Sunday, February 14, 2010

Bayi dizalimi, kita berada di zaman jahiliah.


Semalam rakan-rakan kita bernagsa Cina telah menyambut kedatangan tahun baru mereka, tahun Harimau. Seperti biasa sambutan ini dimeriahkan dengan rumah terbuka di mana sahaja. Dengan semangat 1 Malaysia, tahun ini tahun baru Cina begitu meriah dirayakan di sana sini. gemerencing bunyi gendang tarian singa dan ledakan mercun menyerikannya.

Beberapa hari terakhir, media khususnya akhbar arus perdana memaparkan cerita kejam pembunuhan bayi yang berlaku di pelbagai tempat. Paling mengerikan apabila di Kelantan, mayat seorang bayi baru lahir didapati rentung dalam tong sampah. Dia dibakar mungkin dengan niat untuk menghapuskan bahan bukti. Malangnya perbuatan kejam itu dapat dikesan juga oleh pihak berkuasa.

Akhir-akhir ini perbuatan kejam membunuh bayi baru lahir kerap dilaporkan terjadi di pelbagai tempat. Perbuatan ini sangatlah terkutuk. ia adalah antara amalan zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam dahulu. Orang Arab membunuh anak perempuan kerana takut malu. Hari ini orang Islam (yang ramai melakukannya) membunuh anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, juga kerana malu. Mereka malu takut diketahui orang bahawa mereka melahirkan anak tanpa nikah atau (anak haram). Khiususnya si ibu yang tidak sanggup menanggung malu akibat ketelanjuran perbuatannya sendiri. Biasanya si bapa (haram) telah pun lari meninggalkan beban yang ditanggung si perempuan seorang diri.

Perbuatan kejam dan tidak berperi kemanusiaan ini terus menerus dilakukan. Agak bernasib baik sekiranya bayi yang masih hidup ditinggalkan di tempat awam. Sekurang-kurangnnya ia masih dapat diselamatkan oleh orang ramai yang menemuinya. Perbuatan membuang bayi juga satu perbuatan kejam yang tidak bertanggungjawab, namun sekiranya ia diletakkan di tempat yang dijangka dapat ditemui orang, ia sangat baik. Sekurang-kurangnya perbuatan itu memberikan peluang untuk bayi itu terus hidup. Perbuatan membunuh bayi dengan pelbagai cara yang tidak pernah terfikir oleh akal waras, dan tidak pernah terlintas di hati nurani, adalah satu perbuatan yang sangat-sangat kejam dan tidak dapat diterima sesiapa pun.


Sunguhpun kita sedih dengan kejadian seumpama itu, namun apakah langkah yang kita boleh lakukan untuk menghindarinya daripada terus dilakukan. Ramai orang sedar bahawa punca awal kepada perbuatan ini adalah hubungan sulit antara pasangan lelaki dan perempuan di luar nikah. Hubungan haram yang didorong oleh nafsu ini biasanya berakhior dengan penyesalan dan kedua pihak tidak mahu menyelesaikannya dengan pernikahan yang sah. Akhirnya si perempuan hamil secara haram. Apabila kandungan diteruskan, si perempuan akan menghadapi dilema tentang anak (haram) yang bakal lahir. Di sinilah bermula titk hitam apabila si ibu mula mencari jalan mudah. Syaitan akan sering marasuk dengan perbuatan-perbuatan dosa termasuk menggugurkan janin, membunuh bayi yang baru dilahirkan, membuangnya hidup-hidup ke sungai atau ke dalam longkang atau ke dalam tong sampah. Yang lebih berani lagi akan menanam bayi itu hidup-hidup.

Usaha nahi mungkar yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa, mencegah kejadian maksiat antara pasangan yang tidak berkahwin termasuk menyerbu hotel-hotel dan tempat-tempat hiburan, adalah antara langkah pencegahan yang patut dipuji. Namun begitu usaha mereka tentulah terhad dengan keterbatasan tenaga dan masa. Perbuatan ini didapati biasanya dilakukan ketika musim perayaan di mana peluang untuk pasangan ini keluar berhibur terbuka luas. Pesta-pesta hiburan dan keramaian adalah waktu-waktu di mana ramai pasangan memadu kasih dan melakukan hubungan haram sesama mereka. Ada kajian yang mengesahkan trend tersebut.


Selain itu usaha yang dilakukan oleh beberapa phak NGO yang membantu menyelamatkan bayi-bayi haram ini dengan memberikan perlindungan kepada si ibu yang terlanjur, adalah satu khidmat bakti yang sangat terpuji. Usaha ini secara tidak langsung dapat memnyelamatkan bayi-bayi daripada dibuang atau dibunuh kejam. Mungkin usaha NGO begini perlu diperluaskan lagi. Walaupun ada pihak yang bersangka buruk dengan wujudnya pusat-pusat perindungan ini akan menggalakkan lagi perbuatan zina; namun di sudut positifnya ia adalah satu ikhtiar akhir menyelamatkan mereka yang telah terlanjur daripada menambahkan dosa lain terhadap kandungannya. Selain itu pusat-pusat ini ternyata dapat memberikan pendidikan yang akhirnya dapat membimbing kembali ibu-ibu yang tersasar ini ke pangkal jalan. Pusat seumpama Kewaja itu patut disokong dan diberi bantuan kewangan dan sebagainya.

Usaha akhir kita ialah sentiasa menjaga dan memelihara anak-anak, saudara mara dan tanggungan kita daripada terjebak ke dalam amalan haram -zina, yang menjadi punca kepada lahirnya anak-anak yang tidak diundang, yang akhirnya menjadi mangsa kekejaman si ibu (khususnya) yang tidak bersedia menerima kehadiran mereka. Pendidikan agama adalah solusi awal dan solusi akhir yang dapat menyelamatkan diri kita dan keluarga kita daripada terjebak ke dalam perbuatan kejam itu.

No comments:

Post a Comment