Sunday, November 27, 2011

Maal Hijrah 1433


Marhaban ya Muharram, marhaban. Selamat datang Muharram 1433. Kami sentiasa menunggu kehadiranmu untuk meneruskan kehidupan, selama Allah SWT menganugerahkan kehidupan kepada kami.

Awal Muharram tlahpun datang dan telahpun berlalu. Maka akan menjelmalah hari-hari sesudahnya untuk kita isikan dengan amal-amal kebajikan. Semoga segala kekurangan masa lalu dapat diperbaiki di tahun baru ini. Semoga mana-mana perancangan yang belum dapat dilaksanakan, akan disempurnakan pada tahun ini, insyaAllah.

Setiap kali datangnya awal tahun baru, maka bertambahlah usia kita mengikut ukuran matematik. Orang berkata semakin panjanglah umur kita. Manakala sebenarnya umur kita semakin pendek, kerana datangnya tahun-tahun baru bermakna usia kita semakin berkurang dan mendekati kematian.

Marilah kita melihat kehidupan dan usia ini dari satu sisi yang benar. Usia hanyalah ukuran tentang masa. Biarpun tempoh satu minit, satu jam, satu hari, seminggu, sebulan dan setahun adalah sama sahaja kepada semua orang, namun nilai masa itu tentulah berbeza antara satu sama lain. Ada orang yang usianya panjang mengikut tempoh masa, namun nilai kehidupannya (nilai amalnya) tidaklah seberapa. Sementara itu ada pula orang yang usianya pendek, namun nilai kehidupannya sangatlah tinggi. Apa yang membezakan antara keduanya ialah bagaimana mereka mengisi masa-masa atau detik waktu dalam kehidupan mereka.


Oleh itu di saat-saat mengharungi detik-detik waktu tahun baru Hijriah ini, marilah kita bermuhasabah tentang nilai kehidupan kita masing-masing. Usahlah kita menghitung berapa usia kita, tetapi marilah kita menghitung-hitung nilai amal kita. Nilai amal inilah yang menentukan nilai sebenar usia kita, bukan hal-hal lain. Marilah kita renungi nilai hubungan kita antara kita dengan Tuhan dan antara kita sesama kita, juga hubungan kita dengan alam seluruhnya.

Hubungan vertikal kita dengan Allah SWT hendaklah diukur dengan neraca iman, taqwa dan ikhlas. Hitung-hitunglah amal soleh kita. Apakah timbangannya akan semakin memberat atau sebaliknya. Sementara itu perhatikan juga hubungan horizontal kita sesama manusia. Apakah hubungan itu menjadi semakin baik dan diberkati, atau sebaliknya. Janganlah lupa hubungan kita dengan alam kerana kehadiran kita di alam ini adalah satu wujud yang bersinergi dengan alam, dalam bentuk ekosistem dan kepelbagaiaan bio. Kurangkanlah aktiviti yang merosakkan alam sekitar, biarpun dengan usaha kecil seperti menghindari aktiviti membuang sampah di merata tempat.

Maal Hijrah 1433

Friday, November 25, 2011

Sesudah Haji.


Kita sedang berada di detik-detik penghujung tahun 1432Hijriah. Dua puluh hari lalu, telah pergi hari-hari penting, hari Nahr 10 hingga 13 Zulhijjah. Hari-hari di mana jutaan umat Islam berkumpul di padang Arafah untuk menyatakan keIslaman, tauhid dan keimanan diri di hadapan Allah SWT. Kemudian diikuti dengan penyembelihan qurban di Mina. Para hujjaj atau tetamu Allah (dhuyuufur Rahman)kini telah mula meninggalkan Mekah untuk kembali ke tanahair masing-masing. Setelah tawaf wida', mulalah mereka meninggalkan Kaabah, meninggalkan Masjidil haram dan meninggalkan kota Mekah, kembali ke tanahair, kembali ke tengah keluarga, membawa segala manfaat haji.

Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam. Di bulan akhir ini terdapat waktu atau miqat Haji iaitu detik-detik penting dalam kehidupan Muslimin kerana inilah waktunya Allah SWT memanggil hamba-hamba-Nya berkunjung ke rumah-Nya, Baitullah, bertamu ke lokasi-lokasi suci dan bersejarah iaitu masy'ar atau lokasi-lokasi Haji. Maka berhaji adalah bukti pengorbanan kita untuk membuktikan keimanan dan ketuhidan kita kpeada Allah SWT.

Selepas Haji adalah sebuah kehidupan baru yang lebih jernih, lebih tenang, lebih kudus, lebih tulus. Haji telah memberikan satu pengalaman baru yang seharusnya mengubah seluruh persepsi Islam, Iman dan Ehsan kita, kepada satu tahap lebih tinggi.
Islam, iman dan ehsan kita menjadi lebih segar, lebih bugar lagi. Kita pulang membawa satu pengertian Islam, iman dan ehsan yang lebih mantap lagi. Inilah kesan pengukuhan tauhid sepanjang manasik Haji lalu.

Kita kini menjadi seorang Islam yang benar, sekurang-kurangnya lebih benar daripada masa lalu. Kita kini menjadi seorang Mukmin, orang beriman yang lebih mantap, sekurang-kurangnya lebih mantap daripada masa silam. Bagi mereka yang menjadikan Haji sebagai turning point untuk merubah kehidupan spiritual menjadi lebih baik, maka inilah saatnya dia berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.


Beberapa jam lagi kita akan meninggalkan tahun 1432, apabila awal Muharram akan muncul menganugerahkan kita tahun baru, tahun 1433H. Tahun baru datang setelah dua puluh hari-hari penting bagi manasik Haji berlalu. Ia tentulah mempunyai makna penting kepada kita yang mahu merubah kehidupan kepada yang lebih baik, kerana kedatangan tahun baru Hijriah, berurutan dengan miqat haji. Selesai Haji, muncul pula fajar tahun baru, maka ramailah orang yang memanfaatkan kehadiran tahun baru untuk membuat azam, membina impian dan iltizam baru, yang tentunya lebih baik lagi.

Friday, November 11, 2011

Fenomena 11.11.11


Ketika solat Asar di masjid tadi agak terkejut melihat ramai pasangan pengantin yang berakad nikah di masjid hari ini. Jumlah pasangan agak luar biasa ramai, seolah-olah ada pesta akad nikah beramai-ramai. Rupa-rupanya hari ini adalah 11.11.11 atau 11 November 2011. Kebetulan pula ia jatuh pada hari Jumaat.

Agaknya di masjid-masjide lain juga fenomena yang sama turut berlaku. Ramai pasangan muda memilih tarikh 11.11.11 untuk majlis akad nikah mereka. Tarikh khenduri mungkin boleh diatur pada tarikh lain. Apa yang penting dalam surat nikah atau sijil nikah mereka, akan tercatit tarikh yang mempunyai angka atau digit yang cantik 11.11.11. Kepada orang Melayu dan orang Islam yang tidak percaya kepada apa-apa khurafat pada angka atau fungsuinya, maka pemilihan tarikh hari ini hanyalah untuk mencatat kenang-kenangan pada 11.11.11 itu.

Kita tidak diajar untuk mempercayai keberkatan angka-angka atau mempercayai khurafat di sebaliknya. Contohnya ada orang yang mempercayai angka 4 dan 13 membawa sial, kerana pada kepercayaan setengah-setengah bangsa angka-angka itu memberi makna yang negatif. Namun begitu matematik memberikan angka-angka sebagai simbol kepada pelbagai makna. Nombor 1 membawa makna teratas atau terawal. Ketika kita mendapat nombor satu dalam kelas, bermakna kitalah paling top di kalangan rakan sekelas. Dalam kepimpinan, nombor 1 adalah kepunyaan pemimpin teratas, seperti presiden atau perdana menteri atau raja. Manakala nombor 2 pula akan merujuk kepada pembantu kanan mereka.


Kita belajar matematik untuk mengenal angka dan makna-makna daripada angka tersebut. Ketika ditanya orang: berapa pendapatan atau gaji kamu? Kita menjawab secara umum, 'adalah empat (4) angka'. Empat angka itu merujuk kepada ribuan RM. Begitu juga dengan 5 angka merujuk kepada puluhan ribu, manakala 7 angka merujuk kepada jutaan.

Monday, November 7, 2011

Berkorban di Kg Pantos


Kompleks surau baru

Isnin, 11 Zulhijjah, kami tiga beranak berangkat sebelum subuh menuju destinasi: Kg Pantos daerah Kuala Lipis. Ia sebuah penempatan baru bagi saudara-saudara lama kita dari suku Semai. penempatan baru yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli kelihatan sudah siap, namun belum didiami lagi, mungkin belum sempurna api dan airnya? Penempatan baru ini tentulah selesa dan kemas. Lokasi perkampungan ini masih bersebelahan dengan kampung Pantos yang asal, di tebing sungai. Sungai ini (yang tidak tahu apa namanya) merupakan 'jalanraya' yang menghubungi beberapa buah kampung lain di sekitarnya.

Hari ini adalah kesempatan pertama kami menyertai kumpulan penduduk Taman Setia dan PERKIM Cawangan ASDAF mengadakan majlis qurban 2011 di sini. Majlis seupa, menurut penganjur, telahpun dimulakan sejak tahun 1995 lagi. Setiap tahun mereka menumbangkan beberapa ekor lembu sebagai qurban untuk masyarakat di sini. Pada tahun ini 15 ekor lembu dikorbankan di sini, sementara empat ekor lagi di Gua Musang dan dua ekor di Kedah.


Bergambar dengan J/Kuasa penganjur. Berdiri Hj Samat, T.S. Hj Ayob (Pengerusi) dan kanan Dr Mokhtar. Depan: Hj Yaakob, Hj Afifi dan kanan sekali Hj Abd Halim. Foto ehsan Dr Mokhtar


Kami turut menguruskan penyembelihan seekor lembu, amanah keluarga di Singapura. Saya sendiri turut menyembelih dan bersama melapah lembu korban. Ramai penduduk dari tujuh buah kampung hadir dan sama-sama menguruskan kerja-kerja ini. Para petugas turut menikmati makan tengah hari 'lauk korban' di surau Kg Pantos.

Terima kasih Dr Mokhtar, yang membuka laluan kepada kamai untuk menyertai komuniti mereka beramal di Kg Pantos.



Munir dan ibunya turut serta. Bawah: petugas sedang memasak.

Friday, November 4, 2011

Hari ini Hari Arafah.


Ketika post ini ditulis, kita sedang memasuki hari ke-9 Zulhijjah. Maghrib tadi, bermulalah detik-detik hari yang sangat bermakna kepada kehidupan seorang Muslim. Hari ke-9 ini adalah Hari Arafah, iaitu satu hari yang Allah SWT telah tentukan sebagai hari penting dalam manasik Haji bagi para tetamu Allah yang disebut sebagai Dhuyuufur Rahman. Dan hari ini juga penting kepada semua Muslimin di seluruh dunia kerana rahmat besar yang ada padanya.

Padang Arafah adalah sebuah lokasi padang pasir tetapi kini sudah dipenuhi pohon mambu menghijau. Ia adalah sebuah lokasi di luar tanah suci. Di sini terdapat sebuah bukit yang dikenali sebagai jabal Rahmah di mana di sinilah datuk nenek kita nabio Adam AS dan isterinya Hawa bertemu setelah berpisah ketika diturunkan ke dunia. Arafah yang bermakna kenal dikaitkan dengan pertemuan kedua insan ini. Hari ini lokasi ini dipilih sebagai sebuah lokasi terpenting bagi manasik Haji. Namun begitu sebagai sebuah lokasi, Padang Arafah adalah lokasi biasa. Apa yang merubah ia menjadi lokasi penting ialah Hari Arafah, iaitu hari ke-9 Zulhijjah. Hari inilah yang mengangkat Arafah menjadi lokasi di mana berhimpunnya seluruh jemaah Haji untuk wuquf yang menjadi antara rukun Haji. Haji disebut sebagai Arafah. Bermakna tanpa wuquf di Arafah, maka tiadalah Haji bagi seseorang.

Bagi kita yang tidak berada di Arafah ketika ini, masih dapat menikmati rahmat hari Arafah, dengan memanfaatkan segala sunnah yang menjadi amalan Rasulullah SAW. Hari ini kita disunatkan berpuasa kerana puasa ini akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun mendatang, sebagaimana disebut dalam sebuah hadis Rasulullah SAW. Oleh kerana hari ini Allah memakbulkan sebanyak-banyak doa hamba-Nya, maka elokkan kita bedoa sebanyaknyak-banyaknya. Di samping itu antara zikir yang digalakkan kita lafazkan pada hari ini ialah tahlil: lailaha illaAllah wahdahu la syarika lah lahul mulku walahul hamdu yuhyi wa yumit wahua ala kulli syaiin qadiir.


Esoknya, menjelang 10 Zuklhijjah kita akan merayakan Idul Adha dengan sembelihan korban. Alangkah baiknya sekiranya kita menyimpan sedikit peruntukan sekitar RM400 untuk belanja sebahagian korban. Kalau disimpan setiap bulan, sekitar RM35 sebulah sudah memadai untuk bajet korban setahun sekali. Sembelihan ini adalah lambang ketaqwaaan kita kepada Tuhan Rabbul Jalil.

Salam Idul Adha untuk semua. Wassalam.

Wednesday, November 2, 2011

Labbaika Allahumma Labbaik

Kini di kota suci Makkah al-Mukarramah, jutaan umat Islam sedang menghitung detik, menunggu waktu menjelangnya hari ke-9 Zulhijjah. Dijangkakan Jumaat ini mereka akan mula berangkat ke Arafah, lokasi penting dalam manasik Haji. Berihram dan berangkat, melalui satu perjalanan yang dekat dari segi jarak geografinya, tetapi akan memakan waktu yang lama. Inilah antara ujian Haji. Kerana ramainya jamaah, maka kesesakan di jalanan menjadikan perjalanan ini satu cabaran besar. Inilah bahagian daripada 'perjalanan' yang menjadi intrinsik Haji.

Arafah adalah sebuah padang gersang dulunya, namun kini sudah menghijau dengan pohon-pohon Mambu yang ditanam oleh pihak berkuasa Saudi. Di sinilah lokasi yang menjadi destinasi semua jamaah Haji untuk singgah sebentar atau berhenti (wuquf) antara tempoh gelincir matahari sehingga terbenam matahari pada hari ke-9. Arafah sebuah lokasi yang sangat bermakna apabila tiba hari ke-9 Zulhijjah, dalam tempoh waktu wuquf (dari gelincir matahari hingga terbenam matahari); sedangkan pada waktu-waktu selainnya Arafah hanya sebuah lokasi biasa. Oleh itu waktu wuquf inilah waktu yang sangat bernilai demi kesempurnaan Haji. Waktu yang pendek ini menentukan sempurnanya rukun Haji kerana tanpa wuquf, tiadalah Haji.


Padang Arafah kini menghijau.

Maka dalam tempoh kira-kira 1/4 hari ini seluruh hati, fikiran dan tenaga jamaah akan fokus kepada Allah SWT, bertalbiah, berdoa, berzikir untuk bertaqarrub kepada-Nya. Kerana di sini adalah lokasi terbaik bagi makbulnya doa, maka berdoalah sebanyak-banyaknya, menangislah semahu-mahunya, tafakkurlah sedalam-dalamnya, berzikirlah sekhusyuk-khusyuknya. Inilah detik-detik rahmat dan maghfirah dari ar-Rahman dan ar-Rahim. Taubatlah, menangislah, menyesallah, merataplah, munajatlah, rukuklah, sujudlah ....... dan menangislah; kerana di sinilah lokasinya keampunan Allah SWT melimpah ruah. MasyaAllah.

Berakhirnya tempoh waktu wuquf, muncullah malam 10 Zulhijjah, di mana permulaan hari nahar dengan Idul Adha dan sembelihan qurban. Berangkatlah ke Muzdalifah untuk bermalam di sana. Biarpun jarak lokasinya hanya beberapa kilometer, namun perjalanan akan menjadi panjang kerana kesesakan jutaan jamaah. Di Muzdalifah jamaah akan memungut batu-batu kecil untuk jamrah di Mina nanti. Perjalanan diteruskan ke Mina, sebuah lagi lokasi penting dalam manasik Haji. Bergerak lagi dalam pergerakan yang perlahan dan mengambil masa biarpun jaraknya tidak jauh. Di Mina terletaknya tiga lokasi jamrah. Selesai jamrah Aqabah, bergunting dan jamaah mula menanggalkan pakaian ihramnya. Tahallul awal menandakan sebahagian daripada pantang larang ihram sudah ditanggalkan. Di Mina manasik diteruskan dengan melontar jamrah, bermalam dan menyembelih qurban.

Dari Mina jamaah akan pulang ke Mekah untuk menyempurnakan tawaf dan saii bagi menyempurnakan rukun-rukun Haji. Selesai semuanya bermakna lengkaplah manasik Haji. Di Mina jamaah meneruskan jamrah dan bermalam di sana sehingga sempurna semuanya.

>Ribuan khemah menunggu penghuni di Mina.

Berangkat dari Arafah menuju Mina melewati Muzdalifah adalah sebuah perjalanan yang dipenuhi dengan takbir dan talbiah. Jamaah akan terus menerus bertakbir kerana al-Quran menyebut tentang keutamaan mengagungkan Allah SWT di waktu ini. Malahan di seluruh pelosok alam di mana terdapat orang Islam, takbir akan dilaungkan sepanjang hari Nahar bagi membesarkan ALlah SWT.

Allahu akbar, Allahu akbar, ALlhu akbar
La ilaha illa Allah waAllahu akbar
Allahu akbar wa lilLahil hamdu.

Tuesday, November 1, 2011

Qurban dan Sebuah Perjalanan Qudus.

Sudah dua bulan Ramadhan berlalu meninggalkan kita, dan kini kita dikunjungi pula Zulhijjah, salah satu bulan yang tidak kurang berkatnya. Zulhijjah mengimbau kembali kenangan Haji, salah satu ibadah yang membawakan kita semakin mendekati Allah SWT. Zulhijjah membawa kita kembali kepada Mekah dan Madinah. Zulhijjah membawa kita kembali membuka lipatan sejarah, sejarah silam yang penuh teladan dan motivasi. Antaranya ialah keagungan pengorbanan seorang nabi yang digelar KhaliluLlah, nabi Ibrahim AS dan ahli keluarganya. Zulhijjah menghadiahkan kita dengan hari-hari Nahar, untuk membolehkan kita mendekati ALlah SWT melalui ibadah qurban, salah satu ibadah yang kita warisi sejak dari zaman nabi Adam AS, kemudian dimasyhurkan pula oleh nabi Ibrahim AS.

Al-Quran mencatatkan kisah korban yang dilakukan oleh kedua anak nabi Adam AS, Qabil dan Habil. Kemudian kisah korban di zaman nabi Ibrahim AS menjadi model ibadah qurban yang kita warisi hari ini. Dalam kisah pengorbanan Qabil dan Habil, al-Quran menceritakan bagaimana dua orang anak nabi Adam AS melakukan qurban, di mana seorang melakukannya dengan ikhlas kerana Allah SWT, manakala seorang lagi melakukannya dengan tidak jujur. Allah SWT menerima qurban yang ikhlas, manakala qurban yang dilakukan sambil lewa dan tidak ikhlas ditolak ALlah SWT.

Sementara itu dalam kisah pengorbanan agung keluarga nabi Ibrahim AS, al-Quran menyerlahkan kisah ketaatan, keikhlasan, kejujuran, kesabaran keluarga Ibrahim AS, khususnya si bapa dan si anak yang diuji dengan ujian yang sangat besar. Dalam mimpinya, nabi Ibrahim AS diperintah menyembelih satu-satunya anak kesayangannya, nabi Ismail AS. Lantas baginda memaklumkannya kepada anak kesayangannya, bertanyakan pendapat dan pandangan. Si anak menunjukkan reaksi yang sangat positif apabila beliau meredhai arahan untuk disembelih dan meransang ayahnya untuk segera melaksanakan arahan tersebut. Di sinilah model ketaatan, keikhlasan, kejujuran dan kesabaran yang tiada tandingannya, yang ditunjukkan oleh kedua rasul ini kepada Tuhan Rabbul Jalil. Sami'na wa Ata'na (kami dengan dan kami patuh).


Apabila sejarah pengorbanan agung itu dijadikan syariat untuk kita di sepanjang zaman, maka nilai-nilai intrinsik inilah yang hendak kita gapai. Di sinilah terhunjamnya nilai-nilai rabbani iaitu ketaqwaan yang dizahirkan melalui ketaatan, keikhlasan, kejujuran dan kesabaran ketika kita menyembelih binatang qurban. Benarlah apa yang diingatkan oleh al-Quran bahawa daripada ibadah qurban itu, yang ALlah SWT nilai adalah ketaqwaan hati kita, bukan berapa banyak binatang yang mampu kita tumbangkan di hari-hari nahar nanti. Daging qurban akan menjadi rahmat kepada sesama kita, terutama golongan yang disantuni, manakala keikhlasan ibadah akan kembali kepada Allah SWT.


Di Mina, lokasi penting ketika peristiwa pengorbanan agung terjadi, terus menjadi lokasi penting ibadah qurban. Ribuan malahan jutaan umat Islam yang mengerjakan Haji akan melakukan penyembelihan qurban di sini, Mina. Bumi Mina menjadi lokasi suci di mana darah sembelihan qurban ditumpahkan. Namun di seluruh dunia , di mana sahaja terdapat umat Islam, ibadah qurban terus dilakukan sebagai satu syariat yang sungguh bermakna dalam konteks hablum minal Llah wa hablum minan nas (hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia).


Apalah harga qurban kita berbanding qurban para nabi ALlah dahulu. Kita hanya diminta mengeluarkan belanja sekitar RM300 hingga RM400 untuk sebahagian belanja qurban; sedangkan para rasul dahulu sanggup mengorbankan anak, demi ketaatan kepada Allah SWT. Marilah kita menukar persepsi negatif kita tentang sunat berkorban ini. Marilah kita melihat amalan sunat ini sebagai suatu ibadah extra yang sangat digalakkan untuk kita mendekatkan diri atau bertaqarrub kepada Tuhan. Inilah intisari sunnah yang kita warisi.


Di hari-hari Nahar ini jutaan umat Islam sedang melakukan pergerakan demi pergerakan manasik Haji di Mekah. Haji adalah satu ibadah agung yang intinya adalah sebuah perjalanan - perjalanan qudus. Ia adalah sebuah perjalanan seorang hamba menuju Tuhannya. Ia adalah perjalanan holistik, perjalanan fizik dan metafizik, perjalanan jasad dan ruhaniah. Selamilah makna-makna intrinsik daripada ucapan talbiah. Selamilah makna daripada kata-kata 'tetamu Allah'. Lihat pulalah manasik Haji, ianya dipenuhi dengan pergerakan-pergerakan fizikal. Bermula dari niat di miqat (zaman dan makani), kita bergerak ke Arafah untuk berhenti (wuquf) di sana. Kemudian bergerak ke Muzdalifah, kemudian ke Mina. Di Mina kita melontar jamrah. Kemudian bergerak ke Mekah untuk bertawaf di mana kita bergerak lagi tujuh kali mengelilingi Kaabah. Kemudian ke lokasi mas'a bergerak lagi antara dua bukit Safa dan Marwah, berulangalik tujuh kali.


Uniknya ibadah haji dalam kontek 'sebuah perjalanan' maka lahirlah sebuah buku tentang haji yang dinamakan sebagai Haji: perjalanan Qudus. InsyaAllah ia akan diterbitkan dan dipasarkan sedikit masa lagi. Buku ini melihat Haji dari perspektif analogi perjalanan, satu pandangan dari satu sisi lain.