Tuesday, August 2, 2011

Tafakkur Ramadhan: zikrulmaut memberi energi.


Hari ini sudah masuk hari ketiga puasa Ramadhan. Terasa sangat pantas waktu berlalu, kerana baru sahaja Ramadhan datang, kini ia mula pergi, sehari demi sehari dan akhirnya kita terhantar ke akhir Ramadhan. Apa pantasnya waktu itu hanya satu perasaan atau itulah kenyataan? Sebetulnya itulah kenyataan dari sebuah kehidupan. Hidup ini teramat pendek, perjalanannya sangat singkat. Tiba-tiba kita terasa sudah sangat jauh meninggalkan masa lalu, masa kanak-kanak, masa remaja, masa dewasa dan kini semakin mengenjak ke senja. Kita hanya terasa sudah jauh berjalan apabila kita melihat ke sisi, anak-anak sudah dewasa dan berkeluarga, cucu pula semakin bertambah, sebahagian rakan sebaya sudah kembali seorang demi seorang.

Di saat kita menyedari bahawa perjalanan kita sudah jauh, kita akan lebih fokus kepada destinasi yang semakin mendekat. Perjalanan hidup di dunia pasti berakhir dan akan berakhir, cuma kita tidak pasti dan tidak diberi isyarat bila ia tiba. Lebih jauh lagi perjalanan kita ke hadapan, lebih jauh daripada jarak yang telah ditinggalkan. Perjalanan ke hadapan tiada sempadan, hanya kita bakal melewati beberapa perhentian. Kematian hanyalah satu perhentian awal menuju kehidupan akhirat yang abadi. Kematian bukanlah berhentinya perjalanan, cuma ia memasuki fasa baru di alam barzakh sebelum tiba ke alam baru, hidup abadi sesudah kebangkitan semula (Yaumuddin).

Di saat ini kita tiada pilihan melainkan memaksa diri membuat pilihan, memberi keutamaan kepada apa sahaja yang patut dilakukan. Maka ramailah orang yang ke masjid dan surau sesudah bersara daripada kerjaya. Mereka mendekati lokasi-lokasi yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan Rabbul Jalil lantaran sedar bahawa akhirnya kita semua akan kembali kepada-Nya. Mahu atau tidak mahu, bersedia atau tidak, tiba ketikanya kita pasti kembali kepada-Nya. Oleh itu orang bijak akan memilih untuk kembali dengan rela, dengan redha, penuh sedia. Di saat ini keutamaan adalah mengisi waktu dengan amal mulia, amal ehsan, amal soleh kerana hanya itulah bekal terakhir yang perlu disiapkan.


Orang bijak akan selalu ingat kepada kematian. Zikrulmaut adalah antara sifat mahmudah yang perlu ditancap kuat di dalam hati. Zikrulmaut bukan bermakna meremehkan dunia dan kehidupan di sini. Malahan zikrulmaut membawa kita kepada kesedaran positif dan proaktif untuk memberi makna penuh kepada kehidupan duniawi. Oleh kerana dunia adalah perjalanan awal menuju akhirat, maka kehidupan ini tidak boleh diremehkan, tidak boleh disia-siakan. Setiap detik waktu di sini mesti diisikan dengan aktiviti atau amal yang bermakna dan bernilai tinggi. Ketika inilah kita akan sentiasa memberikan keutamaan kepada hanya nilai-nilai murni. Kita akan terus fokus ke hadapan kerana di hadapan adalah suatu kesempatan; sedangkan di belakang kita hanyalah sebuah kenangan yang kadang-kadang tidak membahagiakan kita. Masa lalu juga tidak akan memberikan kita kesempatan untuk mengulangi semula amal-amal lalu. Namun begitu masa lalu adalah sebuah pelajaran sangat berharga untuk masa depan sekiranya kita mampu mengolahnya menjadi sebuah pengalaman, sebuah pengajaran, sebuah keinsafan, sebuah taubat. Jadikanlah ia sebuah titik untuk memulakan sesuatu yang baru, lebih baik, lebih murni dari semalamnya.

Syukurlah apabila kita sampai kepada satu titik di mana kita merasa sangat rugi kerana usia kita sudah sangat banyak yang berlalu sedangkan kita merasa bekal kita masih sangat kurang. Kita mula beremosional mempersoal diri sendiri: “kenapa dulu aku tidak menjadi begini...... kenapa dulu aku tidak belajar ilmu-ilmu ini ......... mengapa tidak ....... andainya ...... alangkah baiknya kalau aku dulu ...”. Syukurlah kerana kita sudah berada di atas titik keinsafan yang benar. Ingatlah bahawa itulah emosi yang positif kerana kita benar-benar mulai menghayati makna ayat 1 dan 2 dari surah al-Asri: “demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian”. Sesudah melewati titik tersebut, kita pun menjadi “orang-orang yang beriman, dan beramal soleh, nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat manasihati supaya menetapi kesabaran”.


AlhamdulilLah, kita sudah mendapat energi baru untuk meneruskan perjalanan ini dengan lebih bertenaga, lebih yakin, lebih optimistik. Dengan emosi baru yang lebih dinamik, sentuhan-sentuhan spiritual itu memudahkan kita menelusuri jalan ini, yang kita sebut-sebut tak kurang 17 kali sehari semalam “Siratul Mustaqim”. Rasakan sepenuh perasaan bahawa kita kini adalah diri yang baru, jiwa baru, entiti baru. Rasakan secara emosional. Biarkan sentuhan-sentuhan di dimensi spiritual ini membuat kita menangis, tersedu-sedu. Biarkan air mata itu mengalir di pipi kita, biarkan ia membasahi wajah kita kerana sudah dijanjikan air mata keinsafan itu akan menjaga wajah kita daripada bahang panas di sana nanti.

Air mata keinsafan ini akan menjernihkan pandangan hidup kita (world view) atau tasawwur kita. Kita akan melihat dunia dari sudut pandangan yang akan sangat berbeza daripada pandangan masa lampau kita, apa lagi pandangan jahiliah kita. Kita tidak lagi akan membiarkan diri kita berada di kiri, sebaliknya memastikan sentiasa berada di kanan. Maknanya kita mula mengurangi kebiasaan menghitung, mengira, logika dan aktiviti otak kiri; sebaliknya akan lebih banyak merasa, beremosi (yang positif dan membina), berkreatif, berimajinasi, berinovasi dan semua aktiviti otak kanan. Kita juga perlu lebih banyak melayani hati daripada melayani akal, lebih banyak bertadabbur, bertafakkur, lebih memerhati daripada hanya melihat.

Ingatlah bahawa titik ini membangunkan ghairah baru kepada kehidupan dunia dengan suntikan energi zikrulmaut.

No comments:

Post a Comment