Thursday, June 23, 2011

Bapa yang penyayang.


Ketika menerima sms selamat hari bapa dari anak-anak, barulah teringat pada hari bapa yang disambut baru-baru ini. Tanpa menyedari dan obses kepadanya, kita telahpun menjadi bapa sekian-sekian tahun, malahan berpuluh tahun. Malahan ada anak-anak yang kini sudahpun bergelar bapa juga.

Ketika melewati hari bapa, teringat pada nostalgia silam terhadap orang tua, terutama bapa. Oleh kerana bapa meninggal ketika usiaku menjelang 13 tahun, terasa begitu singkat waktu bersama bapa. Ketika bapa pergi mengejut, kami ditinggalkan yatim termasuk adik bongsu yang baru berusia kurang sebulan. Sesudah itu hiduplah kami tanpa bapa selamanya.

Ketika sudah dewasa, sudah menjadi bapa, sangat terasa apabila bapa tiada untuk menyaksi kami membesar dan menjadi 'manusia'. Tidak sempat untuk membalas jasa-jasanya. Hanya doa dan sedekah yang mampu dikirim untuk beliau di alam sana.

Orang seperti kami yang tidak sempat bermesra dan bermanja dengan bapa, sangat merasai kehilangan itu. Kehilangan yang tidak dapat dipersoalkan kerana ia adalah suratan untuk kita. Oleh itu kepada mereka yang diberi kesempatan untuk bersama bapa terutama ketika usia mereka semakin tua, maka nikmatilah kesempatan itu seadanya. Jagalah, rawatlah, belailah mereka seadanya, kerana kehadiran mereka sangat agung. Sebab itulah Allah SWT sentiasa mengingatkan kita supya mentaati kedua ibu bapa sesudah mentaati-Nya.

Di saat kita pula menjadi orang tua, kita sentiasa berdoa agar anak-anak membesar dan dewasa menjadi 'manusia'. Dalam ukuran semasa kejayaan diukur dari kejayaan zahirnya. Kejayaan memiliki ijazah dan berkerjaya dianggap pencapaian anak-anak. Namun begitu kita mengharapkan anak-anak akan menjadi lebih daripada itu, melengkapi impian doa kita agar anak-anak menjadi qurratun a'yun (penyejuk hati).

Sebagai bapa, tiada rasa bahagia melebihi daripada melihat anak-anak membesar menjadi 'manusia' yang bebas daripada bahaya dedah, dadah, rempit dan jenayah. Oleh itu bapa-bapa yang sedang membesarkan anak-anak mereka, dapatkanlah perlindungan daripada Pelindung kita setiap masa agar menyelamatkan anak-anak daripada fitnah hidup seperti di atas. Ketika anak-anak tidak menjadi 'manusia' apabila dimamah dadah dan bergelumang jenayah, dosa mereka tentulah akan berpalit ke diri kita juga.

Kita tidak mampu mengubah sikap dan akhlak anak-anak, biarpun kita mampu mendidiknya. Ketika kita diuji dengan kehadiran anak-anak nakal, ingatlah bahawa para nabi AS juga diuji dengan anak-anak durhaka. Ketika kita diuji sedemikian, optimislah dan terus bersangka mulia kepada Tuhan, dan jangan sekali-kali berhenti berdoa untuk kesejahteraan anak-anak kita (biarpun mereka nakal). Yakinlah bahawa satu hari hati anak-anak itu akan terbuka juga selama kita tidak jemu meminta daripada ALlah SWT, kerana doa orang tua adalah antara tiga doa yang mujarab.

No comments:

Post a Comment