Friday, July 9, 2010

ESQ: apa masalahnya?


Semalam, Sabtu 9 Julai, muka hadapan Berita Harian memaparkan tajuk besar ESQ haram. Beritanya tentang fatwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd. Menurut berita tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan telah menandatangani warta pengharaman tersebut pada 10 Jun lalu mengikut subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1953.

Saya sendiri membuka halaman web Mufti Wialayah untuk membaca sendiri warta tersebut. Pihak Mjlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mempunyai hujah-hujah pengharaman seperti tercatat di dalam Warta tersebut. "Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian dan apa-apa ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam ..." Digariskan 10 ciri yang menyebabkan ianya menyeleweng. (rujuk Warta tersebut).

Sementara itu pula panel penasihat syariah ESQ Leadership Training S/B yang dianggotai oleh ulamak dan bekas mufti beberapa buah negeri mempertahankan yang program tersebut tidak menyeleweng daripada akidah Islam.

Sebagai seorang turut meneliti dan membaca bahan-bahan ESQ (bukan terhad kepada modul program Ary Ginanjar sahaja), saya agak terkejut dengan fatwa tersebut. Sebenarnya konsep ESQ bukanlah baru, cuma di negara ini ia baru dikenali kerana dipopularkan melalui program anjuran Ary Ginanjar. Sebenarnya sudah banyak buku dan tulisan tentang ESQ sebagai sebahagian daripada perkembangan bidang psikologi moden. Ia banyak digunakan dalam program latihan sebagaimana aspek-aspek lain seperti NLP, Mind programme, Hipnopsis dan seumpamanya.

ESQ hanya poular setelah Ary Ginanjar mengembangkan program ini berasaskan prinsip ihsan, rukun iman dan rukun Islam yang beliau namakan ESQ Way 165 itu. Program ini mendapat sambutan hangat baik di Indonesia mahupun di Malaysia. Saya sendiri belum pernah mengikuti latihan ini, hanya membaca bukunya sahaja.

Sebagai seorang yang mengikuti perkembangan psikologi moden, subjek ESQ bukanlah asing bagi saya. ESQ adalah satu bidang kajian psikologi, kajian tentang potensi diri manusia. Ianya adalah sebuah hasil studi yang dimulakan oleh Danah Zohar. Sebagai kajian ilmu, ESQ diasaskan kepada sains minda yang melibatkan aspek emosi dan spiritual, dan ia tiada kaitan langsung dengan kepercayaan atau pegangan agama. Mungkin kerana ia melibatkan aspek spiritual, maka sebahagian orang agak sensitif kerana spiritual adalah aspek yang rapat dengn agama. Namun melihat dari sudut ilmu, ESQ adalah satu kaedah atau kerangka asas sahaja dan ianya boleh digunapakai oleh sesiapa sahaja. Apa yang penting ialah pengisian spiritual itu ditentukan sendiri oleh kita.

Kalau kita mengharamkan atau menganggap ESQ menyeleweng kerana Donah Zohar seorang Yahudi, maka hujah ini agak emosional dan menyempitkan konsep ilmu itu sendiri. Lagipun melalui ESQ tidak nampak yang beliau menyebarkan ajaran agama Yahudi kerana ESQ itu sendiri hanyalah teori ilmu yang umum. Sebab itu kita dapati pengguna ESQ hari ini menggunakannya sebagai satu kaedah dan memanfaatkan penemuan kekuatan darip-ada elemen ESQ itu semata-mata; manakala pengisiannya adalah bergantung kepada penggunanya. Sepanjang yang saya faham, ESQ bukan satu ajaran, satu pegangan atau satu akidah. Ianya adalah teori pembinaan diri, teori psikologi yang perlu diterima secara rasional, terbuka dan ilmiah.

Saya berpendapat, ESQ eloklah diteliti, dikaji dan dibedahsiasat secara menyeluruh dan secara ilmiah oleh ulamak kita sebelum kita memfatwakannya. Kerana menghukum haram dan menyeleweng daripada akidah Islam adalah satu keputusan yang besar impaknya. Apakah fatwa dibuat setelah kita benar-benar mengkaji, mendalami dan mengadilinya dengan saksama dari pelbagai sudut dan seginya? Kita akan terasa rugi sekiranya ESQ yang bermanfaat untuk digunakan dalam stategi berdakwah dipandang serong sebegitu. ESQ hanyalah satu kaedah, satu pendekatan untuk pendidikan sebagaimana juga bidang psikologi pendidikan yang kita anggap bermanfaat itu.