Thursday, September 24, 2009

Dugaan Ramadhan berlalu, dugaan Syawal pula tiba.


Beberapa hari dari bulan Syawal sudah berlalu. Di luar sana orang masih sibuk beraya, berziarah, mengunjungi majlis rumah terbuka, jamuan di sana sini. Media massa (media elekronik khususnya) masih ghairah dengan pelbagai program hiburan. Mereka masih raya sakan, raya sungguh, kata orang.

Di sisi lain, mereka yang benar-benar menghayati Ramadhan masih dalam kesedihan kerana telah ditinggalkan Ramadham Mubarak. Kehadiran Syawal disambut seadanya, sekadar mengimarahkannya, mengambil barakahnya. Mereka mula berpuasa sunat Syawal (puasa enam hari) agar amalan sebulan berpuasa sepanjang Ramdhan dapat dikekalkan. Keseronokan berhariraya disederhanakan, agar keberkatan Syawal dapat dinikmati dengan pebuh hikmah.

Kini waktunya pelajaran daripada madrasah Ramadhan diamalkan. Salah satu pelajaran penting ialah kesabaran. Menahan diri daripada berlebih-lebihan atau bermewah-mewahan khususnya dalam makan minum. Sebulan menahan diri daripada makan minum di waktu siang hari telah memulihkan sistem pencernaan tubuh, di mana proses detoksifikasi telah dilakukan, organ-organ pencernaan direhatkan setelah sekian lama bekerja tanpa henti. Banyak gejala penyakit dapat dihapuskan khususnya gejala berkaitan makanan seupama diabetes, gastrik, tekanan darah tinggi, gout dan lain-lain. Oleh itu apabila makan siang hari dibenarkan, ia tidaklah sepatutnya dibiarkan sehingga merencatkan proses pemulihan sistem pencernaan yang mula membaik itu. Sikap tidak sabar berdepan dengan makanan akan mensia-siakan segala hikmah kesihatan yang kita perolehi sepanjang Ramadhan lalu.


Ramadhan telah mengurniakan kita kesihatan. Ramai pengidap gejala penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau hipertensi, gout, arthritis, gastrik, merasa segar dan sihat setelah menjalani puasa sebulan. Masalah kesihatan mereka semakin membaik tanpa memerlukan ubat, kerana ketika Ramadhan mereka terpaksa mendisiplinkan diri mengawal makan minum. Ini satu pendekatan terapi yang sangat berkesan tetapi sukar dilakukan. Mengawal diri, mengawal makanan adalah satu proses yang cukup sulit, sebab itulah ramai orang mengalami pelbagai gejala kronik. Sebetulnya mendisiplinkan diri, menjaga makan minum adalah proses terapi yang berkesan, lebih baik daripada berubat, dan kaedah ini menjimatkan. Masalah besar yang dihadapi oleh pesakit ialah masalah disiplin diri, yang menyebabkan gejala pennyakit yang dihidapi sukar sembuh biarpun ubat terus diambil. Banyak gejala penyakit yang memerlukan kawalan makanan di samping rawatan ubatan.

Mereka yang sedang menghidapi masalah kesihatan perlu belajar daripada hikmah puasa. Puasa mendidik kita berdisiplin. Hayatilah kesan didikan atau tarbiah puasa ini untuk mendapatkan kesembuhan. Secara alami, tubuh kita memerlukan perawatan secara alami di mana kita perlu kembali memahami fungsi fisiologi tubuh. Penyumbatan saluran darah (trombosis) terjadi akibat penimbunan lemak bertahun-tahun hasil daripada makanan yang diambil. Peningkatan kadar gula dalam darah juga berpunca daripada pengambilan gula (karbohidrat) berlebihan. Urik asid penyebab gout dan arthritis juga berasal daripada makanan. Inilah punca-punca umum kepada pelbagai gejala penyakit yang umumnya dihidapi oleh kebanyakan orang.

Puasa memberikan kita satu pelajaran yang sangat baik tentang kesihatan. Ia mengajar kita supaya makan dengan betul, iaitu makan ketika lapar dan tidak berlebih-lebihan mengambil makanan. Konsep halalan tayyiba merujuk kepada makanan yang halal di samping makanan yang berkualiti. Kualiti makanan adalah terletak pada khasiat pemakanannya atau nilai-nilai nutrisinya. Kita perlu menilai semula kualiti makanan yang sedang kita ambil. Apakah makanan yang kita hidangkan itu makanan segar, bersifat organik dan tidak tercemar. Kita mungkin mengambil bahan-bahan makanan segar yang dibeli dari pasar, tetapi kita tidak tahu samada makanan tersebut dihasil secara alami atau secara kimiawi? Penggunaan baja kimia dan racun-racun serangga ketika bahan makanan kita masih di kebun, akan sangat memudaratkan kesihatan pada jangka panjangnya.


Bersempena dengan idul fitri ini, marilah kita berfikir sejenak tentang fitrah, khususnya fitrah makanan. Konsep fitrah pada makanan adalah merujuk kepada keaslian atau tahap alami makanan tersebut. Makanan alami adalah makanan yang didapati daripada sumber dan cara penanaman yang tidak sama sekali menggunakan input kimia dan racun atau input-input yang tidak bersih. Hari ini memang sukar kita mendapatkan sumber bahan makanan alami atau organik ini. Namun begitu kita perlu berikhtiar mendapatkannya demi kesihatan kita sekeluarga. Sebab itu hari ini kempen kembali ke organik perlu diperjuangkan secara serius, kerana ia melibatkan soal kesihatan kita.

Kita juga perlukan makanan segar, bukan makanan diproses. Cara hidup dan gaya hidup moden telah membawa kita jauh meninggalkan makanan segar, sebaliknya semakin akrab dengan makanan berproses, makanan segera, yang kini sudah membudaya. Generasi muda begitu taasub dengan makanan segera. Ibu bapa yang sibuk sudah tiada waktu menyediakan sarapan untuk anak-anak, akhirnya mereka mendapatkan juadah di kedai makanan segera yang kini tumbuh bagai cendawan di musim hujan.

Anehnya, ketika kita baru sahaja meninggalkan Ramadhan yang mendidik kita dengan disiplin diri, kita sudah kembali ghairah dengan makanan. Kita sedang berdepan dengan hidangan mewah juadah yang menyelerakan di sepanjang Syawal apabila banyak jemputan rumah terbuka yang perlu diraikan. Nafsu makan yang berjaya dikawal sepanjang Ramadhan kini bagaikan terlepas dari kekangan, kitapun makan sepuas-puasnya.

Jadi apakah kesan tarbiah Ramadhan ke atas kita, ke atas kesihatan kita?

No comments:

Post a Comment