Saturday, July 30, 2011

Tentang Ruqyah, tentang sihir.


Ustaz Sarhan Shafei.

Awal Julai lalu kami telah mengakhiri kuliah pengajian Ruqyah yang dimulakan sejak sembilan bulan lalu dengan kelas tafaqquh atau kelas pengukuhan. Kuliah sekitar 60 jam itu dibimbing oleh Ustaz Sarhan Shafie anjuran Sinar Zamdurrani. Ia diakhiri dengan kelas tafaqquh selama dua hari, yang turut disertai rakan-rakan daripada kumpulan pertama. Terdapat kira-kira 50 orang lebih yang hadir.

Mengikuti kuliah Ruqyah ini membuka satu dimensi baru dibidang terapi. Ia satu pendekatan rawatan menggunakan sepenuhnya kekuatan al-Quran. Oleh itu asas al-Quran yang baik dari pelbagai ilmu al-Quran sangat diperlukan, bermula daripada bacaan termasuk tajwidnya, terjemahan, tafsiran, tadabbur dan keupayaan menghayati al-Quran itu sendiri. Di sinilah terletaknya sains dan seni Ruqyah. Lebih penting dari itu ialah diawali dengan nawaitu yang ikhlas – untuk apa ia dipelajari.

Setiap peserta kursus pastinya mempunyai matlamat tersendiri ketika mengikuti kelas ini. Di samping itu masing-masing mempunyai latar pendidikan yang berbeza, yang akan menentukan tahap penerimaan dan proses belajar yang juga akan berbeza. Sementara itu nawaitu masing-masing akan menentukan keupayaan minda untuk terus beristiqamah belajar. Menuntut ilmu memerlukan kekuatan semangat dan azam kerana ia memerlukan pengorbanan pelbagai segi termasuk kewangan, masa, tenaga dan semangat. Yang kurang kuat semangatnya, akan keciciran di tengah jalan.

AlhamdulilLah, sempurna juga cita-cita untuk melengkapkan diri dengan satu lagi kaedah terapi yang dikira sangat diperlukan dewasa ini. Sebagai seorang yang terlibat dalam bidang kesihatan sejak 1995, kuliah Ruqyah ini adalah pelengkap yang akan meningkatkan lagi satu kepakaran tambahan peribadi. Sebelum ini saya telah mempelajari terapi herba dan juga Reiki. Di tahun 70 an dahulu sempat belajar Homeopathy daripada Dr Dali Muin (murid dan adik ipar almarhum Dr Burhanuddin al-Helmi), namun pengajian tidak tamat akibat pelbagai halangan.


Bersama teman LDK,

Berguru dengan Ustaz Sarhan Shafie menjadikan kita sangat dekat dengan ahli-ahli terapi Ruqyah terkenal seperti Sheikh Abd Wahid Salam Bali (Mesir) kerana Ustaz Sarhan adalah seorang murid yang mendapatkan iajzah daripada beliau. Oleh itu melalui kuliah Ustaz Sarhan, kami juga turut berguru ikut jalur yang benar, insyaAllah. Namun mendapatkan ilmu, tidaklah dengan membataskan diri kepada mana-mana guru secara taksub, sebaiknya buka minda dan terokailah sebanyak ilmu daripada pelbagai sumber yang ada.

Kepentingan terapi Ruqyah dewasa ini begitu terasa, apabila masyarakat menunjukkan terlalu banyak gejala penyakit ruhaniah, penyakit jiwa yang melibatkan pengaruh jin. Antaranya sihir, gangguan jin seperti saka dan amalan kebatinan yang melibatkan jin. Sungguh pun kita sedang berada di zaman modern, namun masyarakat nampaknya masih tertarik dengan hal-hal mistri dan khurafat. Ramai juga orang Islam terutama orang Melayu yang masih dalam kejahilan, membiarkan dirinya disesatkan di alam khurafat. Mereka mengamalkan sihir dan mencari kepentingan duniawi melalui sihir. Masih ramai bomoh, dukun dan pawang yang mengamalkan sihir dan mendapatkan pertolongan jin untuk merawat penyakit.

Kini masanya untuk semua orang Islam khususnya, keluar daripada belitan ganas khurafat dan kembali kepada Allah SWT dalam mencari kesembuhan. Ingatlah bahawa hanya Allah SWT yang mempunyai kuasa penyembuhan total. Kita manusia, baik para perawat atau doktor hanyalah berikhtiar dan alat kepada kesembuhan. Kesembuhan hanyalah dengan izin Alah SWT jua. Namun begitu berdasarkan fitrah dan sunnah, kita wajib berusaha, berikhtiar berubat dengan mencari perawat. Untuk masalah penyakit fizikal, tentulah kita mencari klinik dan doktor, tetapi untuk penyakit ruhani, perlulah mencari ahli-ahli Ruqyah.

Masyarakat perlu keluar dan perlu dikeluarkan daripada persepsi kuno bahawa sihir adalah satu kuasa yang dapat memudaratkan. Oleh kerana ramai orang yang percaya malahan takut kepada kuasa sihir dan si tukang sihir; maka orang akan mencari tukang sihir untuk merawat penyakit akibat sihir. Bertambahlah angkuhnya si tukang sihir dan syaitannya. Dengan takut kepada sihir dan taksub kepada kuasa si stukang sihir sebenarnya kita memberikan peluang untuk sihir terus hidup dan berkembang.

Salah satu sumbangan kita untuk menentang sihir ialah dengan membetulkan persepsi kita sendiri. Kembalilah kepada agama di mana agama (Islam) telah menegaskan bahawa sihir adalah antara perbuatan keji dan dosa besar. Tukang sihir tidak mempunyai kuasa memudaratkan. Ingatlah bahawa biarpun sihir terjadi dan kesannya sehingga ada yang membawa maut, namun ia terjadi kerana Allah SWT mengizinkannya terjadi. Oleh itu ketika mengalami gejala sihir, carilah ahli Ruqyah untuk merawatnya, dan jangan sekali-kali mencari bomoh, dukun atau pawang yang mengamal sihir! Jangan beri peluang kepada mereka yang sesat ini menyesatkan anda!


Rakan-rakan peserta kelas tafaqquh.

No comments:

Post a Comment