Thursday, December 17, 2009

Muhasabah di gerbang Hijrah 1431.


Menjelang maghrib tadi, doa akhir tahun baru sahaja dilafazkan, diikuti pula dengan doa awal tahun. Begitulah cara umat Islam menyambut datangnya awal Muharram setiap tahun. Doa adalah saripati daripada ubudiah dan doa terus dipanjatkan untuk mengukuhkan ubudiah kita kepada Tuhan.

Akhir-akhir ini kita sedang melalui hari-hari kehidupan kita yang diselubungi suasana yang tidak selesa sekali. Media massa yang menjadi cermin kehidupan masyarakat kita saban hari dipenuhi dengan berita jenayah, curi, rompak, rogol, ragut, pembunuhan akibat dendam, permusuhan dan juga rompakan. Selain itu kisah peras ugut along, penipuan oleh sindiket dalam dan luar negara, penipuan melalui skim cepat kaya, aktiviti seksual haram, dan kisah-kisah misteri tahyul masih menjadi bahan sensasi media. TV pula terlalu ghairah dengan drama-drama tahyul dan khurafat.

Dalam masyarakat pelbagai wabak penyakit sedang menyebar baik penyakit fizikal, mental dan emosi. Wabak terbaru H1N1 selain denggi memberi ancaman kepada kesihatan fizikal. Sementara itu wabak kemurungan atau depresi dikenali sebagai satu gejala psikologi yang begitu serius. Wanita didapati lebih ramai diancam kemurungan. Kajian mendapati banyak kematian di kalangan wanita akibat kemurungan. Di kalangan remaja, penagihan dadah masih lagi menjadi penyakit nombor satu. Dadah adalah gejala penyakit menyeluruh, fizikal, psikologi, mental dan juga penyakit sosial.

Satu fenomena lama tetapi kini begitu menonjol ialah kehadiran gejala psikiatrik yang menyerang ramai orang dengan gejala histerikal, hilang ingatan, mengalami rasukan dan seumpamanya. Terasa seolah-olah pengaruh jahat jin iblis begitu berleluasa mengancam ketenteraman masyarakat. Popularnya khidmat dukun, bomoh dan para normal di samping pengamal rawatan Islamik, memberikan petanda betapa ramai orang yang sedang mengalami penyakit dalaman, penyakit ruhani.

Dari sisi holistik, semua gejala yang sedang kita depani ini adalah gejala kekurangan daya tahan tubuh atau imuniti diri. Imuniti diri dalam konteks ini adalah imuniti menyeluruh meliputi aspek fizikal, intelek, emosi, spiritual. Contohnya gejala dadah adalah satu gejala kekurangan imuniti diri. Gejala kemurungan, hesterikal yang sering dikaitkan dengan makhluk halus, adalah juga gejala kekurangan daya tahan diri, kekurangan keyakinan diri.

Sistem imuniti diri adalah rangkaian sistem tubuh yang dikawal oleh beberapa elemen diri kita sendiri. Antaranya ialah hati (hati dalam sifat ruhaniah), emosi, perasaan, sistem otak, saraf dan ia dikawal oleh sistem kepercayaan. Sistem kepercayaan bekerja pada sistem minda iaitu minda separa sedar (sub-conscious mind). Kajian psikologi moden sudah mengesahkan bahawa sistem ini begitu dominan, sebagaimana agama juga menekankan kepada sistem kepercayaan ini. Islam menamakannya sebagai iman.


Kembali kepada fitrah manusia, bermakna kembali kepada sistem ini. Kita orang Islam sudah sedia dibekalkan dengan sistem imuniti diri yang sangat kukuh, iaitu iman. Imanlah yang menyelamatkan kita selama ini daripada segala ancaman pelbagai gejala penyakit, baik penyakit fizikal, emosi, mental dan spiritual. Hasilnya kita hidup dalam sejahtera atau salam, yang jelas dalam Islam yang kita jadikan cara hidup kita selama ini.

Iman yang ditegakkan melalui tauhid membawa kita kepada satu dimensi di mana kita bebas daripada segala ancaman makhluk, baik manusia, syaitan, kuman, virus, atau apa sahaja. Oleh kerana kita sentiasa bersandarkan kepada kekuatan Khalik, Tuhan Pencipta alam ini, maka seluruh diri kita, kita bebaskan daripada segala ikatan yang melibatkan makhluk. Minda kita bebas daripada rasa takut kepada makhluk, takut kepada situasi, keadaan atau apa sahaja kemungkinan kerana minda kita berada di wilayah tawakkal: sesungguhnya semuanya adalah milik Allah, dan sesungguhnya kepada-Nya kita kembali.

Inilah prinsip Sunnah - Sunnatullah. Kita boleh mengatakannya hukum alamiah, dan ia adalah asas sains, asas kepada emperikal. Dalam semangat Hijrah ini, marilah kita kembali menggilap kefahaman dan pengertian kita pada prinsip Sunnah ini. Marilah kita bermula pada prinsip ini dalam mengatur langkah ke hadapan, menjejaki hari-hari baru di tahun baru 1431 ini. Marilah kita jadikan tahun baru Hijriah ini satu hijrah yang lebih bererti dengan kesedaran untuk kembali. Taubat dalam bahasa Arab juga bermakna kembali. Kembali adalah langkah terbaik setelah kita tersasar atau tersesat. Jalan kembali adalah jalan terbaik setelah jalan di hadapan kita sudah tidak jelas, sudah hilang matlamatnya. Marilah kita kembali kepada Sunnah ini, kembali kepada Dia yang sentiasa mendepangi tangan Rahmah-Nya, kembali kepada fitrah diri dan hidup dalam lingkungan alami.


Selama ini kita menghabiskan masa untuk berfikir, berikhtiar, berjuang, bekerja keras tetang hal-hal kehidupan di luar diri kita. Kita belajar dalam kontek mencari status intelektual melalui sijil, diploma dan ijazah; yang mana kemudiannya kita gunakannya untuk mencapai cita-cita kerjaya. Kita pun bekerja, menjawat pelbagai jawatan tinggi, dan akhirnya kita pun merasa telah berjaya dengan imej-imej besar pada pangkat (pangkat besar), kereta besar, rumah besar, keluarga besar, dan semuanya besar. Akhirnya kita pun bersara. Di hujung usia kita pun mula menilai semula hidup yang sudah dilalui. Rupa-rupanya glamour masa silam hanyalah fatamorgana belaka, dan ia rupanya bukanlah apa yang sebenarnya kita cari.

Di saat beginilah kita pun kembali, kembali kepada hakikat diri, kepada fitrah diri, fitrah alam, kembali kepada Tuhan. Kita pun menjadi lebih ghairah untuk masuk jauh ke dalam diri, ke dalam hati, ke dalam hati nurani, jauh ke lubuh hati nurani. Di situlah kita menemui qalbu, atau fuad, iaitu hakikat diri kita sebenar-benarnya.

No comments:

Post a Comment