Tuesday, April 6, 2010

Kasih sayang, antara haiwan dan manusia.


Petang semalam, menjelang maghrib dan sesudahnya, kesempatan merehatkan diri seketika dimanfaatkan dengan menonton siaran tv. Salah satu rancangan yang sering diikuti waktu-waktu begitni adalah slot National Geographic di TV1. Slot ini memberikan banyak input maklumat dengan paparan kisah-kisah alam, khususnya kehidupan binatang.

Petang ini kisahnya sungguh menarik iaitu bagaimana binatang menjaga dan menyayangi anak-anaknya. Binatang sebuas buaya juga sayang kepada anaknya. Naluri binatang-binatang pemangsa ini diciptakan Tuhan sama sepeti manusia, iaitu memiliki perasaan sayang kepada anak sendiri. Detik-detik cemas digambarkan bagaimana sang ibu kembali ke sarang dan menggonggong anaknya seekor demi seekor. Di rahang si ibu, anak-anak buaya tadi bukanlah mangsa untuk dimakan, tetapi itulah caranya buaya membawa anak-anaknya satu demi satu ke air untuk membiasakan diri dengan persekitaran atau habitat mereka. Sang buaya yang dikenal ganas akan membaham mangsanya termasuk manusia ketika ia kelaparan. Namun sang buaya mengenali anak-anaknya sendiri dan ia tidak makan anaknya sendiri.

Melihat telatah makhluk primat seperti champenzee, orang utan dan monyet sungguh menginsafkan. Mereka sangat menyayangi anak-anak mereka. Di waktu usia sangat muda anak-anak primat ini begitu manja dan mesra dengan ibu mereka. Mereka memeluk dan mendakapi ibu mereka dan begitu juga sebaliknya, layak tingkahlaku manusia juga.


Menonton kisah-kisah haiwan yang disajikan oleh National Geographic sungguh memukau kerana alam haiwan adalah satu alam yang penuh iktibar untuk manusia. Sungguhpun mereka tiada akal seperti manusia tetapi mereka mempunyai naluri seperti kasih sayang dan mampu berkorban melindungi ahli keluarga mereka yang disayangi. Di samping itu banyak pelajaran yang dapat diambil daripada kehidupan mereka, agar mnusia sentiasa sedar bahawa kewujudan haiwan bukanlah menjadi ancaman kepada manusia tetapi menjadi makhluk yang sentiasa bersinergi dengan kita.

Ketika menonton siaran berita jam 8 malam, salah satu berita menarik ialah kisah pengorbanan tiga sahabat di Pulau Pinang yang sanggup berkorban menjaga seorang rakan mereka yang ditimpa malang. Rakan mereka cedera parah dan mengalami kecacatan fizikal kekal akibat disimbah asid oleh ibu sendiri. Kisah sebelumnya yang menimpa nasib pemuda malang ini sungguh tragis. Kerana marahkan anak yang meminta surat haklmlik motosikal bapanya, seorang ibu sanggup mencurahkan asid ke badan anak sendiri, sehingga anaknya cacat sebegitu rupa.

Inilah kisah tragik di alam manusia. Sebelumnya kita disajikan dengan kisah romantis dan kasih sayang di alam haiwan, sebaliknya di alam manusia, seorang ibu sanggup mencurahkan asid ke tubuh anaknya sendiri hanya disebabkan sebuah motosikal tinggalan bapanya. Sungguh menyedihkan, sungguh mengharukan, sungguh memilukan, dan sungguh memalukan. Bagaimanakah andainya haiwan dapat melihat dan mendengar berita begini? Apakah pandangan mereka kepada kita, umat manusia?


Di tangan manusia, bayi-bayi dibunuh kejam oleh ibunya sendiri.

Manusia selalu berperasangka buruk kepada haiwan. Kita mengkategorikan haiwan sebagai makhluk yang ganas, terutama haiwan yang diciptakan Tuhan memakan daging. Mereka membunuh kerana mereka diciptakan untuk memakan daging. Haiwan jarang membunuh hanya kerana dendam atau marah. Mereka tidak memiliki emosi dendam walaupun ada kes-kes di mana sesetengah haiwan mempunyai sensitiviti apabila mereka dikhianati, terutama oleh manusia. Namun rata-rata haiwan tidaklah bersikap kejam, membunuh kerana dendam. Berbanding dengan haiwan, manusia lebih kejam lagi apabila membunuh haiwan hanya kerana mahukan anggota-anggota badan haiwan tersebut. Kerana gading gajah dibunuh, kerana tanduk atau kerana kulit binatang dibunuh kejam. Banyak lagi cara manusia membunuh haiwan secara sedar atau tanpa disedari. Merosakkan habiat kehidupan mereka adalah antara cara manusia membunuh haiwan. Sebahagian haiwan semakin pupus kerana mereka dimusnahkan melalui pemusnahan habitat kehidupan mereka. Contohnya pencemaran air memusnahkan banyak koloni hidupan air seumpana ikan. Pencemaran merosakan kehidupan marin terutama terumbu karang yang menjadi rumah kepada ribuan jenis ikan. Ledakan ujian nuklear membunuh kehidupan marin dan mengganggu ekosistem alam.

Kekejaman manusia jauh mengatasi haiwan. Manusia sanggup membunuh sesama sendiri atas alasan dan sebab-sebab yang tidak masuk akal. Lihatlah peperangan terus terjadi akibat daripada sifat tamak kuasa. Mereka membunuh tidak kerana lapar (seumpama binatang pemangsa). Mereka membunuh hanya kerana sebab-sebab yang terlalu kecil, kerana marah, kerana dendam, kerana mendapat upah, mungkin kerana seronok atau kepuasan (bagaimana samseng di jalanan membunuh orang). Malang lagi pembunuhan kejam dilakukan oleh ibu-ibu terhadap anak sendiri, bayi-bayi mereka sendiri. Bayi-bayi yang tidak dikehendaki ini dibunuh kejam dengan pelbagai cara.

Insaflah!

No comments:

Post a Comment