Saturday, March 27, 2010

Ke mana arah ahli politik kita?


Akhir-akhr ini suasana politik negara menuju ke arah yang tidak pasti. Parti-parti politik dan ahli-ahlinya lebih mengutamakan politik dan kekuasaan. Mereka kelihatan cenderung melakukan apa sahaja untuk kelangsungan hayat parti dan kekuasaan yang mereka miliki. Kelihatan masing-masing bersedia menghalalkan cara asalkan matlamat tercapai. Hari ini parti yang memerintah tidak lagi dikuasai oleh parti-parti tertentu, sebagaimana sebelum 2008. Kini parti yang menjadi pemerintah di pusat adalah parti pembangkang di beberapa buah negeri. Oleh kerana parti-parti yang dulunya kuat dan menguasai majoriti pemerintahan di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri kini telah menjadi pembangkang di beberapa buah Dewan Negeri, maka kita melihat senario di mana pihak-pihak yang dulunya berkuasa, tidak mahu menerina realiti pilihan rakyat.

Contoh jelas di Perak, sebuah Kerajaan pilihan rakyat telah dinafikan hak untuk memerintah dengan tragedi keji menguasai majoriti kecil di Dewan Undangan Negeri. Konflik berlarutan hingga Mahkamah memutuskan parti mana yang berhak memerintah. Kini benarlah kata-kata orang bahawa parti yang memerintah Perak sekarang dipilih oleh Mahkamah, bukan dipilih rakyat. Rakyat menyaksikan satu episod sedih, memalukan, tidak demokratik terjadi di Dewan yang mulia. Melalui media, kita disajikan dengan adegan pertengkaran, pergaduhan, rampas merampas kerusi Speaker, menarik jubah dan sebagainya. Lebih buruk lagi apabila pihak polis turut terlibat mencemari kedaulatan Dewan. Pihak polis dan Eksekutif tidak sewajarnya ikut campur dalam urusan politik, telah mewujudkan satu persepsi serong masyarakat terhadap sifat mereka yang sepatutnya berkecuali.

Hari ini kita melihat telatah dan gelagat orang politik amat keterlaluan. Dewan Rakyat menjadi gelanggang kepada ahli-ahli Parlimen yang digelar Yang Berhormat untuk menunjuk kekuatan peribadi masing-masing. Sebahagian kecil ahli Dewan yang mulia itu telah tidak lagi memuliakan Dewan apabila mereka menunjukkan belang buruk peribadi mereka. Rakyat sedang menilai dan mengukur mereka dari segi cara mereka berdebat di sana. Banyak tingkahlaku yang tidak sopan baik melalui kata-kata, bahasa yang digunakan, bahasa badan mempamerkan kualiti ahli-ahli Yang Berhormat sudah 'tidak berhormat' lagi. Apakah sesudah ini rakyat mahu lagi memanggil mereka sebagai Yang Berhormat?

Wujudnya beberapa orang ahli Parlimen begini menjadi nila yang merosakkan susu sebelanga. Imej Parlimen tercalar di mata rakyat yang kini berpeluang menonton siaran di media massa. Mereka dapat menyaksikan sendiri bagaimana tingkahlaku wakil-wakil rakyat mereka ketika berada di Dewan yang mulia. Mereka layak menjadi wakil rakyat kerana mereka dipilih, tetapi mereka tidak layak menjadi 'pemimpin' kerana watak kasar, celupar, panas baran, tidak dapat mengawal emosi dan terlalu peribadi. Apakah kebebasan parlimen boleh membenarkan tingkahlaku begini menghiasi setiap persidangan? Melihat cara bagaimana ahli-ahli Parlimen bemesyuarat tidak dapat dibayangkan bagaimana sulit Speaker mengawal mereka. Kita merasa sungguh kecewa dengan adab sopan ahli-ahli Yang Berhormat ini. Apakah ini teladan kepimpinan yang hendak diwariskan kepada generasi muda kita?

Akhir-akhir ini kita disajikan pula dengan adegan baru keluar parti, dipecat dari parti dan lompat parti. Ini semua adalah hal peribadi wakil rakyat sendiri. Mereka mempunyai hak berbuat demikian. Tetapi mereka mesti ingat bahawa mereka perlu ada maruah, beritegriti. Mereka menang atas pilihan rakyat yang mengundi mereka atas tiket parti yang ditandingi. Oleh itu jawatan dan kuasa mereka adalah atas parti yang dipilih rakyat. Oleh itu sebagai seorang pemimpin yang bermaruah, berintegriti, mereka wajib melepaskan jawatan yang mereka menangi atas tiket parti lamanya. Itulah ciri-ciri jatidiri pemimpin.

Nampaknya suasana politik kita sudah semakin menenggelamkan konsep kepimpinan. Orang politik berusaha keras menguasai politik kerana mahu menjadi pemimpin. Tetapi budaya politik hari ini tidak lagi mampu membentuk ciri-ciri kepemimpinan yang berkualiti. Nilai politik yang dibauri oleh sikap buruk termasuk rasuah, janji-janji palsu, kroni, sikap kasar dan biadap, mementingkan diri, hipokrit, sombong dan angkuh dengan kuasa, menjadikan orang politik sukar diterima sebagai pemimpin kepada masyarakat. Mereka mungkin boleh menjadi wakil rakyat tetapi belum tentu diterima sebagai 'pemimpin' rakyat.

Sebagai bangsa Timur, berteraskan pula kepada agama, orang-orang politik seharusnya sudah terdidik dengan budaya tinggi. Kita berharap pemimpin-pemimpin politik kita boleh menampilkan ciri-ciri peribadi mulia, berhemah, berintegriti, beramanah, bijaksana, berakhlak mulia. Mimpi kita untuk menghasilkan bangsa berminda kelas pertama, nampaknya akan tinggal mimpi sekiranya kualiti wakil-wakil rakyat kita sendiri tidak membayangkan impian tersebut. Kita mengharapkan isi perdebatan, cara perdebatan, pemikiran-pemikiran yang dolontarkan dan wacana-wacana yang berlangsung di dewan yang mulia adalah bertunjangkan minda kelas pertama, bukan minda kedai kopi.

Nilai Yang Berhormat pada gelar YB kini semakin luntur apabila yang empunya diri sendiri tidak tahu menilai dan menghargai gelar yang diberi. Penghoramatan rakyat semakin terhakis dengan sikap dan tingkahlaku yang ditunjuki oleh ahli-ahli YB kita. Hari ini rata-rata rakyat bukan lagi sekadar berkelulusan SPM tetapi generasi terpelajar yang keluar daripada puluhan buah universiti tempatan (sahaja). Mereka adalah generasi 'rakyat' baru yang akan menilai kualiti dan prestasi ahli politik masa kini dan masa depan. Mereka adalah generasi yang tidak mudah diperbodohkan oleh media tertentu yang masih berorientasikan propaganda dan tidak telus. Mereka adalah generasi digital yang akan mengundi memilih pemimpin mereka atas nilai-nilai yang berbeza dengan generasi bapa dan datuk mereka.

No comments:

Post a Comment