Monday, November 2, 2009

Agama dan Kuasa Pentadbiran


Berita pengangkapan bekas mufti Perlis ketika mengajar di negeri Selangor telah menggemparkan masyarakat, khususnya masyarakat Islam di negara ini. Motif, cara dan kesan daripada kejadian tersebut sangat negatif kepada Islam terutama daripada masyarakat bukan Islam yang berminat terhadap ISlam.

Segalanya bermula daripada kuasa. Pihak berkuasa yang diberikan kuasa untuk mentadbir hal-hal agama di mana di setiap negeri terdapat jabatan khususnya iaitu Jabatan Agam Islam, adalah dikenali seagai pihak berkuasa agama negeri. Oleh kerana urusan agama adalah hak mutlak negeri, maka setiap negeri mempunyai bidang kuasa agamanya sendiri.

Kes di atas terjadi berkaitan dengan pihak-pihak yang mahu menjalankan kuasa pentadbiran yang ada padanya. Inilah hakikat yang kita nampak secara zahirnya. Motif tersirat di sebaliknya hanya ALlah SWT yang mengetahuinya. Walalupun Jabatan Agama Selangor mempunyai kuasa dan pegawai-pegawainya menjalankan tugas melaksanakan kuasa yang ada pada mereka, namun apabila kuasa itu dilaksanakan ke atas seorang tokoh agama, yang pernah dilantik oleh kerajaan sebagai mufti sebuah negeri, kemudian dikaitkan pula dengan kesalahan mengajar tanpa tauliah; hal ini mengundang pelbagai tanggapan negatif masyarakat.

Sungguhpun telah sedia ada peruntukan tentang perlunya tauliah untuk mengajar agama di Selangor, tetapi apakah penguatkuasaan peruntukan itu telah benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh, dengan serius, dengan ikhlas? Mengapa kes menangkap orang mengajar tanpa tauliah sebagaimana terjadi ke atas bekas mufti itu, menjadi kes yang jarang-jarang didengar atau kes terpencil?

Secara pentadbiran kes ini adalah hal biasa-biasa sahaja. Pihak berkuasa telah menjalankan tugasnya dan pihak yang melakukan kesalahan dikenakan hukuman. Setelah ditahan, disiasat, didakwa dan kemudian dijatuhkan hukuman, kes ini akan selesai. Namun begitu suatu hal yang akan meninggalkan bekas dan kesan yang negatif ialah kesan daripada kes di atas.

Masyarakat sedang menilai dan mula memberikan reaksi yang pelbagai kepada kerajaan, kepada Jabatan Agama berkaitan dan pegawai-pegawainya. Masyarakat mula mempersoalkan motif dan cara kes ini ditangani. Menurut maklumat daripada berita, pengkapan itu dilakukan dengan bantuan polis dalam jumlah keanggotaan 'luar biasa' seolah-olah menangani kes jenayah. Sedangkan lokasi dan situasi serbuan adalah tempat orang sedang mengaji, belajar agama yang disampaikan oleh seorang alim berkelayakan akademik tinggi, bekas mufti pula. Orang ramai berfikir, pihak berkuasa tidak perlu bersikap 'berlebih-lebihan' sedemikian untuk hanya mengambil tindakan undang-undang kepada pesalah agama.

Pihak berkuasa agama perlu sedar bahawa cara, tindakan dan kaedah mereka menguatkuasakan pentadbiran agama, kadang-kadang kelihatan keterlaluan dan tidak Islamik. Di mana prinsip dakwah "dengan hikmah dan nasihat yang baik"? Apakah petugas-petugas penguatkuasaan pentadbiran agama hanya berpegang pada kuasa, tanpa memperdulikan sensitiviti keagaamaan. Sedangkan Islam mengajarkan kita hikmah (kebijaksanaan) dalam hukum-hakamnya. Penguatkuasaan ke atas aktiviti ajaran sesat, penyelewengan akidah seperti khurafat/tahyul seumpama pemujaan kubur (keramat), arak, judi dan lain-lain; patut mendapat keutamaan para penguatkuasa. Di sinilah tempat yang wajar untuk mereka menunjukkan kuasa dan menggunakan kuasa tersebut.

Kawalan terhadap aktiviti mengajar tidak wajar dikuatkuasakan secara membuta-tuli. Soal tauliah harus dikaji semula dengan menggunakan pendekatan hikmah. Apakah perlu peraturan begitu yang bertujuan mengawal agar tiada salah cara dan salah laku dalan hal-hal penyebaran agama; tetapi perlaksanaannya menghalang aktiviti dakwah yang sihat. Kita tidak nafikan ada buah busuk dalan setandan pisang. Tetapi janganlah pula wujudnya buah busuk, habis setandan pisang menjadi mangsa. Ramai lagi orang yang ikhlah untuk berdakwah, mengajar ilmu-ilmu agama, yang sedang melaksanakan tuntutan dakwah di kalangan masyarakat. Mereka itu tidak wajar dihalang dengan peruntukan-peruntukan undang-undang yang menjadi batu penghalang.

Kadang-kadang orang menilai perlaksanaan peraturan-peraturan ini mengandungi muslihat-muslihat politik. Tidak dinafikan pengaruh politik wujud kerana kuasa politik biasanya akan digunakan dan dipergunakan, sehingga ke bidang agama dan pentadbiran agama. Di Selangor sebelum ini Kerajaan negeri mengawal masijid dan surau dengan ketat sehingga majlis tazkirah pun cuba dihalang. Kini di bawah pentadbiran kerajaan baru, barulah aktiviti tazkirah dan ceramah agama subur semula di masjid dan surau. Orang politik sentiasa berfikir politik, sehingga mereka melihat aktiviti mengaji pun aktiviti politik. Sedangkan masyarakat Islam melihat aktiviti tazkirah, pengajian agama adalah pendekatan untuk menambah ilmu dan beribadah. Persepsi serong orang politik beginilah yang menyebabkan aktiviti kegaamaan di masjid dan surau sentiasa dicurigai.

No comments:

Post a Comment