Wednesday, November 14, 2012

Salam Maal Hijrah 1434

Salam Maal Hijrah 1434 kepada semua pembaca. Setiap tahun awal Muharram akan datang apabila sampai ketika dan waktunya. Ia datang membawa fajar tahun baru Hijrah. Kita di Malaysia merayakannya sebagai Ma'al hijrah (Bersama Hijrah).

 Ma'al Hijrah mengingatkan saya kepada masa lampau ketika mana kita di Malaysia belum lagi merayakan Tahun baru Hijrah sebagaimana sekarang ini. Ketika itu(sekitar awal tahun 70 an), saya ada menulis di majalah tentang perlunya kita merayakan awal Muharram sebagai salah satu tarikh penting dalam kehidupan umat. AlhamdulilLah apabila kini Ma'al Hijrah telah disambut dengan cuti umum dan perayaan, saya adalah antara orang yang sangat gembira kerana saya sangat berhasrat agar awal Muharram dimeriahkan dalam kehidupan umat.

 Menyambut awal tahun menjadi satu detik terpenting kepada semua umat manusia. Sebahagian bangsa di dunia menjadikan awal tahun mereka sebagai hari raya yang disambut sebagai hari kebesaran mereka. Orang Cina misalnya, menyambut tahun baru mereka sebagai hari besar mereka.

 Jadikanlah Ma'al Hijrah sebagai satu detik yang signifikan kepada diri kita. Semoga detik-detik bermakna ini dijadikan titik mula untuk bergerak ke hadapan, tanpa mengira di mana kita berada, pada usia mana kita sekarang. Hidup kita tanpa mengira usia adalah satu tempoh perjalanan yang masih panjang. Di hadapan adalah perjalanan pasti, iaitu hidup dan mati; kemudian hidup kembali di dunia lain, alam kubur dan alam akhirat yang abadi. Apabila kita melihat kehidupan sebagai sebuah perjalanan panjang, tanpa berhujung (sebagaimana tasawwur Islami), maka kita akan optimis melihat masa depan adalah sebuah penerusan kehidupan tanpa ada titiknya.

Proses hidup, mati dan hidup kembali hanyalah proses-proses perjalanan yang telah disunnahkan Allah SWT. Pada usia mana pun, kita tetap berada dalam perjalanan, cuma perjalanan yyang kita nampak adalah perjalanan hidup di dunia, manakala perjalanan seterusnya adalah hal-hal ghaib yang hanya kita percaya tanpa pernah mengalaminya. Oleh itu marilah kita hayati makna kehidupan holistik, iaitu kehiduan yang bermula dari alam rahim, kemudian ke alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat.

Friday, November 2, 2012

Berkorban di kampung.

Seekor dari lembu korban
Aidil Adha seminggu telah berlalu. Aidil Adha baru-baru ini disambut di kampung halaman, Kg Berchat. Setelah sekian lama tidak berraya di kampung, tahun ini kami anak beranak dan cucu-cucu kembali ke kampung menyambut Aidil Adha dan menyembelih qurban. Tiga ekor lembu dikorbankan di surau manakala dua ekor lagi di markas. Kemeriahan melaksanakan qorban di kampung terasa masih panas, apabila penduduk kampung masih lagi meneruskan tradisi gotong royong dan kerjasama serta berkenduri.

Aidl Adha adalah antara hari istimewa dalam kalendar Islam. Ia diikuti oleh tiga hari tsyrik di mana hari-hari ini begitu sinonim dengan ibadah Haji. Jutaan umat Islam telahpun sempurna melaksanakan ibadah Haji dan masing-masing mengharapkan Haji yang mabrur. Semoga Allah SWT mengabulkan doa mereka, amin!

Bergotong royong melapah lembu korban. Kehadiran Aidil Adha setiap tahun, mengimbau pngalaman silam melaksanakan Haji. Terbayanglah masa-masa indah berada di Mekah. Dari kota Mekah, berangkah ke Arafah. Di Arafah kita menumpukan seluruh jiwa raga kepada pengisisan waktu untuk bertaqarrub sesungguh-sungguhnya. Kemudian berangkat ke Mina, melewati Muzdalifah. Di Mina orang melaku qurban.

Friday, September 21, 2012

MERAIH CINTA AL-KHALIQ, sebuah karya terbaru.

Setelah sekian lama menanti lahirnya karya baru ke pasaran, maka selesailah usaha pihak penerbit, Karya Bestari melahirkan buku mutakhir saya, MERAIH CINTA AL-KHALIQ (MCaK).

Terima kasih kepada team Karya Bestari yang sungguh komited untuk menerbitkan buku ini dan beberapa buah buku lain, insyaAllah. Buku MCaK ini bukanlah sebuah karya terbaru, kerana ia dihasilkan bertahun-tahun lalu. Cuma ia sebuah buku terbaru saya yang diterbitkan. Sebetulnya masih banyak naskah buku baru yang telah disiapkan. Namun ia masih belum menjadi buku selagi ia tidak diterbitkan.

Mencari penerbit untuk menerbitkan buku bukanlah usaha yang senang. Rasa saya menulis buku lebih senang lagi, kerana akhir-akhir ini setiap bulan saya mampu menghasil sebuah naskah. Namun mendapatkan penerbit adalah perkara yang memeningkan. Mendapatkan sebuah penerbit yang sesuai dengan kita, sesuai dengan buku kita tidaklah mudah.

Ada penerbit yang ada nama, mereka agak pemilih. Mereka lebih suka menerbitkan buku-buku yang menggunakan nama dan wajah selebriti (malahan buku itu ditulis oleh editor bukan penulis). Penerbit begini tidak menilai karya tetapi memikirkan populariti selebriti yang dapat melariskan buku mereka. Kalau anda bukan selebriti, tidak mudah anda menerbitkan buku dengan mereka. Mereka tidak memilih karya tetapi memilih nama dan wajah yang sedia popular. Strategi penerbit begini menjadi. Memang buku mereka meletup.

Namun di sebaliknya wujud 'kemunafikan' dalam industri buku. Pembaca dikelirukan dengan cover bergambar besar wajah selebriti tetapi karya sebenar adalah buah tangan orang lain. Kini menjadi trend beberapa penerbit yang sanggup melakukan hal ini demi fulus.

Ketika rakaman promo untuk TV al-Hijrah.

Buku MCaK akan memasuki pasaran seminggu dua lagi. Ia sedang giat dipromosikan oleh penerbit. Baru-baru ini telah diadakan rakaman promo untuk TV Al-Hijrah. Saya sangat berharap buku mutakhir ini dapat memberi impak kepada pasaran buku, kerana kejayaan naskah-naskah terbaru akan banyak bergantung kepada penerimaan pembaca kepada buku ini.

MCaK sudah dipromo dalam fb Karya Bestari. InsyaAllah melalui usaha promosi serius penerbit, buku ini akan mudah menempuh cabaran pasaran. Buku MEMBINA IMPIAN sebelum ini yang diterbitkan oleh PTS Millenia diulangcetak. Saya mengharap hal yang sama akan berlaku ke atas buku MCaK ini, insyaAllah.

Friday, August 10, 2012

Fasa akhir Ramadhan.

Kini Ramadhan sudah memasuki fasa terakhir, fasa ketiga. Dua fasa awal iaitu fasa Rahmah (rahmat) dan fasa Maghfirah (Keampunan) telah pun berlalu; manakala fasa akhir ialah fasa Diselamatkan daripada api neraka.

Inilah masa-masa terpenting dalam Ramadhan kerana ia mengandungi terlalu sarat dengan ganjaran Allah SWT. Di sinilah terdapat Malam Qadr atau Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang nilainya melebihi seribu bulan. Dalam tempoh masa inilah terjadinya peristiwa besar iaitu penurunan al-Quran. Hal ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran dalam beberapa ayat, iaitu pada ayat 185 al-Baqarah dan juga ayat 1 surah al-Qadr.

Selain itu terdapat pula satu malam yang sangat bernilai iaitu Lailatul Qadr. Mengenai Malam Qadr ini, ia disebut sebagai satu malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan, atau 83 tahun lebih. Ia adalah satu ganjaran yang berganda-ganda (iaitu hampir 30 000 kali ganda). Al Qadr bermakna kemuliaan. Malam itu sangat mulia kerana kemuliaan nilainya di sisi Allah SWT. Di samping itu turunnya para malaikat dan juga Jibril ke bumi, merahmati umat di bumi, menyeru orang beriman, mendoakan mereka dan membawa rahmat kepada mereka. Itulah antara kemuliaan Malam Qadr.

Al Qadr juga bermakna sempit. Ia merujuk kepada keadaan bumi menjadi sangat sesak dengan para malaikat yang jumlahnya jauh lebih ramai daripada jumlah manusia di bumi. Mereka turun beramai-ramai ke bumi dengan membawa urusan Tuhan, sehingga bumi menjadi sesak dan sempit. Sepanjang malam daripada masuknya matahari hingga terbit pula keesokannnya, bumi dipenuhi dengan sejahtera atau salam. Salam adalah merujuk satu keadaan yang sangat sejahtera, aman damai, tenteram.

Bagi orang beriman yang sedar dan tahu tentang kelebihan malam Qadr ini, mereka akan mendirikan malam (qiamullail) dengan ibadah wajib dan sunat. Antaranya ialah beriktikaf (duduk di masjid), solat tarawikh, solat witir, solat sunat lainnya, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa bermunajat. Oleh kerana tiada siapa yang pasti dengan tepat malam bila Malam Qadr itu, maka Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya meningkatkan usaha dan amal di sepuluh malam terakhir Ramadhan, khususnya malam-malam ganjil.

Melalui hadis riwayat Aisyah RA,katanya: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh bangun malam) pada sepuluh hari terakhir Ramadhan yang beliau tidak lakukan kesungguhan seperti itu pada malam-malam lainnya. (HR Ahmad, Muslim dan Tarmizi).

Antara doa yang masyhur, yang juga diriwayatkan oleh Aishah RA ialah: Allahumma innaka 'afuwwun karimun tuhibbul 'afwa fa'fuanni (Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan kesalahan hamba-hambamu, lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku). (HR Tarmizi).

Oleh itu banyaklah berdoa, mohon kemapunan dan pembebasan daripada azab neraka. Ingatlah kepada hadis berkaitan rahmat keampunan Allah SWT kepada orang-orang yang benar-benar berpuasa dan mendirikan malam Ramadhan dengan penuh iman dan sedar.

Abu Hurairah meriwatkan, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menghayati Malam Qadr (degan solat dan beribadah), sedangkan ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT niscaya diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (HR Bukhari).

Friday, June 15, 2012

Bermikrajlah kita.

masjidl Aqsa.

Sehari dua lagi menjelanglah 27 Rajab, iaitu satu tarikh bersejarah dan sangat penting kepada kita orang-orang Islam. Pada tarikh ini terjadi satu peristiwa luar biasa dan mukjizat besar kepada nabi Muhammad SAW, iaitu Isra' dan Mi'raj. Isra' adalah perjalanan pada waktu malam, manakala mi'raj pula adalah perjalanan naik ke langit.

Melakukan perjalanan adalah satu daripada ciri-ciri kehidupan manusia. Melalui perjalanan kita dapat menambahkan ilmu, pengalaman dan membuka fikiran. Malahan perjalanan merupakan sebahagian daripada proses mematangkan diri seseorang. Benarlah kata pepatah: jauh berjalan luas pandangan, bertambah pengalaman.

Namun begitu Isra' Mi'raj adalah sebuah perjalanan yang sungguh unik dan agung, kerana ia melibatkan seorang manusia agung, nabi SAW. Ia adalah sebuah perjalanan yang dirancang, bukan oleh dirinya tetapi ia adalah sebuah perjalanan yang ditakdirkan oleh Pencipta, Tuhan Rabbul 'Alamin. Perjalanan ini menjadi antara ujian besar kepada manusia, iaitu antara orang yang beriman dan yang kufur. Isra' Mi'raj membersihkan golongan yang benar-benar beriman daripada golongan yang belum sempurna iman mereka. Ia membersihkan hati orang-orang beriman daripada apa jua keraguan.

.

Inti daripada Isra' dan Mi'raj adalah perjalanan yang penuh dengan mukjizat di mana Rasulullah SAW telah didedahkan kepada beberapa peristiwa penuh pengajaran. Sepanjang perjalanan tersebut baginda SAW telah diperlihatkan kepada pelbagai gambaran kehidupan di akhirat nanti. Juga perjalanan yang menemukan baginda SAW dengan para rasul sbelumnya, dan yang paling agung ialah perjalanan ke sidratul muntaha, iaitu titik hujung perjalanan yang tidak pernah ditempuhi sesiapapun kecuali Rasulullah SAW.

Di penghujung perjalanan adalah sebuah anugerah agung iaitu kesempatan menerima jemputan istimewa daripada Allah SWT, di mana antara anugerah istimewa di pertemuan tersebut adalah solat. Solat dikurniakan di langit, tidak sebagaimana perintah ibadah-ibadah lain yang diturunkan ke bumi melalui Jibril AS. Solat merupakan sebuah anugerah istimewa kerana ia dianugerahkan di langit ketika Rasulullah SAW diundang ke sana, melewati sebuah perjalanan agung Mi'raj.

Perintah solat adalah 50 kali sehari semalam. Jumlah itu dikurangkan setelah beberapa kali melalui proses permohonan oleh Rasulullah SAW supaya jumlah itu dikurangkan. Akhirnya Allah SWT telah mengizinkan solat dikurangkan kepada hanya 5 kali sehari semalam. Walaupun jumlah dikurangkan namun nilai solat tetap kekal pada 50. Bermakna ia sebuah anugerah keringanan beban tetapi tiada kekurangan nilai. Inilah rahmat Allah SWT.

kompleks al-Aqsa.

Solat merupakan sebuah anugerah, sebuah hadiah istimewa untuk kita umat Muhammad SAW. Inilah anugerah yang kekal dan diwariskan kepada kita sehingga akhir zaman. Maka solat perlulah dinilai dengan ukuran ini, kerana solat adalah sebuah ibadah terpenting, ia diterima di langit, dan solat juga adalah ibadah yang menghubungkan kita di bumi dengan langit. Solat itu sendiri merupakan mi'raj kita, yang kita lakukan sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam.

Kepada kita umat Islam, khususnya umat hari ini, solat tidak begitu diberi perhatian sebagaimana sepatutnya. Ramai orang Islam yang tidak bersolat, ada yang tidak cukup lima waktu, ada yang melalaikannya. Buktinya sangat mudah dilihat. Lihatlah masjid-masjid umat Islam. Bangunan indah dan besar kosong ketika asolat jamaah lima waktu, terutama waktu subuh. Masjid hanya penuh ketika solat Jumaat, seminggu sekali. Lebih sesak lagi ketika solat hariraya setahun sekali. Ini semua terjadi kerana mereka tidak benar-benar mengenali solat, tidak merasai keagungan solat dan tidak merasakan kemanisannya.

Solat adalah urusan langit yang dianugerahkan di langit. Ia merupakan ibadah penghuni langit dan bagi kita solat merupakan hubungan bumi dan langit. Maka solat merupakan sebuah anugerah yang memberikan kesempatan kita umat Muhammad untuk terus menikmati pengalaman mi'raj. Oleh itu bersolatlah, bermi'rajlah.

Monday, June 11, 2012

Teruknya politik kita!

Secara politik, negara kita sedang berdepan dengan ketidaktentuan masa depan politik. Masing-msing pihak baik pemerintah mahupun pembangkang (dalam konteks parlimen dan ADUN), masing-masing sedang berangan-angan untuk menang dan menguasai pemerintahan. Politik adalah jambatan kepada pemerintahan. Orang berpolitik adalah untuk berkuasa, untuk memerintah.

Akhir-akhir ini kita merasakan pelbagai hal yang tidak menyenangkan apabila melihat aktiviti orang-orang politik, iaitu orang-orang Malaysia yang begitu ghairah berpolitik. Dalam dunia demokrasi semua orang boleh bersuara. Namun dalam kes politik Malaysia kelihatan banyak sangat hal-hal yang tidak demokratik berlaku dan dilakukan sewenang-wenangnya oleh orang politik. Kita merasakan, seolah-olah orang politik begitu berkuasa melakukan apa sahaja asalkan ia dipercayai boleh memenangkan mereka.

Tanpa memihak, mana-mana pihak pun ada memperlihatkan ciri-ciri jelik ini. Dalam parlimen kita melihat menerusi media massa bagaimana wakil-wakil rakyat berdebat dan berhujah. Mereka sudah tidak merasa malu apa lagi merasa berdosa bercakap dengan bahasa yang tidak wajar dilafazkan dalam dewan yang mulia. Mereka beremosi dalam berhujah sehingga yang keluar adalah letusan emosi tak terkawal, bukan hujah bernas dan berfakta. Tuduh menuduh dan pergaduhan melalui kata-kata memperlihatkan suatu yang kita tidak mahu lihat terjadi dalam dewan rakyat dan DUN.

.

Aktiviti kurang matang oleh mereka yang mahu menjadi pemimpin, membuktikan betapa politik orang Malaysia sangatlah kotor. Mereka seolah-olah membenarkan tanggapan bahwa 'politik adalah permainan kotor'. Menggunakan kebebasan dewan dengan berkelakuan seperti anak-anak adalah satu yang sepatutnya memalukan diri sendiri. Namun yang terjadi, ada orang yang bangga berkelakuan sedemikian.

Satu sikap yang amat tidak wajar adalah pebuatan menelanjangi pihak lawan (khususnya secara peribadi) dengan pendedahan yang sangat mengaibkan. Mereka lupa betapa besarnya dosa membuka aib orang. Dalam politik dosa ini jelas dipermain-mainkan. Orang kelihatan begitu suka membuka kain orang, mempamerkan aib orang supaya diketahui umum. Dengan sokongan media yang terlalu taksub kepada sensasi dan sikap taksub kepada parti-parti tertentu, aib ini menjadi bahan bukan sekadar didengar dan dibaca tetapi ditonton oleh semua orang.

Pelbagai paparan video lucah dilakukan untuk tujuan tersebut. Pelbagai pendedahan demi pendedahan, mengorek cerita peribadi orang, hanya kerana mahu menjatuhkan mereka, ghairah dilakukan oleh orang-orang tertentu. Media pula amat ghairah menyiarkannya. Kini tiba-tiba muncul pelbagai NGO yang tidak tentu arah tujunya, menonjolkan imej peribadi pemimpinnya, untuk mendapat publisiti murah, kononnya menyokong pihak-pihak politik tertentu. Mereka dalam pertubuhahn NGO, tetapi terang-terang berpihak dalam politik. Apa dan siapa sebenarnya mereka yang sangat digemari oleh media ini?

Pilihan ke-13 sangat hampir, biarpun tiada siapa dapat meneka bila diadakan. Semakin dekat pilihanraya, kita melihat melihat orng-orang politik semakin ghairah beraktiviti. Majoritinya adalah orang-orang Melayu/Islam. Sebahagian besar mereka mabuk politik hingga lupa kepada nilai-nilai budaya Melayu dan syariat agama sendiri. Apa mereka ingat bahawa KUASA adalah segala-galanya sehinggakan untuk mendapatkan KUASA itu budaya bangsa dan akidah agama dapat dikesampingkan? Fikir-fikirlah!