Friday, June 15, 2012

Bermikrajlah kita.

masjidl Aqsa.

Sehari dua lagi menjelanglah 27 Rajab, iaitu satu tarikh bersejarah dan sangat penting kepada kita orang-orang Islam. Pada tarikh ini terjadi satu peristiwa luar biasa dan mukjizat besar kepada nabi Muhammad SAW, iaitu Isra' dan Mi'raj. Isra' adalah perjalanan pada waktu malam, manakala mi'raj pula adalah perjalanan naik ke langit.

Melakukan perjalanan adalah satu daripada ciri-ciri kehidupan manusia. Melalui perjalanan kita dapat menambahkan ilmu, pengalaman dan membuka fikiran. Malahan perjalanan merupakan sebahagian daripada proses mematangkan diri seseorang. Benarlah kata pepatah: jauh berjalan luas pandangan, bertambah pengalaman.

Namun begitu Isra' Mi'raj adalah sebuah perjalanan yang sungguh unik dan agung, kerana ia melibatkan seorang manusia agung, nabi SAW. Ia adalah sebuah perjalanan yang dirancang, bukan oleh dirinya tetapi ia adalah sebuah perjalanan yang ditakdirkan oleh Pencipta, Tuhan Rabbul 'Alamin. Perjalanan ini menjadi antara ujian besar kepada manusia, iaitu antara orang yang beriman dan yang kufur. Isra' Mi'raj membersihkan golongan yang benar-benar beriman daripada golongan yang belum sempurna iman mereka. Ia membersihkan hati orang-orang beriman daripada apa jua keraguan.

.

Inti daripada Isra' dan Mi'raj adalah perjalanan yang penuh dengan mukjizat di mana Rasulullah SAW telah didedahkan kepada beberapa peristiwa penuh pengajaran. Sepanjang perjalanan tersebut baginda SAW telah diperlihatkan kepada pelbagai gambaran kehidupan di akhirat nanti. Juga perjalanan yang menemukan baginda SAW dengan para rasul sbelumnya, dan yang paling agung ialah perjalanan ke sidratul muntaha, iaitu titik hujung perjalanan yang tidak pernah ditempuhi sesiapapun kecuali Rasulullah SAW.

Di penghujung perjalanan adalah sebuah anugerah agung iaitu kesempatan menerima jemputan istimewa daripada Allah SWT, di mana antara anugerah istimewa di pertemuan tersebut adalah solat. Solat dikurniakan di langit, tidak sebagaimana perintah ibadah-ibadah lain yang diturunkan ke bumi melalui Jibril AS. Solat merupakan sebuah anugerah istimewa kerana ia dianugerahkan di langit ketika Rasulullah SAW diundang ke sana, melewati sebuah perjalanan agung Mi'raj.

Perintah solat adalah 50 kali sehari semalam. Jumlah itu dikurangkan setelah beberapa kali melalui proses permohonan oleh Rasulullah SAW supaya jumlah itu dikurangkan. Akhirnya Allah SWT telah mengizinkan solat dikurangkan kepada hanya 5 kali sehari semalam. Walaupun jumlah dikurangkan namun nilai solat tetap kekal pada 50. Bermakna ia sebuah anugerah keringanan beban tetapi tiada kekurangan nilai. Inilah rahmat Allah SWT.

kompleks al-Aqsa.

Solat merupakan sebuah anugerah, sebuah hadiah istimewa untuk kita umat Muhammad SAW. Inilah anugerah yang kekal dan diwariskan kepada kita sehingga akhir zaman. Maka solat perlulah dinilai dengan ukuran ini, kerana solat adalah sebuah ibadah terpenting, ia diterima di langit, dan solat juga adalah ibadah yang menghubungkan kita di bumi dengan langit. Solat itu sendiri merupakan mi'raj kita, yang kita lakukan sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam.

Kepada kita umat Islam, khususnya umat hari ini, solat tidak begitu diberi perhatian sebagaimana sepatutnya. Ramai orang Islam yang tidak bersolat, ada yang tidak cukup lima waktu, ada yang melalaikannya. Buktinya sangat mudah dilihat. Lihatlah masjid-masjid umat Islam. Bangunan indah dan besar kosong ketika asolat jamaah lima waktu, terutama waktu subuh. Masjid hanya penuh ketika solat Jumaat, seminggu sekali. Lebih sesak lagi ketika solat hariraya setahun sekali. Ini semua terjadi kerana mereka tidak benar-benar mengenali solat, tidak merasai keagungan solat dan tidak merasakan kemanisannya.

Solat adalah urusan langit yang dianugerahkan di langit. Ia merupakan ibadah penghuni langit dan bagi kita solat merupakan hubungan bumi dan langit. Maka solat merupakan sebuah anugerah yang memberikan kesempatan kita umat Muhammad untuk terus menikmati pengalaman mi'raj. Oleh itu bersolatlah, bermi'rajlah.

No comments:

Post a Comment