Wednesday, January 28, 2009

Mistri orang Melayu

Akhir-akhir ini kita melihat satu trend di mana masyarakat Malaysia terutama orang-orang Melayu begitu berminat dengan pelbagai perkara mistri. Media massa pula begitu ghairah menyiarkan berita-berita aneh, pelik dan luar biasa. Berita-berita tersebut dibesar-besarkan termasuk siaran gambarnya sekali. Berita itu juga dikaitkan pula dengan pelbagai kepercayaan, yang sebahagian besarnya adalah karut dan khurafat belaka. Stesen tv pula kerap benar menyiarkan filem dan drama mistri melalui cerita yang bertemakan hantu, jin, amalan paranormal dan hal-hal ghaib. Tidak cukup dengan drama dan filem, disiar pula dokumentari khusus membicara perkara-perkara mistri yang bersifat tahyul belaka.

Ada dua pihak yang nampaknya sama-sama menyemarakkan minat terhadap mistri ini. Satu pihak adalah anggota masyarakat, manakala satu pihak lagi ialah media massa. Apakah keghairahan masyarakat terhadap hal-hal mistri ini disebabkan oleh pengaruh media massa; atau apakah media massa memberikan fokus kepada hal tersebut kerana dalam masyarakat memang wujud gejala-gejala mistri ini. Kita jadi sulit untuk menjawab yang mana satu mendahului yang lain, seumpama sulitnya menjawab soalan mana satu yang mendahului samada telur atau ayam.

Wujudnya minat terhadap hal-hal mistri ini ada kaitannya dengan kepercayaan masyarkat kita terutama orang-orang Melayu. Saya teringat kata seorang penulis Cina tentang orang Melayu. Katanya: orang Cina melihat bukit penuh dengan untung dan tuah, tetapi orang Melayu melihat bukit penuh dengan hantu dan jembalang. Kata-kata ini kelihatan sinis tetapi ada kebenarannya. Orang Melayu mewarisi sisa-sisa kepercayaan animistik sebelum Islam. Sebahagian mereka masih percayakan hantu jembalang, jin dan puaka. Buktinya sehingga sekarang masih ramai pawang, bomoh atau dukun yang mengamalkan rawatan menggunakan anasir-anasir ghaib dengan memperalatkan jin dan makhluk ghaib lain. Sebab itu cerita tentang hantu, toyol, saka, susuk, santau dan ilmu hitam masih segar kerana masih ada lagi orang-orang yang terlibat dalam amalan karut dan syirik ini.

Dalam zaman moden era ICT ini orang Melayu masih membelenggukan diri mereka dengan kekarutan animisma ini. Kepercayaan taksub kepada bomoh dan pawang masih menebal di dalam minda sebahagian masyarakat Melayu. Kalangan terpelajar termasuk ahli-ahli politik dan artis juga peniaga masih menaruh harapan besar kepada bomoh dan pawang untuk meraih keberuntungan nasib. Tilik menilik, memakai susuk, tangkal masih diamal kononya untuk mendapatkan kekuatan, pengaruh, kecantikan dan keberuntungan luar biasa dengan bantuan bomoh atau pawang. Sebagai orang Islam, orang Melayu tahu bahawa kepercayaan dan amalan karut itu bertentangan dengan tauhid, tetapi ia masih digunakan sebagai satu kaedah untuk mencapai keinginan-keinginan peribadi mereka.

Masyarakat tidak pernah serik dengan bahaya dan bahana kepercayaan karut yang pernah menimpa mereka yang taksub kepadanya. Kisah kematian tragis seorang tokoh politik di tangan sepasang bomoh di mana mayatnya dipotong-potong; kisah bagaimana beberapa orang wanita dirogol dan dijadikan alat pemuas nafsu oleh bomoh-bomoh curang, kisah bagaimana pengamal ajaran karut yang hilang akal dan mengamuk membunuh orang yang tidak berdosa termasuk kes Almaunah yang melibatkan kumpulan yang ramai melakukan jenayah dan kekejaman membunuh anggota pasukan keselamatan; adalah sebahagian daripada pengalaman ngeri yang pernah terjadi di negara ini akibat taksub kepada kepercayaan karut.

Selain itu masih ramai lagi pengamal-pengmal ajaran sesat (sesat dari kebenaran agama Islam)diamalkan oleh orang Melayu. Sebahagian pengamal ajaran ini terdiri daripada kalangan terpelajar dan berjaya. Minda mereka menjadi begitu sempit dan mudah diperdaya oleh orang-orang yang mengaku pemimpin atau guru ajaran sesat ini. Mereka biasanya bergerak secara sulit dan rahsia kerana mereka sedar amalan mereka adalah merupakan satu penyelewengan dan menyesatkan orang ramai. Mereka tidak berani mendedahkan diri dengan terbuka kerana mereka sendiri sedar apa yang mereka lakukan adalah satu kepalsuan.

Oleh itu kewujudan minat dan taksub kepada hal-hal mistri di kalangan masyarakat kita
memang sudah berakar umbi sejak sekian lama. Peminat mistri masih ramai. Buktinya tokoh-tokoh penting dalam industri mistri ini seperti para bomoh, dukun, pawang masih wujud, malahan mereka menjadi popular kerana ramainya peminat dalam masyarakat. Sebahagian mereka menjadi kaya kerana mampu memasarkan khidmat dan produk mereka di pasaran. Mereka kelihatan menjadi pengusaha dan pemasar yang canggih kerana pandai mengeksploitasi aktiviti promosi dan iklan. Mereka begitu beranai memperagakan wajah dan khidmat mereka di ruang-ruang iklan di akhbar, terutama akhbar tabloid.

Penglibatan media massa juga mempunyai sahamnya dalam menyemarakkan minat mistri orang Melayu. Media memperalatkan minat untuk mencapai matlamat keuntungan perniagaan mereka. Dengan membesar-besarkan berita aneh, menyiarkan publisiti berlebihan tentang hal-hal tahayul dan khurafat ini mereka meningkatkan kadar penyebaran naskah media mereka. Mereka melihat elemen sensasional dalam perkara ini.

Sekiranya kita melihat minat dan taksub kepada mistri di kalangan orang Melayu ini sebagai satu perkembangan yang tidak sihat dan bersifat mundur ke belakang; maka media massa juga turut dipertanggungjawabkan. Mereka kelihatan berlebihan mengeksploitasi minat mistri ini untuk mengaut keuntungan perniagaan. Penerbit drama dan filem serta dokumentari tentang mistri dan cerita-ccerita hantu (cerita seram)turut harus bertanggungjawab kerana mereka juga menjadi agen menyebarkan khurafat di kalangan masyarakat.

Lebih buruk lagi apabila ada media massa yang bukan sekadar menyiarkan iklan tentang aktiviti dan perniagaan para bomoh dan pawang, tetapi juga mempromosi penjualan tangkal, azimat, khadam dan pelbagai lagi objek-objek khurafat yang ternyata menyesatkan masyarakat.

Kepada orang-orang Melayu di media massa yang pernah terlibat dengan aktiviti mempromosi mistri dan khurafat, sedarlah bahawa aktiviti anda bukan sahaja tidak membina dan tidak membantu membangunkan bangsa; tetapi turut membantu orang Melayu mundur ke belakang. Marilah kita insaf dan bertafakkur: apakah kita mahu turut sama mengkhianati bangsa kita dengan meracuni fikiran dan minda mereka dengan hal-hal yang tidak ada manfaat sama sekali, sebaliknya menanamkan bibit-bibit khurafat belaka.

No comments:

Post a Comment