Wednesday, July 1, 2009

Pertanian Organik, apa itu?


Akhir-akhir ini orang mula kembali mendapatkan sumber-sumber alami (semulajadi) baik dalam bentuk makanan atau perubatan. Orang mula mencari makanan daripada sumber-sumber asli atau organik. Begitu juga dalam hal bahan ubatan. Mereka mula kembali kepada sumber asli, sumber alami kerana ia bersifat organik.

Organik merujuk kepada sumber-sumber yang berasaskan alam, maka orang menyebutnya sebagai alami (semulajadi atau natural). Secara mudahnya, tumbuhan baik yang menjadi sumber makanan atau ubatan, pada asalnya adalah bersumberkan alam. Ia tumbuh, membesar dan membiak di dalam persekitaran alam semulajadi atau habitat yang organik. Lihat sahaja hutan hijau di sekeliling kita. Ia tumbuh dan berkembang secara alami tanpa perlu apa-apa input luar, dari manusia. Tiada siapapun yang membajanya, tiada siapaun yang menjaga dan merawatnya. Ia tetap tumbuh subur.

Secara alami, tumbuh-tumbuhan memperolehi sumber zat makanan atau nutrien daripada alam, iaitu dari tanah dan persekitrannya. Sumber zat nutrien dibekalkan dari dalam tanah yang sedia kaya dengan segala zat, air, mineral dan mikroorganisme yang membekalkan makanan kepada tumbuhan. Melalui cahaya matahari dan karbon dioksid, tumbuhan-tumbuhan memproses makanan melalui daun-daun hijaunya, dan proses ini dikenali sebagai fotosintisis. Tuhan telah menciptakan sistem alam melalui sunnah-Nya yang sangat sempurna. Secara alami, tumbuhan membesar, subur dan menghasilkan sumber makanan kepada manusia tanpa perlu proses membaja, menjaga dan merawatnya.

Di zaman silam orang bertani dengan mudah. Mereka membersihkan tanah, membakar sisa-sisa dari hutan seperti batang, ranting dan daunan. Mereka menanam pelbagai jenis tanaman untuk makanan. Waktu itu tiada racun, tiada baja kimia digunakan. Contohnya bagaiamana mereka bersawah. Mereka menebas dan manajak untuk membersihkan kawasan pertanian yang hendak ditanam padi. Kemudian membalik-balikkan sisa rumputan yang sudah mulai mereput. Akhirnya mereka menanam semaian anak padi. Ketika padinya membesar, mereka merumput untuk menghapuskan rumput rumpai. Waktu itu racun kimia tidak dikenali lagi.

Oleh kerana tiada racun digunakan, air dan hidupannya masih segar dan tidak tercemar. Ketika itu anak-anak ikan dapat hidup, membesar dan membekalkan bahan protein percuma kepada para petani yang bersawah. Mereka dengan mudah dapat menangkap ikan-ikan keli, haruan, puyu, limbat dan belut untuk dijadikan sajian lauk-pauk. Semuanya segar dan lazat serta berkhasiat. Hidupan air dapat hidup dalam habitat sawah padi kerana persekitarannya masih bersih dan alami. Mereka boleh mendapatkan bekalan sumber makanan daripada persekitaran tersebut.

Demikianlah secara alami alam hidup dalam sistem eko (eco system)nya. Mereka saling bergantung antara satu sama lain dan hidup dengan harmoni mengikut sunnah. Tumbuhan (padi) mendapat nutrien daripada sisa buangan binatang, manakala binatang (ikan-ikan) pula mendapatkan makanan daripada tumbuh-tumbuhan. Hubungan dua hala ini merupakan kekuatan ekosistem alam, yang telah berlangsung ribuan tahun sejak berzaman.

Malangnya hari ini teknologi kimia telah merobah sistem ini. Input pertanian moden berupa baja dan racun adalah bersumberkan bahan kimia yang begitu meluas digunakan dalam aktiviti pertanian. Masyarakat tani didedahkan kepada apa yang dikatakan pertanian moden yang bergantung dengan sumber-sumber input kimia, sehingga ia membudayakan mereka. Akhirnya mereka bergantung penuh kepada input-input kimia untuk menghasilkan produk pertanian. Baja kimia digunakan dengan begitu meluas dengan kepercayaan bahawa tanpa baja, tanaman tidak akan menghasilkan buah yang baik. Begitu juga dengan penggunaan racun. Mereka menggunakannya dengan kepercayaan bahawa rumpai dan serangga yang merosak tanaman tidak dapat dihapuskan, melainkan menggunakan racun rumpai dan juga racun serangga. Bermula dari kerja membrsihkan kawasan pertanian, racun digunakan untuk mematikan rumput rumpai dan tanaman lain. Seterusnya racun kimia digunakan lagi ketika buah-buah atau sayuran membesar untuk menghindari buah-buah dan sayuran daripda dirosakkan oleh serangga.

Berkembangan teknologi pertanian moden ini telah merobah alam. Racun dan baja kimia telah meninggalkan kesan sampingan yang merosakkan ekosistem dan juga merosakkan tanah pertanian. Tanah-tanah yang dulunya subur kini menjadi tanah mati. Tanah mati merujuk kepada sifat tanah yang tiada lagi hidupan seni seperti mikroorganisme di dalamnya. Secara alami, mikroorganisme inilah yang menyuburkan tanah dan membekal nutrien kepada tumbuhan. Racun yang digunakan untuk membunuh rumput rumpai turut membunuh mikroorganisme dan cacing tanah. Akibatnya tanah menjadi gersang dan tidak lagi bernutrien. Tanah mati memerlukan bekalan baja berterusan, kerana tumbuhan memerlukan nutrien daripadanya. Tanah sendiri tidak lagi dapat membekal nutrien, maka berterusanlah baja diperlukan. Kos membaja menjadi tinggi dan dengan itu kos pertanian juga meningkat.

Hari ini apabila kesedaran biologi semakin meningkat, orang mula memandang kepada pertanian organik. Secara umumnya konsep pertanian organik ialah kaedah pertanian yang bebas daripada penggunaan bahan kimia baik baja mahupun racun. Dalam waktu yang sama pertanian organik menggunakan sepenuhnya kaedah biologi untuk menyuburkan tanaman dan juga menghindari serangan serangga. Hari ini petani mula kembali kepada baja kompos, baja yang bersumberkan bahan daripada sisa buangan (najis) binatang dan juga sisa-sisa pereputan pertanian.

Penemuan teknologi EM yang menggunakan mikroorganisme dalam penyediaan baja organik dan juga aplikasi EM dalam aktiviti pertanian, membantu mengukuhkan kekuatan pertanian organik. Ia juga digunakan dalam pembuatan bahan anti-serangga bagi menggantikan penggunaan racun serangga. Bahan-bahan anti-serangga mengandungi sumber-sumber alami tanpa racun. Di samping itu konsep menentang serangga tidak lagi secara kimia tetapi secara biologi. Konsep kimia ialah 'membunuh' serangga, manakala konsep biologi ialah menghindarkan serangga, menghalau dan melindungi tanaman dengan cara dan kaedah biologi.

No comments:

Post a Comment