Monday, August 30, 2010

Makna Merdeka, sebenarnya ......


Hari ini rakyat Malaysia merayakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke 53. Maknanya sudah lebih setengah abad kita rakyat Malaysia merdeka, merdeka daripada penjajahan British, bangsa penjajah terakhir. Sambutan merdeka tahun ini kebetulan jatuh pda bulan Ramadhan. Ia satu kebetulan atau satu perbetulan atau satu suratan?

Umat Islam sedang berpuasa Ramadhan. Puasa adalah satu daripada ibadah fardhu yang sifat intrinsiknya adalah satu perjuangan. Andai hendak dihubungkaitkan dengan kemerdekaan, maka puasa adalajh satu perjuangan memerdekakan diri daripada musuh-musuh diri manusia.

Siapakah musuh diri manusia? Al-Quran menyebut bahawa musuh manusia adalah syaitan, dan di dalam diri manusia juga terdapat unsur dirinya sendiri yang boleh menjadi musuhnya iaitu nafsu syahwah. Al-Quran menyebut nafsu atau jiwa sebagai satu bahagian daripada unsur metafiizik manusia, di mana ia disifatkan sentiasa cenderung kepada hal-hal yang buruk dan jahat (nafsu amarah). Nafsu diibaratkan sebagai kuda liar dalam diri yang perlu dijinakkan supaya ia dapat dimanfaatkan oleh diri. Sebaliknya jika dibiarkan liar, ia akan terus menysusahkan diri sendiri.

Musuh di luar diri, iaitu syaitan akan mengeksploit nafsu syahwah manusia untuk merosakkan hidup manusia. Kenapa? Syaitan telah diberi izin oleh Tuhan untuk menyesatkan umat manusia supaya manusia akan bersama mereka di dalam neraka. Oleh kerana syaitan dikutuk Tuhan disebabkan oleh kehadiran Adam as, maka dendam syaitan kepada amanusia sangatlah besar. Dia telah bersumpah untuk menyesatkan manusia. Oleh itu maka Tuhan sentiasa mengingatkan manusia bahawa syaitan adalah musuh nyata kepada manusia. Syaitan juga akan bersekutu dengan manusia-manusia yang menyebelahinya atau yang mengikutnya, membentuk pasukan musuh-musuh kepada manusia beriman. Inilah hakikat yang mesti kita sedari.


Syaitan merosakkan manusia melalui nafsu amarah mereka. Ia sentiasa mengapi-apikan manusia untuk melakukan perbuatan jahat dan fasad. Maka manusia melihat tindak-tanduk jahat seperti bermusuhan, mencuri, merompak, menipu, rasuah, khianat, fitnah hingga membunuh itu sebagai satu cara memuaskan nafsu amarah manusia. Akhirnya mereka yang terjebak melakukannya akan hanya merasakan nikmat yang sebentar, selebihnya mereka akan terasa tertipu dan menyesal panjang. Begitulah tipu daya syaitan untuk merosakkan hidup manusia.

Ketika menjalani ibadah puasa, manusia dididik oleh Tuhan supaya menjaga benteng diri, iaitu menjaga dan mengawal nafsu. Nafsu amarah perlu dijinakkan dan dididik supaya ia menjadi nafsu yang baik, yang tunduk kepada Tuhan. Menahan diri daripada segala keinginan nafsu yang halal seperti makan, minum, seks, secara fitrahnya akan melemahkan aspek-aspek amarah daripada nafsu tersebut. Syahwah akan melemah dan nafsu kita akan mudah ditingkatkan ke maqam lebih tinggi, dari amarah menjadi lawwamah, mulhamah dan terus meningkat ke martabat tertinggi iaitu nafsu Mutmainnah. Apabila jiwa kita berjaya mencecah maqam Mutmainnah, maka bebaslah jiwa dripada belenggu syaitan, dan ia akan sentiasa menjadikan tuannya (manusia) orang yang bertaqwa.

Ingatlah, walaupun negara kita sudah merdeka, namun cabaran kemerdekaan jiwa masih belum selesai. Kita sentiasa mendepani musuh-musuh kita baik dari golongan syaitan (jin) mahupun syaitan manusia. Ancaman penjajahan belum berakhir. Penjajah baru dari Barat (negara-negara besar) yang merasa mereka kuat, masih terus menjajah. Inilah yang terjadi di negara-negara umat Islam seperti Iraq, Afghanistan, Bosnia, dan beberapa buah negara Islam lain yang sedang berdepan dengan ancaman penjajahan baru. Umat Islam akan sentiasa berhadapan dengan syaitan-syaitan ini kerana sudah ditakdirkan Tuhan bahawa kita perlu terus berjuang berjihad menghadapi musuh-musuh ini, bagi memastikan kita terus merdeka, merdeka dalam makna sebenarnya.

No comments:

Post a Comment