Sunday, November 27, 2011

Maal Hijrah 1433


Marhaban ya Muharram, marhaban. Selamat datang Muharram 1433. Kami sentiasa menunggu kehadiranmu untuk meneruskan kehidupan, selama Allah SWT menganugerahkan kehidupan kepada kami.

Awal Muharram tlahpun datang dan telahpun berlalu. Maka akan menjelmalah hari-hari sesudahnya untuk kita isikan dengan amal-amal kebajikan. Semoga segala kekurangan masa lalu dapat diperbaiki di tahun baru ini. Semoga mana-mana perancangan yang belum dapat dilaksanakan, akan disempurnakan pada tahun ini, insyaAllah.

Setiap kali datangnya awal tahun baru, maka bertambahlah usia kita mengikut ukuran matematik. Orang berkata semakin panjanglah umur kita. Manakala sebenarnya umur kita semakin pendek, kerana datangnya tahun-tahun baru bermakna usia kita semakin berkurang dan mendekati kematian.

Marilah kita melihat kehidupan dan usia ini dari satu sisi yang benar. Usia hanyalah ukuran tentang masa. Biarpun tempoh satu minit, satu jam, satu hari, seminggu, sebulan dan setahun adalah sama sahaja kepada semua orang, namun nilai masa itu tentulah berbeza antara satu sama lain. Ada orang yang usianya panjang mengikut tempoh masa, namun nilai kehidupannya (nilai amalnya) tidaklah seberapa. Sementara itu ada pula orang yang usianya pendek, namun nilai kehidupannya sangatlah tinggi. Apa yang membezakan antara keduanya ialah bagaimana mereka mengisi masa-masa atau detik waktu dalam kehidupan mereka.


Oleh itu di saat-saat mengharungi detik-detik waktu tahun baru Hijriah ini, marilah kita bermuhasabah tentang nilai kehidupan kita masing-masing. Usahlah kita menghitung berapa usia kita, tetapi marilah kita menghitung-hitung nilai amal kita. Nilai amal inilah yang menentukan nilai sebenar usia kita, bukan hal-hal lain. Marilah kita renungi nilai hubungan kita antara kita dengan Tuhan dan antara kita sesama kita, juga hubungan kita dengan alam seluruhnya.

Hubungan vertikal kita dengan Allah SWT hendaklah diukur dengan neraca iman, taqwa dan ikhlas. Hitung-hitunglah amal soleh kita. Apakah timbangannya akan semakin memberat atau sebaliknya. Sementara itu perhatikan juga hubungan horizontal kita sesama manusia. Apakah hubungan itu menjadi semakin baik dan diberkati, atau sebaliknya. Janganlah lupa hubungan kita dengan alam kerana kehadiran kita di alam ini adalah satu wujud yang bersinergi dengan alam, dalam bentuk ekosistem dan kepelbagaiaan bio. Kurangkanlah aktiviti yang merosakkan alam sekitar, biarpun dengan usaha kecil seperti menghindari aktiviti membuang sampah di merata tempat.

No comments:

Post a Comment