Saturday, February 27, 2010

Syafia Humaira, kembalilah kepada Dia Yang Maha Penyayang .....


Beberapa hari ini media menyajikan satu lagi kisah sedih dan menyayat hati, tentang seorang anak kecil yang meninggal akibat disiksa dengan kejam oleh seorang dewasa. Orang yang menyiksanya adalah teman lelaki kepada ibunya sendiri. Berdasarkan laporan media, kesan-kesan deraan terdapat kesan lama dan kesan terakhir. Saksi-saksi memberitahu, mereka melihat bagaimana si kecil ini disepak dan dipijak hingga mati. Akhirnya Syafia Humairah Sahari, 3 tahun kembali menemui Tuhannya Yang Maha Penyayang, ketika orang paling dekat denganya tidak lagi sayang padanya.

MasyaAllah, tragedi demi tragedi menyayat hati terus menerus terjadi, dan lebih menyedihkan lagi apabila yang melakukannya adalah orang Islam sendiri. Kejahilan apakah yang membawa kepada tindak-tanduk yang tidak berperikemanusiaan ini? Tragedi demi tragedi pembunuhan ahli keluarga sendiri dilakukan dengan ngeri sekali, seolah-olah sudah tiada lagi perasaan dan hati nurani. Semua kisah-kisah yang dilaporkan media adalah terjadi di kalangan orang Islam. Apakah jahil sungguh umat kita dewasa ini. Apakah kita masih lagi diselubungi Jahiliah silam?

Perkembangan ini menandakan betapa ramai orang yang sedang mengalami sakit jiwa. Mereka mudah hilang kewarasan dan lupakan diri. Dari segi psikologi, mereka menderita sakit jiwa. Soalnya bagaimana kita dapat membantu mencegah tragedi-tragedi begini daripada berulang.

Thursday, February 25, 2010

Salawat & salam untukmu ya RasululLah


Salawat dan salam ke atasmu ya RasululLah. Hari ini hari ulangtahun kelahiranmu. Hari yang sangat bersejarah dan sangat bermakna kepada kami umatmu - umat Islam di seluruh dunia. Salawat dan Salam ke atasmu!

Lebih 1400 tahun lalu, Nabi Muhammad saw dilahirkan di Mekah. Empat puluh tahun kemudian diutuskan Tuhan menjadi Rasul pilihan-Nya. Ketika itu masyarakat Arab di Mekah dan persekitarannya berada dalam zaman Jahiliah. Jahiliah ini tidaklah merujuk kepada kejahilan pengetahuan semata-mata, tetapi lebih merujuk kepada kesesatan hidup di luar iman. Jahiliah ini merujuk kepada kejahilan dan kebebalan hati nurani, bukan sekadar kejahilan akal dan budaya.

Kini setelah lebih 1400 tahun RasululLah saw berjaya membebaskan masyarakat Arab dan bangsa-bangsa lain daripada belenggu Jahiliah, nampaknya masyarakat dunia kembali kepada Jahiliah semula. Lebih malang lagi apabila sebahagian orang yang mengaku umat Islam turut terjerumus ke dalam Jahilah zaman moden ini.

Di zaman RasululLah saw, baginda membebaskan bangsa Arab daripada perangkap jahiliah di mana mereka mensyirikkan Tuhan, membunuh anak-anak perempuan kerana malu, berperang sesama sendiri hanya berpunca daripada hal-hal peribadi di samping mengagungkan kesukuan dan kaum. Mereka begitu kejam membunuh anak-anak perempuan mereka kerana bimbang ia akan memalukan hidup mereka.


Hari ini saban masa kita disajikan dengan berita dan laporan tentang pembunuhan kejam ke atas bayi melalui pelbagai cara. Orang membuang bayi yang baru dilahirkan di merata tempat. Akhirnya bayi-bayi malang itu ada yang ditemui masih hidup dan sebahagiannya sudah mati. Kematian bayi-bayi ini begitu tragik dan amat memilukan. Hari ini orang membunuh anak tanpa mengira lelaki atau perempuan. Mereka melakukannya juga kerana malu - malu atas perbuatan mereka sendiri.

Ini adalah satu ciri jelas yang membuktikan betapa jahiliah masih wujud dan lebih menyedihkan ia wujud di kalangan umat yang mengaku umat Islam, mengaku nabi Muhammad saw nabi mereka. Malangnya mereka masih tidak mampu keluar daripada kepompong jahiliah.

Di samping itu amalan-amalan khurafat, karut dan tahyul masih terus segar dalam budaya hidup orang yang mengaku umat Islam. Mereka percayakan kekuasaan lain daripada kekuasaan Allah SWT. Mereka mencari kekuatan dan kesembuhan daripada bomoh, dukun, pawang dan paranormal. Mereka percaya golongan ini adalah orang-orang sakti yang mempunyai keistimewaan untuk menolong mereka, dan menyembuhkan mereka daripada penyakit baik penyakit fizikal mahupun penyakit jiwa. Mereka ini bukanlah jahil dari segi pengetahuan kerana sebahagian mereka adalah pemilik ijazah bergulung-gulung, dari bacelor sampai PhD. Namun begitu mereka masih pergi kepada golongan 'orang sakti' ini untuk mendapatkan pertolongan, untuk mendapatkan tangkal azimat, membeli khodam dan entah apa lagi bahan khurafat yang menyesatkan. Sebahagian mereka adalah orang-orang yang dipercayai masyarakat seperti pemimpin-pemimpin politik. Mereka mencari bomoh untuk menguatkan pengaruh, mengukuhkan sokongan rakyat. Sangat malanglah apabila orang-orang yang disanjung dan diharap memimpin masyarakat terlibat dalam amalan jahiliah ini.


Hari ini khurafat, tahyul dan animisme nampaknya segar kembali dalam masyarakat, masyarakat kita umat Islam. Sangatlah malang apabila hal-hal khurafat ini memenuhi ruang siaran media elektronik dan media cetak kita, menghidangkan kekarutan animisme kepada masyarakat penonton dan pembaca. Saban hari kita disajikan dengan filem, drama dan kisah-kisah mistri, seram, cerita hantu jemmbalang dan puaka. Sedarkah kita bahawa semua ini menggambarkan kita masih berada di dalam zaman jahiliah?

Di hari ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad saw ini, marilah kita renung dan menilai situasi semasa kita. Apakah kita benar-benar telah bebas daripada belenggu jahiliah, atau masih terus bergelumang dengan budaya jahiliah?

Sunday, February 14, 2010

Bayi dizalimi, kita berada di zaman jahiliah.


Semalam rakan-rakan kita bernagsa Cina telah menyambut kedatangan tahun baru mereka, tahun Harimau. Seperti biasa sambutan ini dimeriahkan dengan rumah terbuka di mana sahaja. Dengan semangat 1 Malaysia, tahun ini tahun baru Cina begitu meriah dirayakan di sana sini. gemerencing bunyi gendang tarian singa dan ledakan mercun menyerikannya.

Beberapa hari terakhir, media khususnya akhbar arus perdana memaparkan cerita kejam pembunuhan bayi yang berlaku di pelbagai tempat. Paling mengerikan apabila di Kelantan, mayat seorang bayi baru lahir didapati rentung dalam tong sampah. Dia dibakar mungkin dengan niat untuk menghapuskan bahan bukti. Malangnya perbuatan kejam itu dapat dikesan juga oleh pihak berkuasa.

Akhir-akhir ini perbuatan kejam membunuh bayi baru lahir kerap dilaporkan terjadi di pelbagai tempat. Perbuatan ini sangatlah terkutuk. ia adalah antara amalan zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam dahulu. Orang Arab membunuh anak perempuan kerana takut malu. Hari ini orang Islam (yang ramai melakukannya) membunuh anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, juga kerana malu. Mereka malu takut diketahui orang bahawa mereka melahirkan anak tanpa nikah atau (anak haram). Khiususnya si ibu yang tidak sanggup menanggung malu akibat ketelanjuran perbuatannya sendiri. Biasanya si bapa (haram) telah pun lari meninggalkan beban yang ditanggung si perempuan seorang diri.

Perbuatan kejam dan tidak berperi kemanusiaan ini terus menerus dilakukan. Agak bernasib baik sekiranya bayi yang masih hidup ditinggalkan di tempat awam. Sekurang-kurangnnya ia masih dapat diselamatkan oleh orang ramai yang menemuinya. Perbuatan membuang bayi juga satu perbuatan kejam yang tidak bertanggungjawab, namun sekiranya ia diletakkan di tempat yang dijangka dapat ditemui orang, ia sangat baik. Sekurang-kurangnya perbuatan itu memberikan peluang untuk bayi itu terus hidup. Perbuatan membunuh bayi dengan pelbagai cara yang tidak pernah terfikir oleh akal waras, dan tidak pernah terlintas di hati nurani, adalah satu perbuatan yang sangat-sangat kejam dan tidak dapat diterima sesiapa pun.


Sunguhpun kita sedih dengan kejadian seumpama itu, namun apakah langkah yang kita boleh lakukan untuk menghindarinya daripada terus dilakukan. Ramai orang sedar bahawa punca awal kepada perbuatan ini adalah hubungan sulit antara pasangan lelaki dan perempuan di luar nikah. Hubungan haram yang didorong oleh nafsu ini biasanya berakhior dengan penyesalan dan kedua pihak tidak mahu menyelesaikannya dengan pernikahan yang sah. Akhirnya si perempuan hamil secara haram. Apabila kandungan diteruskan, si perempuan akan menghadapi dilema tentang anak (haram) yang bakal lahir. Di sinilah bermula titk hitam apabila si ibu mula mencari jalan mudah. Syaitan akan sering marasuk dengan perbuatan-perbuatan dosa termasuk menggugurkan janin, membunuh bayi yang baru dilahirkan, membuangnya hidup-hidup ke sungai atau ke dalam longkang atau ke dalam tong sampah. Yang lebih berani lagi akan menanam bayi itu hidup-hidup.

Usaha nahi mungkar yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa, mencegah kejadian maksiat antara pasangan yang tidak berkahwin termasuk menyerbu hotel-hotel dan tempat-tempat hiburan, adalah antara langkah pencegahan yang patut dipuji. Namun begitu usaha mereka tentulah terhad dengan keterbatasan tenaga dan masa. Perbuatan ini didapati biasanya dilakukan ketika musim perayaan di mana peluang untuk pasangan ini keluar berhibur terbuka luas. Pesta-pesta hiburan dan keramaian adalah waktu-waktu di mana ramai pasangan memadu kasih dan melakukan hubungan haram sesama mereka. Ada kajian yang mengesahkan trend tersebut.


Selain itu usaha yang dilakukan oleh beberapa phak NGO yang membantu menyelamatkan bayi-bayi haram ini dengan memberikan perlindungan kepada si ibu yang terlanjur, adalah satu khidmat bakti yang sangat terpuji. Usaha ini secara tidak langsung dapat memnyelamatkan bayi-bayi daripada dibuang atau dibunuh kejam. Mungkin usaha NGO begini perlu diperluaskan lagi. Walaupun ada pihak yang bersangka buruk dengan wujudnya pusat-pusat perindungan ini akan menggalakkan lagi perbuatan zina; namun di sudut positifnya ia adalah satu ikhtiar akhir menyelamatkan mereka yang telah terlanjur daripada menambahkan dosa lain terhadap kandungannya. Selain itu pusat-pusat ini ternyata dapat memberikan pendidikan yang akhirnya dapat membimbing kembali ibu-ibu yang tersasar ini ke pangkal jalan. Pusat seumpama Kewaja itu patut disokong dan diberi bantuan kewangan dan sebagainya.

Usaha akhir kita ialah sentiasa menjaga dan memelihara anak-anak, saudara mara dan tanggungan kita daripada terjebak ke dalam amalan haram -zina, yang menjadi punca kepada lahirnya anak-anak yang tidak diundang, yang akhirnya menjadi mangsa kekejaman si ibu (khususnya) yang tidak bersedia menerima kehadiran mereka. Pendidikan agama adalah solusi awal dan solusi akhir yang dapat menyelamatkan diri kita dan keluarga kita daripada terjebak ke dalam perbuatan kejam itu.

Saturday, February 13, 2010

ATC dan misi pendidikannya.


Februari ini adalah bulan yang penuh cabaran, di mana saya telah diberi amanah baru untuk memajukan ATC, sebuah projek baru berasaskan latihan. ATC bukanlah sebuah nama yang dikenali kerana ia sebuah entiti baru yang sedang bertunas, untuk sama-sama mencambahkan benih baru di bidang pendidikan/latihan.

Namun ia mungkin satu bekebetulan atau sudah disuratkan, ATC lahir dengan persiapan rapi, khususnya di segi fizikalnya. Ia terletak agak di pendalaman, di Jeneri, Sik, Kedah. Namun sebagai sebuah entiti pendidikan, ia sudahpun ditakdir berada dalam kelompok komuniti pendidikan kerana berjirankan sekolah menengah dan sekolah menengah agama yang sedia ada. Secara tidak langsung, ia akan menjadi rahmat kepada penduduk mukim Jeneri, apabila ia nanti dapat membawa masuk ramai orang dari luar ke sana. Pembangunan terancang ATC akan dapat menambahkan peluang kerja dan memeriahkan lagi kehidupan di sana. Segala-gala akan bergantung kepada perancangan dan perlaksanaan program pembangunan ATC ke hadapan.


ATC sedang bermula dengan aktiviti melatih para kontraktor berdaftar apabila ditauliahkan sebagai Pusat Latihan bertauliah oleh CIDB atau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan. Kontraktor negeri Kedah khususnya dan juga dari negeri-negeri jirannya akan dapat mengikuti pelbagai kursus yang diwajibkan oleh CIDB di sini. ATC menyediakan kemudahan penginapan yang selesa dan suasana persekitaran yang begitu kondusif untuk aktiviti pembelajaran.

Selain itu ATC sedang merancang untuk menjalin jaringan dengan agensi-agensi lain bagi mengatur program latihan vokasional dan lain-lain untuk masyarakat di Kedah amnya. Dengan persediaan fizikal sedia ada, membolehkan ATC pergi lebih jauh dalam bidang pendidikan/latihan. Tidak hairan sekiranya satu hari nanti ia akan berkembang menjadi sebuah kolej univesirti yang bakal menawarkan program-program unik khususnya untuk pembangunan komuniti usahawan.

Tuesday, February 2, 2010

Ziarah ke Ho Chi Minh


17 Januari lalu bersama Ad dan Majid, kami ke Ho Chi Minh City, Vietnam untuk meninjau projek di sana. Tiga hari di sana agak suntuk kerana program tinjauan kami agak padat. Tidak sempat meninjau kehidupan kotaraya Ho Chi Minh kerana program lawatan kerja kami agak padat. Hanya sempat meninjau aktiviti perniagaan di sana ketika jalan-jalan mencari kedai makan - kedai makanan halal. Agak sukar mendapatkan maklumat kerana kebanyakan orang Vietnam kurang fasih berbahasa Inggeris. Namun akhirnya kerana rajin jalan-jalan, bertemu juga dengan kawasan makanan halal. Kebetulan pula di jalan yang sama terdapat sebuah masjid. Di sana terdapat beberapa buah restoran halal diusahakan oleh orang India.

Harga makanan halal di sini agak mahal, mungkin kerana tidak banyak tempat menyajikan makanan halal, atau mungkin juga kos hidup di bandaraya Ho Chi Minh agak tinggi. Lagi pula rata-rata menggunakan USdollar. Penggunaan USdolar menjadi tinggi sekiranya ditukar nilai kepada mata wang kita - RM. Selain itu harga barangan di sini agak mahal kerana faktor tadi. Harga kos penginapan ternyata sangat tinggi. Hampir sekali ganda kos hotel di Kuala Lumpur. Harga bilik hotel tiga bintang menyamai harga hotel lima bintang di KL. Mengejutkan kami. Namun menurut seorang rakan pelancong, harga bilik sekarang sudah murah berbanding dengan harga dua tahun dahulu. Agaknya harga sebelum ini lagi tinggi.

Suasana kotaraya Ho Chi Minh meriah sebagaimana kehidupan kota-kota besar lain di dunia. Kehidupan di kota membayangkan kemewahan hidup golongan berada dan golongan kaya. Kereta mewah siri mutakhir boleh dilihat di mana sahaja. Kehidupan kotaraya Ho Chi Minh memperlihatkan perkembangan gaya hidup mewah. Bangunan-bangunan besar tinggi mencakar lagi sedang rancak dibangunkan, boleh dikatakan di merata tempat di bandaraya ini. Memang pembangunan fizikalnya begitu pesat. Menurut Nguyen Tam Kanh, rakan baru kami di sana, pembangunan Ho Chi Minh kini sedang pesat. Penduduknya pada masa ini sekitar lapan juta. Kanya, dalam waktu terdekat angka itu dijangka akan menjadi 10 juta.


Gambar: bersama Tam Kanh dan Ad di kanan

Menurut Tam Khanh, orang-orang Vietnam dari luar bandar datang berhijrah mencari penghidupan di bandaraya Ho Chi Minh. Sungguhpun kos hidup yang tinggi, namun mereka merasa peluang mencari rezeki lebih banyak di bandaraya, berabanding dengan kehidupan di desa.

Nampaknya kehidupan di bandaraya Ho Chi Minh menggambarkan dua status kehidupan, iaitu kehidupan mewah di kalangan yang berada, dan kehidupan biasa bagi golongan rakyat marhain. Di sini kehidupan cara komunis seperti yang sering kita faham tidak kelihatan langsung. Rata-rata orang bekerja keras mengejar kehidupan selesa. Perniagaan di kawasan pusat kota kelihatan mewah, degan butik-butik mempamerkan produk berjenama dan berharga mahal, semuanya dalam USdollar. Umumnya kelihatan seperti pemandangan kawsan perniagaan kota-kota besar dunia yang lain.

Dua hari kami di sini, memanfaatkan masa yang padat dengan program meninjau teknologi pembinaan yang dimajukan oleh sebuah syarikat berasal dari Austria, EPS Manufacturer. Mereka memperkenalkan produk pasang siap daripada kerangka dawai besi yang praktikal dan murah. kami dibawa meninjau projek pembangunan yang menggunakan teknologi ini di bandaraya dan juga keluar jauh ke kawasan luar bandar melihat projek perumahan murah di sana. Nguyen Tam Khanh, Pengurus ESP membawa kami meninjau projek tersebut. Seharian masa diambil untuk pergi balik ke daerah luar bandar itu. Jalanraya ke sana agak baik. Kiri kanan jalan terdapat estet getah dan kawasan perumahan rakyat.

Dua tiga hari di sini tentulah tidak mkencukupi untuk mendapat pelbagai maklumat tentang kehidupan orang Vietnam. Namun sebagai satu lawatan pertama, ia membuka fikiran dan persepsi benar tentang kehidupan sebenar Vietnam hari ini, selepas puluhan tahun meninggalkan zaman gelap peperangan dengan Amerika. Ho Chi Minh adalah ibukota Vietnam Selatan ketika peperangan dahulu. Ia menjadi kubu kuat dana kubu terakhir Amerika untuk mempertahankan diri daripada pengaruh Komunis dari utara (Vietnam Utara). Kini Vietnam berada dalam satu kesatuan, dan nampaknya komunis tidak lagi dapat mempertahankan ideologinya kerana rata-rata rakyat Vietnam mahukan pembangunan. Kini mereka sebagaimana China sedang membuka dirinya kpada pengaruh luar, untuk menjadi negara maju dari masa ke semasa. Atas semangat ini Vietnam menjalinkan hubungan dagang dengan nagara-negara luar. Melalui Asean Vietnam mendapat kemudahan akses untuk mempercepatkan kemajuan ekonomi dan sosial mereka, melalui kerjasama dan bantuan rakan-rakan Asean yang lain.