Monday, August 23, 2010

Intrinsik dari Ramadhan


Hampir separuh sudah Ramadhan kita lewati. Andainya merujuk kepada maksud hadis Nabi saw tentang tiga fasa Ramadhan, awalnya rahmah, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka, maka kita sedang melewati fasa kedua. Cepatnya terasa Ramadhan datang dan terasa tidak lama lagi ia akan berlalu pergi. Beruntunglah sesiapa yang dapat mengisi masa-masa berharga Ramadhan dengan amal mulia termasuk ibadah puasa, solat, qiamullail, membaca/tadabbur/tadarrus al-Quran, hadiri kuliah ilmu, bersedekah dan seumpamanya.

Lebih utama lagi apabila Ramadhan dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan proses tazkiatun nafs (mendidik jiwa) dan tasfiatul qalb (merawat hati). Inilah hakikat tarbiah Ramadhan yang menjadi intisari daripada semua amalan-amalan mulia yang dianjurkan sepanjang Ramadhan Mubarak ini. Inilah jalan (merujuk makna syari' atau tarikah atau sirat secara syumul) menuju Taqwa, yang diletakkan sebagai matlamat kewajiban berpuasa itu.

Proses mendidik jiwa atau nafs adalah antara matlamat ibadah puasa. Seharian kita menahan diri daripada kebiasaan-kebiasaan makan minum, seks, dan segala keinginan-keinginan yang selama ini kita layani (yang halal dan yang harus), adalah satu proses mendidik jiwa (nafs) agar nafsu (terutama syahwah atau nafsu yang cenderung kepada yang jahat) dapat dikawal. Mengawal jiwa ini sering diumpamakan bagai menjinakkan kuda liar. Kuda akan terus menjadi liar jika tidak dijinakkan sehingga ianya mudah dikawal.

Hari ini kita melihat bagaimana nafsu yang tidak dilatih, tidak dididik, akhirnya menjadi kuda liar. Akibatnya kita terjebak dengan segala tingkah laku negatif seperti jenayah, dadah, hiburan liar (hedonisme), penindasan, pembunuhan dan sebagainya. Itulah bala bencana yang terpaksa kita tanggung apabila kita lupa kepada proses tarbiah Ramadhan ini.

Puasa mampu menjadikan seseorang itu mempunyai daya tahan atau immuniti yang tinggi. Bayangkan semua keinginan (yang halal) mampu ditahan, maka pastilah segala larangan atau yang haram akan dijauhi sama sekali. Inilah prinsip asas untuk membentuk peribadi menjadi manusia yang mampu menghindari segala gejala fasad dan kejahatan. Bayangkan andainya semua orang berperibadi sebegini, maka pastilah dunia ini aman damai, bebas daripada segala gejala jenayah dan seumpamanya.


Proses tazkiatun nafsu akan seiringan dengan proses tasfiatul qalb. Qalbu atau hati manusia perlu sentiasa dirawat kerana ia akan terdedah kepada ancaman kuman dan virus yang membawa penyakit. Perbuatan atau amalan fasad (jahat) adalah kesan daripada hati yang sakit dan menderita. Perbuatan jenayah adalah dilakukan oleh individu yang mempunyai hati yang sakit (tamak, benci, dendam, dengki, dan seumpamanya).

Semua ibadah seperti puasa, solat, zakat, zikir, qiamullail dan seumpamanya adalah proses pembersihan dan penyucian hati. Ini adalah proses merawat hati yang sakit. Hati dilatih dengan ikhlas, jujur, amanah, pemurah, pemaaf, pengasih dan seumpamanya. Hati yang sihat akan melahirkan peribadi yang juga sihat, bersikap positif dan membina.

Inilah antara nilai-nilai intrinsik daripada tarbiah Ramadhan yang kita dambakan, untuk mengurangkan bahang bencana perbuatan dan akhlak buruk manusia. Ia adalah antara pendekatan untuk mengurangkan derita akhlak manusia kini.

No comments:

Post a Comment