Friday, January 8, 2010

Malap benarkah nurani insani?


(pembunuhan bayi menjadi-jadi)
Beberapa hari lalu, berita di media berkisar tragedi pembunuhan empat sekeluarga di Gemencih Negeri Sembilan. Akhbar melaporkan pembunuhan disyaki dilakukan oleh ahli keluarga sendiri yang mana motifnya masih belum diketahui. Dalam tempoh waktu singkat pihak polis telah dapat menangkap tertuduh dan ditahan reman untuk siasatan.

Apapun motifnya, pembunuhan empat orang sekeluarga, termasuk seorang yang putus kepala adalah satu peristiwa pembunuhan ngeri, yang amat mengejutkan masyarakat. Tanpa mengambil kira apa pun motifnya, pembunuhan sebegini tidak dijangkakan berlaku. Namun ia telah pun terjadi.

Amat menyedihkan kerana ia terjadi dalam keluarga orang Melayu, beragama Islam. Tertuduh pula seorang yang disebut oleh ahli keluarganya sebagai 'anak yang baik' dan berpendidikan pula. Maka apakah pelajaran yang kita boleh ambil daripada peristiwa begini?

Pembunuhan banyak terjadi sebagaimana dilaporkan oleh media massa. Pembunuhan termasuk pembunuhan kejam dilakukan dengan motif rompakan, penculikan, balas dendam, hutang atau disebabkan oleh gangguan emosi seperti penagihan dadah, hilang kewarasan atau sakit jiwa. Tak kurang pula kejadian pembunuhan yang dilakukan atas dorongan amalan karut seperti khurafat, perbomohan atau pemujaan syaitan.

Selain daripada faktor jenayah, pembunuhan seperti kejadian di atas agak mengejutkan dan sulit juga mengesan motifnya. Umumnya pembunuhan terjadi adalah akibat tindakan balas seperti pergaduhan atau mempertahankan diri ketika diserang dan sebagainya. Selain itu faktornya adalah emosi. Apabila seorang dalam keadaan tidak waras kerana tekanan emosi, dia boleh melakukan pembunuhan. Contohnya beberapa kejadian pembunuhan di atas jalanraya adalah kesan daripada emosi amarah yang melampaui sehingga mencetuskan tindakan kejam mencederakan dan membunuh mangsa. Emosi marah yang tidak terkawal adalah pencetus ketidakwarasan yang membawa kepada tindakan ganas luar biasa. Ia boleh jadi didorong oleh kesan tindakbalas spontan, atau dicetuskan oleh kebencian, dendam yang telah lama membara. Biasanya orang yang memiliki personaliti begini mempunyai latarbelakang dan persekitaran masa lampau yang buruk.

Walau apapun hujah psikologi, satu fakta nyata adalah manusia hilang waras, hilang pertimbangan, hilang rasa belas kasihan, rasa kasih pabila dirinya telah dikuasai anasir ketiga, iaitu syaitan. Syaitan adalah musuh nombor satu manusia yang kerjanya menghasut, merosakkan emosi manusia melalui emosi marah, benci, dendam, kecewa dan emosi-emosi negatif lainnya.

Al-Quran mencatatkan kisah pembunuhan awal yang terjadi di antara Qabil dan Habil, dua orang anak Nabi Adam as. Qabil membunuh adiknya Habil kerana rasa cemburu dan dengki kepada adiknya. Syaitan menghasut Qabil melakukan pertumpahan darah, maka terjadilah jenayah pembunuhan terawal di bumi.

Tragedi pembunuhan dan pertumpahan darah terus menerus terjadi sepanjang sejarah, hinggaalah ke hari kiamat. Manusia sememangnya cenderung melakukan jenayah ini, sehingga di skala lebih besar pembunuhan terus dilakukan dengan motif peperangan, penjajahan, penguasaan politik dan perebutan kuasa. Ini yang terjadi kini, di mana setiap hari berita melaporkan puluhan, ratusan orang mati akibat ledakan bom, bom kereta dan serangan roket. Di negara-negara yang sedang bergolak akibat penjajahan, peperangan saudara dan konflik politik, pembunuhan terjadi setiap hari, setiap jam.


(nurani insan telah gersang dari rasa cinta?)
MasyaAllah, inilah realiti kehidupan manusia di bumi. Tiada kuasa apapun yang dapat menghentikannya, kerana suratannya manusia cenderung mengikuti langkah syaitan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di bumi. Penyesalan datang kemudian, setelah fikiran kembali waras. Namun sudah terlambat kerana pembunuhan sudah terjadi.
Hukuman gantung sampai mati, hukuman tembak, pancung atau mati atas kerusi elekterik tidak pernah menakutkan manusia untuk terus membunuh sesama sendiri.

Di manalah kasih sayayang, di manalah belas kasihan, di manalah rasa kemanusiaan? Sudah malap benarkah nurani insani?

No comments:

Post a Comment