Friday, August 10, 2012

Fasa akhir Ramadhan.

Kini Ramadhan sudah memasuki fasa terakhir, fasa ketiga. Dua fasa awal iaitu fasa Rahmah (rahmat) dan fasa Maghfirah (Keampunan) telah pun berlalu; manakala fasa akhir ialah fasa Diselamatkan daripada api neraka.

Inilah masa-masa terpenting dalam Ramadhan kerana ia mengandungi terlalu sarat dengan ganjaran Allah SWT. Di sinilah terdapat Malam Qadr atau Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang nilainya melebihi seribu bulan. Dalam tempoh masa inilah terjadinya peristiwa besar iaitu penurunan al-Quran. Hal ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran dalam beberapa ayat, iaitu pada ayat 185 al-Baqarah dan juga ayat 1 surah al-Qadr.

Selain itu terdapat pula satu malam yang sangat bernilai iaitu Lailatul Qadr. Mengenai Malam Qadr ini, ia disebut sebagai satu malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan, atau 83 tahun lebih. Ia adalah satu ganjaran yang berganda-ganda (iaitu hampir 30 000 kali ganda). Al Qadr bermakna kemuliaan. Malam itu sangat mulia kerana kemuliaan nilainya di sisi Allah SWT. Di samping itu turunnya para malaikat dan juga Jibril ke bumi, merahmati umat di bumi, menyeru orang beriman, mendoakan mereka dan membawa rahmat kepada mereka. Itulah antara kemuliaan Malam Qadr.

Al Qadr juga bermakna sempit. Ia merujuk kepada keadaan bumi menjadi sangat sesak dengan para malaikat yang jumlahnya jauh lebih ramai daripada jumlah manusia di bumi. Mereka turun beramai-ramai ke bumi dengan membawa urusan Tuhan, sehingga bumi menjadi sesak dan sempit. Sepanjang malam daripada masuknya matahari hingga terbit pula keesokannnya, bumi dipenuhi dengan sejahtera atau salam. Salam adalah merujuk satu keadaan yang sangat sejahtera, aman damai, tenteram.

Bagi orang beriman yang sedar dan tahu tentang kelebihan malam Qadr ini, mereka akan mendirikan malam (qiamullail) dengan ibadah wajib dan sunat. Antaranya ialah beriktikaf (duduk di masjid), solat tarawikh, solat witir, solat sunat lainnya, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa bermunajat. Oleh kerana tiada siapa yang pasti dengan tepat malam bila Malam Qadr itu, maka Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya meningkatkan usaha dan amal di sepuluh malam terakhir Ramadhan, khususnya malam-malam ganjil.

Melalui hadis riwayat Aisyah RA,katanya: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh bangun malam) pada sepuluh hari terakhir Ramadhan yang beliau tidak lakukan kesungguhan seperti itu pada malam-malam lainnya. (HR Ahmad, Muslim dan Tarmizi).

Antara doa yang masyhur, yang juga diriwayatkan oleh Aishah RA ialah: Allahumma innaka 'afuwwun karimun tuhibbul 'afwa fa'fuanni (Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan kesalahan hamba-hambamu, lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku). (HR Tarmizi).

Oleh itu banyaklah berdoa, mohon kemapunan dan pembebasan daripada azab neraka. Ingatlah kepada hadis berkaitan rahmat keampunan Allah SWT kepada orang-orang yang benar-benar berpuasa dan mendirikan malam Ramadhan dengan penuh iman dan sedar.

Abu Hurairah meriwatkan, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menghayati Malam Qadr (degan solat dan beribadah), sedangkan ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT niscaya diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (HR Bukhari).

No comments:

Post a Comment