Monday, June 11, 2012

Teruknya politik kita!

Secara politik, negara kita sedang berdepan dengan ketidaktentuan masa depan politik. Masing-msing pihak baik pemerintah mahupun pembangkang (dalam konteks parlimen dan ADUN), masing-masing sedang berangan-angan untuk menang dan menguasai pemerintahan. Politik adalah jambatan kepada pemerintahan. Orang berpolitik adalah untuk berkuasa, untuk memerintah.

Akhir-akhir ini kita merasakan pelbagai hal yang tidak menyenangkan apabila melihat aktiviti orang-orang politik, iaitu orang-orang Malaysia yang begitu ghairah berpolitik. Dalam dunia demokrasi semua orang boleh bersuara. Namun dalam kes politik Malaysia kelihatan banyak sangat hal-hal yang tidak demokratik berlaku dan dilakukan sewenang-wenangnya oleh orang politik. Kita merasakan, seolah-olah orang politik begitu berkuasa melakukan apa sahaja asalkan ia dipercayai boleh memenangkan mereka.

Tanpa memihak, mana-mana pihak pun ada memperlihatkan ciri-ciri jelik ini. Dalam parlimen kita melihat menerusi media massa bagaimana wakil-wakil rakyat berdebat dan berhujah. Mereka sudah tidak merasa malu apa lagi merasa berdosa bercakap dengan bahasa yang tidak wajar dilafazkan dalam dewan yang mulia. Mereka beremosi dalam berhujah sehingga yang keluar adalah letusan emosi tak terkawal, bukan hujah bernas dan berfakta. Tuduh menuduh dan pergaduhan melalui kata-kata memperlihatkan suatu yang kita tidak mahu lihat terjadi dalam dewan rakyat dan DUN.

.

Aktiviti kurang matang oleh mereka yang mahu menjadi pemimpin, membuktikan betapa politik orang Malaysia sangatlah kotor. Mereka seolah-olah membenarkan tanggapan bahwa 'politik adalah permainan kotor'. Menggunakan kebebasan dewan dengan berkelakuan seperti anak-anak adalah satu yang sepatutnya memalukan diri sendiri. Namun yang terjadi, ada orang yang bangga berkelakuan sedemikian.

Satu sikap yang amat tidak wajar adalah pebuatan menelanjangi pihak lawan (khususnya secara peribadi) dengan pendedahan yang sangat mengaibkan. Mereka lupa betapa besarnya dosa membuka aib orang. Dalam politik dosa ini jelas dipermain-mainkan. Orang kelihatan begitu suka membuka kain orang, mempamerkan aib orang supaya diketahui umum. Dengan sokongan media yang terlalu taksub kepada sensasi dan sikap taksub kepada parti-parti tertentu, aib ini menjadi bahan bukan sekadar didengar dan dibaca tetapi ditonton oleh semua orang.

Pelbagai paparan video lucah dilakukan untuk tujuan tersebut. Pelbagai pendedahan demi pendedahan, mengorek cerita peribadi orang, hanya kerana mahu menjatuhkan mereka, ghairah dilakukan oleh orang-orang tertentu. Media pula amat ghairah menyiarkannya. Kini tiba-tiba muncul pelbagai NGO yang tidak tentu arah tujunya, menonjolkan imej peribadi pemimpinnya, untuk mendapat publisiti murah, kononnya menyokong pihak-pihak politik tertentu. Mereka dalam pertubuhahn NGO, tetapi terang-terang berpihak dalam politik. Apa dan siapa sebenarnya mereka yang sangat digemari oleh media ini?

Pilihan ke-13 sangat hampir, biarpun tiada siapa dapat meneka bila diadakan. Semakin dekat pilihanraya, kita melihat melihat orng-orang politik semakin ghairah beraktiviti. Majoritinya adalah orang-orang Melayu/Islam. Sebahagian besar mereka mabuk politik hingga lupa kepada nilai-nilai budaya Melayu dan syariat agama sendiri. Apa mereka ingat bahawa KUASA adalah segala-galanya sehinggakan untuk mendapatkan KUASA itu budaya bangsa dan akidah agama dapat dikesampingkan? Fikir-fikirlah!

No comments:

Post a Comment