Tuesday, July 26, 2011

Ramadhan semakin mendekati.


Sejak sebulan yang lalu, di masjid para imam sering mengungkapkan doa sesudah solat fadhu berbunyi: Allahumma barik lana fi Rajab wa Syaaban, wa ballighna ila Ramadhan. Maksudnya: Ya Tuhan kami, berkahilah Rajab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke Ramadhan.

Di sebalik doa ini tersirat hasrat untuk sampai ke Ramadhan dan berharap agar Allah SWT izinkan kita mengecapi nikmat Ramadhan tahun ini. Doa ini semakin kita rasakan syahdu dan intrinsiknya bila kita benar-benar sedar bahawa untuk menikmati Ramadhan sebenarnya bukan hak kita, tetapi adalah rahmat Allah SWT jua. Lihatlah, setiap hari menjelang Ramadhan ini ada sahaja jenazah disolatkan di masjid. Itu tandanya bahawa Ramadhan adalah rahmat Allah SWT. Ramai orang yang tidak kesampaian untuk menikmati Ramadhan apabila mereka dipanggil pulang lebih awal.

Semakin Ramadhan mendekati, semakin terasa bau harumnya, semakin terasa getaran syahdunya. SubhanalLah.


Ramai orang yang menunggu Ramadhan, kerana rahmat Ramadhan akan membawa pelbagai rezeki dalam pelbagai bentuk. Ada orang yang menunggu Ramadhan untuk berniaga (perniagaan semusim Ramadhan). Inilah waktunya untuk mereka meraih rezeki yang melimpah ruah di bulan Ramadhan. Termasuklah dalam golongan ini orang-orang bukan Islam juga. Pemilik dan pengusaha gedung belibelah besar akan meraih untung berganda di bulan ini.

Aneh apabila keghairahan berbelanja di bulan Ramadhan begitu melonjak tinggi, sedangkan ibadah puasa mendidik diri supaya bersederhana dan mengurangi keinginan nafsu. Sepatutnya kesan daripada puasa ialah peribadi yang mampu mengekang nafsunya, mengurangi belanja khususnya belanja makan minum.

Ramadhan adalan waktunya untuk kita mengesampingkan segala keinginan duniawi kita. Kinginan syahwah itu apabila diperkecilkan, ia akan tunduk kepada kebijaksanaan akal dan qalbu. Ibadah puasa yang dilakukan sepanjang sebulan, dilakukan dengan ikhlas hati itu akan meningkatkan kualiti diri khususnya pada aspek emosi dan spiritual. Tarbiah puasa juga bolehlah dilihat sebagai satu proses pemurnian fitrah manusia. Sepanjang sebelas bulan yang lalu kita membiarkan diri kita dibentuk oleh persekitaran hidup yang tidak membawa kita menjadi semakin dekat kepada Tuhan dan syariat. Sebaliknya kita terus dilalaikan, dialpakan oleh keghairahan melayani syahwah yang sifatnya tidak pernah puas.


Ramadhan adalah bulan untuk merawat diri (proses retreat) atau R&R. Rehat dan rawat adalah satu proses merehatkan diri, khususnya diri biologi dan fisiologi. Organ-organ dan sistem tubuh berkaitan penghadaman, perkumuhan, sistem darah dan sistem saraf dibiarkan rehat. Inilah waktunya organ-organ seperti perut, usus, pankreas, hati, buah pinggang, saluran kencing, salur darah, jantung dan juga otak dapat berehat. Oleh kerana proses makan minum tidak berjalan, maka organ-organ ini dapat berehat dan merawat segala kelemahan atau kecederaan padanya. Dalam waktu yang sama puasa akan mengurangkan aktiviti visual dan verbal menyebabkan proses mengakses informasi melalui 2v tersebut berkurangan, dan ini akan memberikan kesan rehat kepada otak dan minda keseluruhannya. Otak akan mengeluarkan lebih hormon endorphin (hormon kebahagiaan) kerana fizik dan emosi kita semakin tenang. Kesannya, tahap stres akan jauh menurun, di mana kejatuhan indek stres akan mempengaruhi kesihatan. Ingatlah antara pemicu kepada free radical yang terjadi pada penyakit kanser adalah stres. Meningkatnya endorphin dan menurunnya stres membantu tubuh menjadi lebih sihat dan lebih kuat imunitinya.

Demikian secebis daripada kemanfaatan dan rahmat puasa, sedangkan rahmat Ramadhan jauh lebih besar lagi. Semuanya tak mungkin terungkap oleh kata-kata dan bahasa. Sebaiknya marilah kita nikmati semuanya dengan melakukan sebaiknya segala tuntutan syariat dalam mengimarahkan Ramadhan. Marilah kita melakukan segala amal ini dengan ikhlas dan menikmati setiap detik Ramadhan, baik siang mahupun malamnya dengan mengoptimumkan tenaga fizik, emosi dan spiritual bagi mengakses sebanyak-banyaknya kebajikan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment