Saturday, November 28, 2009

Wisata dan wisuda ke Bandung.


Minggu lalu dari 21 - 26 November, kami sekeluarga ke Bandung untuk meraikan Wisuda (konvokesyen) Muzaffar pada 23 November. AlhamdulLah, beliau telah berjaya menamatkan pengajiannya di bidang pergigian di Universitas Padjadjaran selama lima tahun. Syukur kerana beliau telah mendapat Kepujian dan berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.

Majlis konvokesyen atau wisuda mengikut sebutan Indonesia dijalankan di dalam suasana penuh istiadat tetapi sederhana dan menceriakan. Oleh kerana majlisnya sederhana tetapi begitu emosional diiringi lagu koir, ia terasa begitu emosional. Pengalaman menghadiri dua kali majlis wisuda di sini terasa berbeza dengan majlis konvokesyen di universiti kita di Malaysia. Belasan tahun saya terlibat dalan menganjurkan majlis konvokesyen ketika bertugas di UPM dahulu. Majlis konvo kita terlalu sarat dengan istiadat dan protokol dan mengambil masa yang telalu lama untuk itu. Saya kira majlis konvo kita mungkin sudah disederhanakan hari ini memandangkan terlalu ramai graduan yang dihasilkan oleh setiap universiti setiap tahun. Malahan majlis konvo kini terpaksa diadakan beberapa sesi dalam masa beberapa hari.

Kunjungan kami sekeluarga ke Bandung ternyata dapat memberikan sokongan moral kepada Muzaffar, di samping memberikan motivasi kepada adik-adiknya. Kejayaannya meraih kepujian adalah membanggakan memandangkan hanya lima orang sahaja pelajar Malaysia yang bergraduat, sedangkan majoriti rakan skelasnya masih bertarung menyiapkan kerja kursus. Oleh kerana sistem pengajian di universiti Indonesia agak mencabar disebabkan sistemnya yang agak berbeza dengan sistem kita, maka untuk lulus mengikut tempoh waktunya benar-benar mencabar.


di kawah gunung berapi Tangkupan Perahu

Walaupun sudah selalu ke Bandung, tetapi kesempatan kali ini agak istimewa kerana dapat mengumpulkan semua ahli keluarga kami termasuk cucu sulung dalam sebuah percutian yang sungguh bermakna. Oleh kerana kami mempunyai masa yang mencukupi, kami berusaha melawat tempat-tempat menarik di Bandung. Gunung Tangkupan Perahu adalah satu lokasi yang dikunjungi. Kawah gunung berapi di puncaknya menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negeri. Oleh kerana cuaca di Bandung juga hujan, saat kami ke Tangkupan Perahu, gerimis masih turun dengan kabut tebal. Ada kala gerimis berhenti dan kabus menipis, maka itulah saatnya keindahan di situ dapat dinikmati. Kedinginan di sana begitu terasa, lebih-lebih lagi ketika gerimis dan hujan renyai-renyai. Ramai pngunjung daripada kalangan murid-murid sekolah dari dalam negeri. di samping kelompok pelancong luar termasuk orang Malaysia. Lokasi ini begitu terkenal di kalangan pelancong termasuk orang Malaysia kerana ia dianggap salah satu lokasi pelancongan penting kota Bandung. Ia juga terkenal kerana kaitannya dengan lagenda Sang Kuriang.

Keindahan pemandangan di tasik Pulau Batu Cinta. Kami juga mengunjungi Ciwidey sebuah daerah perkebunan lebih 40 kilometer ke selatan Bandung. Ia sebuah kawasan tanah tinggi di mana terdapat ladang teh yang luas di samping kebun-kebun sayur. Ciwidey terkenal dengan kebun strawberi di mana kita dapat memetiknya sendiri di ladang. Strawberi kini ditanam dalam beg-beg plastik sebagai tanaman pot. Ia tidak menggunakan kaedah hidproponik atau fertigasi seperti diusahakan di Cameron Highland. Di sana kami melihat keindahan tasik Pulau Batu Cinta. Oleh kerana cuaca dengan gerimis dan hujan renyai-renyai kami hanya dapat menikmati keindahan tasik tersebut dari atas daratan, tidak berpelunag manaiki bot untuk keliling tasik. Kami juga mendaki puncak untuk sampai ke lokasi menarik iaitu Kawah Putih di puncak gunung. Kawah Putih adalah sebuah tasik jadian hasil ledakan gunung berapi. Oleh kerana warna airnya putih kesan belerang, maka kawah itu dikenali sebagai Kawah Putih. Dalam kedinginan, air tasiknya masih terasa suam-suam, kesan pemanasan belerang. Manakala bau belerang agak kuat menusuk hidung. Ketinggian lokasi Kawah Putih dikatakan lebih tinggi daripada Tangkupan Perahu.


Bergambar di Kawah Putih. Kabut tebal dan gerimis melitupi pandangan.Selain

Tangkupan Perahu di daerah Lembang dan Ciwidey, kami juga mengunjungi daerah Cianjur dan Bogor. Cianjur adalah daerah pertanian di mana sawah padinya menghijau dan menguning kerana ada yang baru mula ditanam dan ada juga yang sedang dituai. Pemandangan sawah di lereng bukit menjadilan teres-teres sawah yang begitu cantik dilihat dari jauh. Perjalanan kami dari Bandung melalui lebuhraya, kemudian memasuki jalan lama melalui Pdalarang, Cianjur ke Bogor.


Pemandangan indah di Puncak.

Ketika melewati Puncak, sebuah daerah pertanian dipenuhi dengan ladang teh luas saujana memandang. Kami singgah di lokasi Puncak untuk melihat pemandangan sekitarnya di samping menghirup udara segar dan dingin di situ. Pemandangan alamnya begitu indah sekali, dengan kehijauan ladang teh dan perkebunan di lereng bukit. Dari Puncak kami terus ke Safari di Bogor di mana kami menziarahi haiwan-haiwan liar di persekitaran asalnya. Melalui tingkap kereta kita dapat memberi makan (karot dan pisang) kepada haiwan-haiwan jinak di situ. Safari atau taman haiwan terbuka di Bogor adalah antara safari yang terkenal di Indonesia.

Bandung dikenali sebagai kota kembang (kota bunga). Keadaan alamnya yang berbukit bukau dan berada di lokasi tinggi, menjadikan Bandung salah sebuah bandar yang sejuk. Namun begitu darjah kedinginannya sudah menurun, tidak sesejuk waktu dahulu. Ketika pertama kali ke Bandung pada tahun 1986, saya dapati Bandung kini agak panas. Ini ada kaitan dengan suhu dunia semasa dan juga pembangunan pesat kota Bandung itu sendiri. Bandung dengan kepadatan penduduk yang tinggi, didiami jutaan orang (dianggar lebih dari enam juta) menjadikannya kota yang sungguh sesak. Orangnya ramai di mana sahaja, bila-bila waktu jua. Bandung dikenali sebagai lokasi beli-belas baik di kalangan pelancong asing mahupun pnduduk tempatan. Hujung minggu, Bandung akan dipenuhi oleh orang-orang tempatan terutama dari Jakarta, yang datang khusus untuk berehat dan membeli-belah. Banyaknya gedung FO (factory outlet) di Jalan Riau, Jalan Setiabudi dan Dago serta tempat-tempat lain, membuktikan Bandung dikunjungi oleh ramai orang untuk bershoping. Orang juga menyebut Bandung sebagai kota Jin. Sebetulnya bukan jin tetapi jean, kerana banyak kilang-kilnag pengeluar pakaian jean di Bandung. Bandung juga boleh dikatakan Paris Indonesia kerana banyaknya rekaan fesyen-fesyen terbaru di sini.


menikmati bebek bakar di Ngarasan

Sungguhpunsaya sering ke Bandung, namun percutian kali ini agak istimewa kerana benar-benar dapat bercuti. Kunjungan sebelumnya lebih kepada tugas dan urusan di mana tiada waktu untuk berehat dan bercuti. Selain itu cuti bersama keluarga adalah detik-detik yang sangat berharga, pastinya tidak sama dengan lawatan kerja sendirian. Oleh kerana rombongan kami agak besar, terasa bagaikan lawatan rombongan. Keletah si kecil, Ameerul Afif menambah ceria percutian. Dia begiti enjoy dan tahan lasak (dalam cuaca dingin) gerimis dan hujan. Dan kami tidak lupa pada warung Ngarasan di Jalan Tubagus Ismail Raya, kerana dua kali ke sana untuk menikmati itik atau bebek bakarnya yang sungguh enak.

Thursday, November 26, 2009

Salam Idul Adha


Allahu Akbar, ALlahu Akbar, Allahu Akbar. Bermula hari ini hingga hari ketiga belas Zulhijjah, selama empat hari kita akan bertakbir, mengagungkan kebesaran Allah SWT sebanyak-banyaknya. Kita melakukannya kerana ALlah SWT mewmerintah kita berbuat demikian,agar kita benar-benar dapat menghayati makna kebesaran dan keagungan Tuhan.

Idul Adha atrau Hariraya Kurban atau disebut juga Hariraya Haji adalah detik-detik waktu terpenting dalam hidup seorang Muslim. Ketika menunaikan ibadah Haji, pada hari ini kita sudah berada di bumi Mina, sebuah lokasi penting penuh sejarah. Di Mina pada waktu ini jutaan umat Islam sedang bermabit iaitu berada pada sebahagian malam sebagai sebahagian daripada Wajib Haji. Pada hari Raya ini para jemaah mula melontar jumrah Akabah, kemudian bercukur. Sesudah itu mereka bertahlul (tahlul awal), iaitu mula menanggalkan pakaian ihram. Sekiranya mereka pulang ke Mekah mengerjakan tawaf dan saii, maka lengkaplah ibadah Haji mereka.

Pada hari ini para jemaah melakukan ibadah korban di Mina di mana mereka menyembelihkan kambing atau jenis-jenis ternakan seumpamanya. Ibadah korban adalah ibadah yang menjadi sunnah Nabi Ibrahim as, di mana baginda telah diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya dalam mimpinya. Apabila diceritakan mimpi tersebut kepada anaknya Ismail as, dan meminta pendapatnya; lantas nabi Ismail as merelakan dirinya disembelih kerana ia adalah perintah Tuhan. Dengan penuh keikhlasan kedua-dua beranak bergerak ke Mina di mana penyembelihan akan dilakukan. Ketika pisau hendak diletakkan ke leher nabi Ismail, Malaikat turun membawa perintah Allah supaya Ismail as digantikan dengan seekor kibas. Maka bermulalah tradisi yang menjadi sunnah tersebut hingga ke hari ini.



Kisah mimpi nabi Ibrahim menyembelih anaknya dirakamkan dalam al-Quran. Mimpi itu adalah satu ujian yang sangat berat kepada kedua nabi ini. Mereka sungguh tabah dan ikhlas mematuhi apa sahaja perintah Tuhan, tanpa ada langsung protes. Kerana keimanan mereka yang sungguh tinggi, segala ujian dan cobaan Tuhan dilalui dengan penuh tawakkal. Akhirnya kita melihat semua itu adalah ujian Tuhan belaka, untuk melihat keikhlasan isi hati kedua utusan-Nya.

Sungguhpun kisah penyembelihan Ismail as telah menjadi sejarah, namun ia adalah sebuah sejarah yang penuh pengajaran kepada kita semua. Sekiranya nabi Ibrahim as bersedia mengorbankan anak kesayangannya yang satu-satunya maka apalah sangat pengorbanan seekor kambing yang kita lakukan.

Pengajaran penting kepada kita ialah untuk menilai sejauh mnana kita telah dan sedang berkorban untuk Tuhan? inilah persoalannya.

Monday, November 2, 2009

Agama dan Kuasa Pentadbiran


Berita pengangkapan bekas mufti Perlis ketika mengajar di negeri Selangor telah menggemparkan masyarakat, khususnya masyarakat Islam di negara ini. Motif, cara dan kesan daripada kejadian tersebut sangat negatif kepada Islam terutama daripada masyarakat bukan Islam yang berminat terhadap ISlam.

Segalanya bermula daripada kuasa. Pihak berkuasa yang diberikan kuasa untuk mentadbir hal-hal agama di mana di setiap negeri terdapat jabatan khususnya iaitu Jabatan Agam Islam, adalah dikenali seagai pihak berkuasa agama negeri. Oleh kerana urusan agama adalah hak mutlak negeri, maka setiap negeri mempunyai bidang kuasa agamanya sendiri.

Kes di atas terjadi berkaitan dengan pihak-pihak yang mahu menjalankan kuasa pentadbiran yang ada padanya. Inilah hakikat yang kita nampak secara zahirnya. Motif tersirat di sebaliknya hanya ALlah SWT yang mengetahuinya. Walalupun Jabatan Agama Selangor mempunyai kuasa dan pegawai-pegawainya menjalankan tugas melaksanakan kuasa yang ada pada mereka, namun apabila kuasa itu dilaksanakan ke atas seorang tokoh agama, yang pernah dilantik oleh kerajaan sebagai mufti sebuah negeri, kemudian dikaitkan pula dengan kesalahan mengajar tanpa tauliah; hal ini mengundang pelbagai tanggapan negatif masyarakat.

Sungguhpun telah sedia ada peruntukan tentang perlunya tauliah untuk mengajar agama di Selangor, tetapi apakah penguatkuasaan peruntukan itu telah benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh, dengan serius, dengan ikhlas? Mengapa kes menangkap orang mengajar tanpa tauliah sebagaimana terjadi ke atas bekas mufti itu, menjadi kes yang jarang-jarang didengar atau kes terpencil?

Secara pentadbiran kes ini adalah hal biasa-biasa sahaja. Pihak berkuasa telah menjalankan tugasnya dan pihak yang melakukan kesalahan dikenakan hukuman. Setelah ditahan, disiasat, didakwa dan kemudian dijatuhkan hukuman, kes ini akan selesai. Namun begitu suatu hal yang akan meninggalkan bekas dan kesan yang negatif ialah kesan daripada kes di atas.

Masyarakat sedang menilai dan mula memberikan reaksi yang pelbagai kepada kerajaan, kepada Jabatan Agama berkaitan dan pegawai-pegawainya. Masyarakat mula mempersoalkan motif dan cara kes ini ditangani. Menurut maklumat daripada berita, pengkapan itu dilakukan dengan bantuan polis dalam jumlah keanggotaan 'luar biasa' seolah-olah menangani kes jenayah. Sedangkan lokasi dan situasi serbuan adalah tempat orang sedang mengaji, belajar agama yang disampaikan oleh seorang alim berkelayakan akademik tinggi, bekas mufti pula. Orang ramai berfikir, pihak berkuasa tidak perlu bersikap 'berlebih-lebihan' sedemikian untuk hanya mengambil tindakan undang-undang kepada pesalah agama.

Pihak berkuasa agama perlu sedar bahawa cara, tindakan dan kaedah mereka menguatkuasakan pentadbiran agama, kadang-kadang kelihatan keterlaluan dan tidak Islamik. Di mana prinsip dakwah "dengan hikmah dan nasihat yang baik"? Apakah petugas-petugas penguatkuasaan pentadbiran agama hanya berpegang pada kuasa, tanpa memperdulikan sensitiviti keagaamaan. Sedangkan Islam mengajarkan kita hikmah (kebijaksanaan) dalam hukum-hakamnya. Penguatkuasaan ke atas aktiviti ajaran sesat, penyelewengan akidah seperti khurafat/tahyul seumpama pemujaan kubur (keramat), arak, judi dan lain-lain; patut mendapat keutamaan para penguatkuasa. Di sinilah tempat yang wajar untuk mereka menunjukkan kuasa dan menggunakan kuasa tersebut.

Kawalan terhadap aktiviti mengajar tidak wajar dikuatkuasakan secara membuta-tuli. Soal tauliah harus dikaji semula dengan menggunakan pendekatan hikmah. Apakah perlu peraturan begitu yang bertujuan mengawal agar tiada salah cara dan salah laku dalan hal-hal penyebaran agama; tetapi perlaksanaannya menghalang aktiviti dakwah yang sihat. Kita tidak nafikan ada buah busuk dalan setandan pisang. Tetapi janganlah pula wujudnya buah busuk, habis setandan pisang menjadi mangsa. Ramai lagi orang yang ikhlah untuk berdakwah, mengajar ilmu-ilmu agama, yang sedang melaksanakan tuntutan dakwah di kalangan masyarakat. Mereka itu tidak wajar dihalang dengan peruntukan-peruntukan undang-undang yang menjadi batu penghalang.

Kadang-kadang orang menilai perlaksanaan peraturan-peraturan ini mengandungi muslihat-muslihat politik. Tidak dinafikan pengaruh politik wujud kerana kuasa politik biasanya akan digunakan dan dipergunakan, sehingga ke bidang agama dan pentadbiran agama. Di Selangor sebelum ini Kerajaan negeri mengawal masijid dan surau dengan ketat sehingga majlis tazkirah pun cuba dihalang. Kini di bawah pentadbiran kerajaan baru, barulah aktiviti tazkirah dan ceramah agama subur semula di masjid dan surau. Orang politik sentiasa berfikir politik, sehingga mereka melihat aktiviti mengaji pun aktiviti politik. Sedangkan masyarakat Islam melihat aktiviti tazkirah, pengajian agama adalah pendekatan untuk menambah ilmu dan beribadah. Persepsi serong orang politik beginilah yang menyebabkan aktiviti kegaamaan di masjid dan surau sentiasa dicurigai.