dari luar daerah juga dari negeri-negeri lain. Sudah ada rumah-rumah kosong yang disewa oleh kumpulan parti politik dari luar untuk dijadikan markas operasi mereka. Sudah ditakdirkan Parlimen Bukit Gantang turut terlibat dalam kekusutan politik negeri Perak apabila seorang ADUN yang mengisytiharkan keluar parti (PKR) menjadi wakil bebas adalah ADUN Changkat Jering yang berada dalam Palimen Bukit Gntang. Ketika politik Perak masih kecoh dengan dua Menteri Besar, pemecatan Menteri Besar pilihan rakyat dan perlantikan Menteri Besar baru, dan pelbagai isu politik yang sangat bercelaru, Parlimen Bukit Gantang perlu pula menghadapi pilihanraya kecil akibat kematian penyandang kerusi tersebut.

Apakah ia satu suratan atau hanya kebetulan? Ia menjadi suratan yang akan membawa beberapa indikasi baru kepada politik Perak. Sejak kekecohan isu Menteri Besar hingga waktu ini, politik negeri Perak menjadi begitu bercelaru tanpa kelihatan ada penyelesaiannya dalam waktu terdekat. Masing-masing pihak BN mahupun Pakatan Rakyat cuba memberi justifikasi kepada tindakan masing-masing melalui penafsiran undang-undang berkaitan. Masing-masing yakin sudut pandangan mereka betul. Begitulah apabila undang-undang ditafsirkan. Akhirnya semua akan berakhir di mahkamah, dan ini tentulah memakan waktu. Soalnya rakyat negeri Perak menjadi mangsa akibat perebutan kuasa parti-parti politik terlibat. Pentadbiran kerajaan negeri terganggu. Banyak polisi pentadbiran tidak dapat diterjemahkan dengan berkesan akibat kegawatan politik ini.

Suara rakyat yang akan disalurkan melalui kertas-kertas undi pada 7 April nanti akan menentukan pendirian dan kemahuan sebenar rakyat, terutama penduduk Bukit Gantang. Keputusan tersebut juga nantinya akan menggambarkan satu pandangan baru kemahuan rakyat negeri Perak, dan ia sepatutnya diambilkira dalam membuat keputusan-keputusan politik yang sepatutnya membantu merungkai kekusutan politik Perak hari ini.

Kempen pilihanraya kecil P59 dijangka hangat memandangkan Bukit Gantang turut terlibat dalam kekusutan politik Perak waktu ini. Memandangkan pentingnya keputusan pilihanraya ini, parti-parti yang akan bertanding pastinya akan memanfaatkan isu politik semasa Perak sepenuhnya. Mengikut kebiasaan, bukan sahaja pemimpin politik atasan akan turun padang, tetapi juga projek dan wang ringgit akan turut dibawa turun padang.

Waktu pilihanraya ini orang Bukit Gantang akan ditatang bagaikan minyak penuh. Macam-macam pemberian akan diberi termasuk janji-janji manis. Semuanya klise politik. Selepas pilihanraya nanti, Bukit Gantang akan terus dengan kehidupannya seperti dahulu juga. Tiada janji menarik yang boleh diberi untuk mereka. Rata-rata kemajuan infrastruktur sudah hampir sempurna di sana. Janji-janji pembangunan sudah tidak berkesan lagi. Orang Bukit Gantang seperti juga pengundi tempat lain sudah tidak dapat lagi menerima BN apabila mereka memberi undi kepada PR dalam pilihanraya 2008 yang lalu. Bendahari UMNO tumbang di Parlimen manakala ADUN Cangkat Jering juga tumbang di tangan PR. Orang Bukit Gantang sudah tidak yakin dengan pemimpin BN terutama bekas ADUN, biarpun dia anak tempatan. Rakyat melihat gelagat tipikal orang politik BN yang hanya menggendutkan diri dan kroni, sedang kebajikan penduduk diabaikan. Rakyat akhirnya menghukum wakil rakyat mereka yang tidak tahu menghargai undi yang diberi.

Rakyat Bukit Gantang akan tetap meneruskan kehidupan mereka seperti biasa apabila pilihanraya 7 April ini berlalu. Mungkin hanya beberapa kerat yang mendapat bonus pilihanraya, yang lainya akan melalui kehidupan serupa selepas ini. Orang kampung akan terus mengharungi kehidupan sukar kerana aktiviti pertanian tidak lagi aktif sebagaimana masa lalu. Sawah sudah hampir tiada lagi. kilang padi sudah lama tutup. Kebun getah sudah berkurangan apabila ditebang pokok getahnya, manakala yang lain menggantikannya dengan tanaman kelapa sawit. Banyak juga bukit-bukit yang diterokai dulunya kini ditinggalkan kerana banyak tenaga kerjaya sudah tiada lagi di kampung. Generasi muda keluar dari kampung mencari kehidupan di luar, manakala yang tinggal hanya orang-orang tua yang tidak lagi produktif.

Heboh politik hanya sekejap, ketika pilihanraya. Selepas ini Bukit Gantang akan sepi kembali. Bukit Gantang memerlukan bukannya gegar politik tetapi suntikan pembangunan yang dapat dinikmati oleh penduduknya. Penduduk Bukit Gantang rata-rata adalah orang bukit dan orang laut. Geografinya dilingkungi bukit bukau di belakangnya Gunung Bubu, antara gunung tertinggi di negeri Perak. Sementara pantainya luas meliputi Kuala Sepetang dan Trong. Penduduknya akan kembali mendaki bukit dan turun ke laut mencari pendapatan mereka kerana mereka adalah petani dan nelayan.

Bukit Gantang perlu dibangunkan melalui ciri-ciri geografinya, iaitu tumpuan kepada pembangunan pertanian dan perikanan. Membangunkan kedua bidang ini bermakna membangunkan rakyat di sini. Aset utama pertanian masih lumayan. Tanah pertanian masih luas kerana tanah-tanah yang dulunya sawah dan kebun masih tidak berubah status. Malahan yang berubah ialah ianya terbiar tidak diusahakan. Pendekatan dan teknologi pertanian baru boleh diterapkan untuk membawa hasil yang lebih produktif. Aktiviti pasca pertanian atau aktiviti hiliran juga sesuai diterapkan. Apa yang penting pembangunan pertanian memerlukan model dan coach. Orang kampung selesa dengan sikap tunggu dan lihat. Mereka memerlukan orang lain melakukannya dahulu dan tunjukkan hasilnya.

Penerapan teknologi dan sumber pertanian baru boleh dibawa ke sana. Hari ini orang beralih kepada tanaman-tanaman bernilai tinggi, umpamanya pokok karas untuk gaharu, vanila, herba dan tapak semaian. Tanaman herba misalnya boleh mendatangkan pendapatan bernilai tinggi, tetapi memerlukan pasaran terjamin. Aktiviti akuakultur dan ternakan adalah aktiviti bernilai tinggi yang boleh diusahakan. Pihak berkuasa pertanian dan perikanan tempatan boleh membantu.

Bukit Gantang terkenal dengan duriannya. Keenakan duriannya terkenal ke seluruh negara. Namun begitu raja buah ini tidak lagi menjanjikan kemewahan kepada pemduduk Bukit Gantang, sebagaimana tiga empat puluh tahun lalu. Masa dah berubah, durian sudah banyak terdapat di daerah-daerah lain, sehingga musim durian pun dah tiada. Di Kuala Lumpur, saban waktu durian boleh dibeli. Kejatuhan harga durian tidak dapat dilihat secara positif untuk mencari alternatif kepadanya. Tak ramai orang kampung yang mahu membuat lempuk durian dan tempoyak secara komersil. Harga durian memang rendah ketika ia melambak di pasaran tetapi harga lempuk dan tempoyak akan stabil sepanjang masa, dan ia boleh dijual di luar musim durian. Sepatutnya sudah ada bengkel kecil di sini yang mengusahakan projek lempuk dan tempoyak secara komersil.

Gambar: almarhum Hj Ruslan Shaharom

Wednesday, March 4, 2009

Kongsilah Maklumat Yang Ada


Lima hari lalu saya berada di Surabaya dan Malang. Malang yang dikenali sebagai kota madya yang tenang, bercuaca sederhana dan agak dingin di malam hari, kini terasa dinginnya kerana musim hujan. Malang adalah antara sebuah bandar yang agak besar di Indonesia, terletak di kawasan perbukitan. Bersebelahan dengannya adalah sebuah bandar kecil dikenali sebagai Batu. Orang Malaysia mengenali Batu sebagai tempat bersejarah di mana seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai 'orang yang paling dikehendaki' di Indonesia telah terbunuh dalam operasi memburunya. Dr Azahari, seorang pemimpin kumpulan pengganas yang diburu oleh pemerintah Indonesia sekian lama, terbunuh di Batu. Batu juga dikenali dengan buah epalnya. Penduduk di Batu menanam epal dan ia banyak dipasarkan di Batu dan di Malang.

Sejak beberapa tahun lalu saya sering mengunjungi Indonesia untuk menggarap ilmu dan informasi di sana. Mengapa di Indonesia? bukankah di sini juga banyak ilmu dan informasi yang dapat digali? Soalan ini kadang-kadang ditanyakan kepada saya oleh rakan-rakan, dan kadangkala ia timbul juga di kepala saya sendiri. Mengapa ke sana?

Jawabannya adalah pertama, saya merasakan di sana lebih mudah, lebih murah dan lebih terbuka dalam soal pengaliran ilmu dan informasi. Dengan kos yang rendah kita boleh memperolehi maklumat yang diidam-idamkan. Contohnya perlatihan atau kursus yang dianjurkan di sana jauh lebih murah berbanding dengan yang ditawarkan di negara ini. Di samping itu banyak maklumat yang dibuka kepada umum, dan penyebaran maklumat di sana terasa begitu ikhlas dan meluas.

Kedua, pengaliran maklumat agak terbuka dan ikhlas. Para saintis dan penyelidik yang terdiri daripada profesor dan pegawai di jabatan Kerajaan di sana mempunyai keihklasan untuk berkongsi maklumat hasil penyelidikan mereka dengan orang awam. Mereka menulis dan menyajikan hasil penyelidikan mereka dalam media massa. Mereka turun ke tengah masyarakat berkongsi manfaat hasil penyelidikan tersebut.

Ketiga, penyebaran maklumat begitu terbuka dan meluas. Buku-buku hasil kajian ditulis secara umum (dalam bahasa yang mudah, tidak terlalu teknikal), dibukukan dan dijual untuk bacaan orang awam. Maknanya hasil penyelidikan mereka dibukukan untuk dikongsi dengan pembaca umum. Buku-buku tentang pelbagai aspek penyelidikan termasuk tentang biotek, agrotek dan penemuan-penemuan terbaru misalnya tentang teknologi hidro (enjin kenderaan), biodisel, bio-etanol, semuanya boleh didapati di rak-rak buku di kedai-kedai buku di sana.

Hari ini rakyat Indonesia mengembangkan hikmah yang mereka perolehi daripada musibah yang menimpa mereka. Contohnya kenaikan harga minyak (dikenali sebagai BBM atau bahan bakar minyak) tahun lalu benar-benar menyiksakan, terutama kepada rakyat bawahan. Rata-rata rakyat biasa menggunakan minyak tanah untuk bahan bakar harian. Bayangkan ketika harga minyak melambung, mereka terpaksa membayar harga yang sangat tinggi untuk minyak tanah. Harga petrol pernah mencecah Rp 6 000, bersamaan RM 2 lebih. Harga itu mencecah sampai Rp 10 000 (hampir RM 4) di lokasi-lokasi yang jauh dari bandar. Minyak bukan sahaja jadi mahal tetapi juga sukar diperolehi, terutama di luar bandar.

Rakyat Indonesia memperolehi rahmat di sebalik musibah tersebut. Muncullah kajian-kajian tentang bahan alternatif untuk menggantikan minyak. Para penyelidik yang terdiri daripada saintis dan orang biasa menjadi kreatif mencipta pelbagai alternatif kepada minyak. Lahirlah kajian tentang biodisel dan bio-etanol daripada bahan alami tempatan. Biodisel dari buah jarak, ubikayu, buah kabung dihasilkan. Di samping itu ciptaan bahan bakar baru dari sumber bahan buangan seperti briket dari arang tempurung. Di samping itu terdapat juga orang yang mencipta enjin menggunakan teknologi hidro atau air. Kreativiti mereka adalah dicetuskan oleh desakan-desakan untuk mencari pilihan kepada masalah kos minyak yang mereka hadapi.

Di bidang pertanian mereka mendalami bidang-bidang agrotek dan biotek. Teknologi EM berkembang pesat di sana. Pengolahan sumber buangan menjadi baja organik. Teknologi pembenihan tisu didik (tissue culture)tidak lagi menggunakan bahan-bahan mahal di makmal, tetapi telah dicipta menggunakan bahan murah dan mampu diusahakan di belakang rumah petani. Sisa kumbahan dari najis binatang diolah menjadi sumber tenaga gas dan juga baja kompos. Sumber-sumber tanaman dimanfaatkan dengan penghasilan produk hiliran yang bernilai tinggi, misalnya minyak pati daripada nilam, serai, limau purut, bunga-bungaan dan sebagainya. Kerana tingginya nilai sarang burung layang-layang (dikenali sebagai walet) maka mereka mengusahakan aktiviti menternaknya. Terakhirnya adalah penemuan asap cair dari sisa buangan industri kelapa dihasilkan untuk pasaran bahan pengawet (menggantikan penggunaan bahan kimia fomalin).

Saya pernah berkhidmat lebih 16 tahun di sebuah universiti tempatan. Saya melihat satu sikap yang jauh berbeza di kalangan para saintis baik di pusat pengajian tinggi mahupun di institusi penyelidikan Kerajaan, berbanding dengan golongan sama di Indonesia. Mereka (penyelidik di Malaysia) menjalankan pelbagai penyelidikan yang dibiayai oleh Kerajaan bernilai jutaan Ringgit. Malangnya hasil penyelidikan sekadar memenuhi rak-rak fail di jabatan atau perpustakaan, dan ia digunakan untuk tujuan-tujuan pencapaian akademik dan kenaikan pangkat dan jawatan sahaja. Terlalu kurang hasil penyelidikan kita yang dirakyatkan dengan menulis kembali hasil penyelidikan tersebut untuk tatapan pembaca umum. Kalau adapun, tesis-tesis ilmiah dibukukan dalam bentuk asal, penuh teknikal dan bersifat akademik. Ia diterbitkan oleh penerbit-penerbit universiti, dan berakhir di stor simpanan, berdebu dan berkulat. Ia sukar dijual di pasaran kerana orang ramai tidak faham mengenainya. Lagi pula kos penerbitannya tinggi.

Lebih parah lagi, sikap sebahagian penyelidik yang tidak ikhlas dalam kerjayanya. Sebahagian (tidak semua) penyelidik begitu individualistik dan berkepentingan. Hasil penyelidikannya dirahsiakan dan tidak mahu dikongsi dengan orang lain, seolah-olah menjadi hak miliknya sendiri. Mereka merasakan ia adalah rahsia peribadi yang hanya untuk manfaat diri sendiri. Ada yang keluar membawa hasil penyelidikan yang dibiayai oleh wang rakyat, dan mengkomersilkannya secara peribadi. Tidak banyak manfaat yang diperolehi oleh Kerajaan dari hasil kajian yang menelan biayai jutaan Ringgit ini apabila ia cuba disimpan, diperibadikan dan dikomersilkan sendiri. Sebahagian lagi mengkomersilkan hasil kajian melalui kursus dan konsultansi yang berharga tinggi, yang tidak mampu diikuti oleh orang biasa.

Sungguhpun saya mempunyai hubungi peribadi dengan ramai rakan-rakan yang berkerja di pusat pengajian tinggi mahupun di pusat penyelidikan, namun saya merasa tiada 'peluang' untuk berkongsi manfaat ilmu dan pengalaman mereka. Sebahagian mereka sering pesimis bila diajukan cadangan memanfaatkan ilmu mereka untuk kemakmuran ekonomi rakyat. Akhirnya saya merasakan jauh lebih selesa untuk ke Indonesia mencari pelbagai maklumat bermanfaat di sana.

Sesuatu perlu dilakukan oleh kita, kalangan penyelidik dan saintis tempatan, dan juga Kerajaan yang membiayai kerjaya mereka. Marilah kita mengambil sikap baru dengan mengikhlaskan kerjaya kita untuk rakyat dan negara. Gaji besar yang dinikmati adalah wang rakyat, oleh itu adalah menjadi hak rakyat untuk mendapat apa jua manfaat dari kerjaya kita, mengajar dan menyelidik. Buka dan sebarkanlah hasil penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh orang ramai. Terjemahkan kerja-kerja kita dengan menghasilkan buku atau risalah yang mampu dibaca dan difahami orang ramai agar mereka memperolehi manfaat darinya. Pihak berkuasa penyelidikan (intitusi penyelidikan Kerajaan) perlulah menilai usaha mengkomersilkan hasil kajian supaya ia tidak terlalu bersifat komersil. Kursus-kursus yang ditawarkan biarlah pada kos yang munasabah dan membantu orang ramai.

Pernah terjadi pada seorang sahabat saya sepuluh tahun lalu. Beliau kerugian sejumlah wang yang besar hanya kerana mahu membeli hak mengkomersilkan hasil penyelidikan sebuah insitusi penyelidikan tempatan. Kos konsultansinya tinggi tetapi hasilnya tidak kesampaian. Padahal produk yang sama telahpun ada dalam pasaran tanpa perlukan penyelidikan yang begitu tinggi kosnya. Intitusi penyelidikan tempatan perlulah mengkaji semula usaha penyebaran maklumat yang selama ini mereka lakukan dengan kos tinggi kepada pengguna. Kajian yang mereka lakukan telahpun dibayar oleh Kerajaan melalui gaji dan gran penyelidikan. Oleh itu mereka tidak sepatutnya membuat duit lagi dengan menjual hasil-hasil penyelidikan tersebut.

Lebih penting lagi para saintis kita perlu ada kesedaran untuk terus menyumbang kepakaran mereka sebagai satu amal jariah, berkongsi ilmu yang mereka perolehi dengan orang lain. Semangat inilah yang akan menyemarakkan lagi dunia keilmuan kita. Ingatlah bahawa ilmu adalah satu amanah, untuk diamalkan dan juga untuk disebarluaskan. Menulis untuk menyebarkan ilmu bukan lagi menjadi hobi atau kerja suka-suka, tetapi ia menjadi satu tuntutan kerana ia adalah satu wadah penyebaran ilmu. Ingatlah bahawa ilmu yang dikongsikan dan dimanfaatkan oleh orang ramai akan menjadi amal berkekalan sesudah kita tiada lagi di sini.

Gambar: pemandangan indah perkebunan di Batu.