Wednesday, December 30, 2009

lagi-lagi pesta tahun baru ...


Esok tahunn baru 2010. Baru dua minggu lalu kita menyambut awal Muharram, tahun baru Hijriah 1431. Apalah maknanya untuk terlalu ghairah menunggu detik 12 tengah malam menyambut kedatangan tahun baru? Apakah kita patut terlalu gembira menunggu kedatangan tahun baru?

Sewajarnya kita sedih setiap datangnya tahun baru, kerana kita sebenarnya telah kehilangan usia setahun. Maknanya usia kita bukan bertambah panjang, sebaliknya semakin pendek. Hayat kita semakin dekat ke penghujung. Itulah hakikatnya.

Budaya menyambut tahun baru yang keterlaluan yang kita amalkan di Malaysia ini budaya siapa? Apa faedahnya dan apa manfaatnya. Sambutan dengan pesta dan perayaan meriah, diisi dengan budaya hedonisme, bukanlah caranya kita orang-orang Islam. Malangnya yang paling ramai mengunjungi pesta-pesta dan perayaan ini adalah kita orang Melayu (orang Islam). Tdak sedar lagikah kita bahawa selama ini kita menghayati tradisi menyambut tahun baru yang bukan tradisi kita. Kita telah menghabiskan masa, mensia-siakan waktu, menghabis belanja hanya untuk berseronok dan melayani selera dan nafsu dengan aktiviti melalaikan.


Salahnya kerana pemimpin kita (orang Melayu/orang Islam) yang merelakan pesta-pesta begini diadakan. Malahan ia disokong dengan kehadiran pemimpin atasan ke pesta-pesta sedemikian seolah-olah ia satu aktiviti negara. Media massa dan jentera Kerajaan turut memberikan sokongan dan publisiti. Sudah tiba masanya semua kerja-kerja sia-sia dan tidak bermanfaat dan melalaikan ini dihentikan. Pemimpin negara perlu memulakannya.

Masyarakat pula perlu sedar, kita selama ini membuang banyak masa dengan pesta-pesta begini yang tiada manfaatnya. Mungkin syarikat-syarikat penaja membuat untung, tetapi rakyat membuang wang mereka. Lebih sedih lagi apabila ibu bapa yang begitu bersemangat akan membawa anak-anak kecil mereka ke pesta-pewta sedemikian. Ini satu pendedahan kepada budaya asing yang tidak selari dengan semangat kita orang Islam.

Menjelang 2010, apakah orang Melayu tidak juga mahu sedar lagi, dan mahu terus ber-pesta dan berheboh-heboh dengan pelbagai jenis hiburan. Apakah kita belum mahu menukar imej hedonisme di kalangan kita yang suka berpesta-pesta, berseronok, bersenang-senang, membuang masa di tempat awam. Jom Heboh, misalnya satu perniagaan besar kepada penganjur tetapi memperalatkan sikap hedonisme Melayu. Yang rugi orang Melayu, yang untung adalah penaja dan syarikat perniagaan yang mengambil bahagian.

Tahun baru akan datang, dan terus akan datang setiap tahun, tetapi orang Melayu di mana? Tidakkah Melayu akan hilang dari peta dunia?

No comments:

Post a Comment