Sunday, January 10, 2010

Isu yang lebih besar.


Waktu ini masyarakat Malaysia sedang kecoh dengan beberapa insiden membaling bom dan kerja jahat merosakkan rumah ibadat, gereja dan juga surau. Semuanya bermula daripada reaksi masyarakat Islam yang begitu sensitif tentang isu penggunaan nama Allah oleh pertubuhan Kristian dalam penerbitan mereka. Isu penggunaan nama Allah telahpun diharamkan oleh KDN tetapi pihak gereja membawanya ke mahkamah. terakhir mahkamah memberi kemenangan kepada pihak gereja, membenarkan meeka menggunakannya. Akibat keputusan mahkamah itu telah menaikkan kemarahan rata-rata umat Islam yang tidak boleh menerimanya.

Inilah isu semasa, yang sedang panas. Namun diharapkan rasional akan menguasai jiwa orang Malaysia agar terhindar segala impak buruk daripada isu ini. Perbuatan merosakkan rumah ibadat adalah kerja orang jahat, bukan kerja orang yang beragama. Ini sudah pasti, kerana orang Islam khususnya dilarang keras melakukan apa sahaja kerosakan, apa lagi merosakkan rumah ibadat, biarpun rumah ibadat agama lain. Kita masih belum mengetahui siapa pelakunya, namun perbuatan itu tentulah memberikan kesan sentimen tidak sihat di kalangan pihak-pihak yang terlibat dalam isu ini. Sedikit sebanyak rasa masam (sour) telah wujud.

Inilah realiti Malaysia, realiti rakyat Malaysia yang bersifat majmuk. Kemajmukan dalam pelbagai sudut baik suku kaum, etnik, budaya, kepercayaan dan cara hidup. Sungguhpun pelbagai pendekatan diambil untuk menyatukan rakyat Malaysia termasuk slogan mutakhir 1 Malaysia, pada hakikatnya ia tidak mampu menafikan realiti kemajmukan ini. Maka terimalah semua berbezaan dan kepelbagaian yang wujud. Sungguhpun ada waktunya kita akan bertembung dengan hal-hal sensitif terutama melibatkan isu agama dan kepercayaan, namun kebijaksanaan dan sikap tasammuh yang dapat menghindarkan kita daripada terjebak ke dalam krisis atau konflik sebagaimana pernah terjadi pada tahun 1969 dulu.


Kita sedang melalui tahap-tahap perubahan di mana masyarakat beragama sudah mula membukakan diri mereka dan menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa. Dulu Bible hanya ditulis dalam Bahasa Inggeris. tetapi hari ini sudah ada Bible dalam bahasa Malaysia, bahasa Indonesia, kerana sebahagian penganut Kristian tidak boleh berbahasa Inggeris. Ini antara latar yang membawa kepada isu di atas. Selebihnya di Indonesia isu begini tidak timbul kerana sifat terbuka masyarakat di sana. Kristian menggunakan pelbagai istilah yang biasanya digunakan oleh orang Islam termasuk kitab, Tuhan Yang Maha Esa dan lain-lain. Pengaruh ini mungkin juga menular ke Malaysia.

Secara umumnya golongan spiritual akan mengambil sikap terbuka, kerana pada hakikatnya Tuhan kita hanya satu, iaitu Allah. Walaupun apa agama yang mereka anuti, hatta mereka yang tidak beragama sekalipun, tuhan mereka hanya Dia Yang Esa, bukan selainnya. Cuma agama-agama selain Islam menyalahi prinsip tauhid apabila menyengutukan Tuhan dengan makhluk, menghadirkan perantara dan sebagainya.

Apa yang penting orang Islam perlu mengambil teladan terbaik, iaitu kembali kepada Islam, kembali kepada ALlah SWT. Perbaiki mutu atau kualiti Islam kita, iman kita, ehsan kita. Kembali melihat ke diri sendiri, ke dalam keluarga sendiri, ke dalam masyarakat sendiri. Banyak lagi kelemahan dan ancaman dari dalam yang patutnya menjadikan kita lebih sensitif. Isu dadah, sesat (ajaran sesat bertopeng agama), khurafat (permobohan, kepercayaan kaurt pada hantu, jin, mistri), kebejatan moral, kelonggaran syariat, perpecahan, kejahilan, jenayah (membuang/membunuh janin dan bayi) dan macam-macam lagi kelemahan umat Islam adalah antara urusan besar umat Islam waktu ini. Seandainya kita mempunyai benteng kukuh, kita tidak bimbang ancaman dari luar, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment