Thursday, December 29, 2011

Salam 2012


Kita kini berada di pinggir 2011. Sehari lagi kita akan ditinggalkan oleh tahun 2011. Maka ramailah orang yang membelek-belek kembali segala pengalaman hidup sepanjang tahun 2011. Yang gembira, yang duka, yang bahagia dan yang sengsara dikenang-kenang. Mungkin untuk dijadikan pelajaran, atau mungkin sekadar nostalgia belaka.

Kita juga baru sahaja menyambut kedatangan awal Muharam 1433, di mana tahun Hijriah menyukat waktu melalui pusingan bulan secara alamiah. Setiap bulan dikira berdasarkan pergerakan dan perubahan pada pusingan bulan mengelilingi bumi. Bermula daripada anak bulan (hilal) hinggalah ia menjadi bulat penuh dan kembali semula kepada anak bulan, maka itulah tempoh waktu sebulan. Sementara itu jumlah hari bagi setiap bulan tidaklah sama. Biasanya ia mengandungi 29 dn 30 hari sahaja.

Berbeza dengan tahun Hijriah, tahun Masehi dikira berdasarkan bilangan hari yang telah ditetapkan sebanyak 30 atau 31 hari dalam satu bulan (kecuali satu bulan berjumlah 29 hari). Oleh itu maka jumlah hari dalam tahun Masehi lebih banyak berbanding dengan tahun Hijriah.

Biar apa pun, kiraan waktu melalui detik saat, minit, jam, hari, bulan, tahun, dekad dan abad, sangatlah subjektif kerana ia adalah kiraan matematik belaka. Apa yang lebih penting daripada hal itu ialah nilai waktu atau nilai masa. Ukuran nilai waktu ini tentulah tidak sama dengan ukuran matematik di atas.

Tuhan mengingatkan kita tentang waktu melalui banyak pesanannya. Antara yang sangat dekat dengan kita ialah pesan-Nya melalui surah al-Asr, yang mengingatkan kita betapa ruginya kita kerana mensia-siakan waktu. Kita diingatkan bahawa waktu yang bernilai ialah waktu yang diisi dengan iman dan amal soleh. Hanya itulah jaminan betapa tingginya nilai waktu, yang juga bermakna nilai hidup kita. Tanpa iman dan amal soleh, hidup ini tiada nilainya di sisi Tuhan.


Oleh itu kita tidaklah perlu terlalu taksub dengan sambutan tahun baru, sebagaimana orang lain merayakannya. Orang gembira kerana menjelangnya tahun baru kerana mereka merasakan usia meeka semakin bertambah, umur semakin panjang. Lantas kegembiaan itu disambut dengan pelbagai cara dan acara penuh keseronokan. Keseronokan hedonism ini kelihatan berlebih-lebihan.

Pada hakikatnya setiap kali menjelangnya tahun baru, usia kita semakin pendek, dan hidup kita semakin singkat. Maknanya kematian semakin mendekat. Andainya kita melihat tahun baru dari sisi ini, maka barulah kita sedar bahawa itulah hakikat masa. Setiap hari yang kita lalui, mengurangi sehari demi sehari usia kita. Maka usia kita bukan semakin panjang, sebaliknya semakin berkurang atau semakin pendek.

Maka di sinilah detik waktu yang sangat menginsafkan, betapa hidup ini sebenarnya satu tempoh waktu yang sangat singkat. Insaflah......

No comments:

Post a Comment