Thursday, September 17, 2009

Menggilap Fitrah.


Menjelang Idul Fitri umat Islam sedang bersiap sedia menyambut ketibaan fajar satu Syawal. Idul Fitri adalah hari kebesaran umat Islam di mana ia disambut dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan. Ia adalah hari kemenangan setelah sebulan Ramadhan berpuasa menahan nafsu dan memelihara diri dari segala larangan agama.

Idul Fitri dinamakan sedemikian kerana ia ada kaitan dengan perkataan fitrah. Menjelang Idul Fitri umat Islam wajib membayar zakat fitrah sebagai usaha membersihkan diri. Fitrah adalah ciri-ciri asal manusia, iaitu suci bersih, seumpama si bayi yang baru lahir ke dunia. Apabila disebut fitrah ia merujuk kepada keadaan bersih suci seumpama si bayi tadi.

Fitrah juga merujuk kepada ciri-ciri asal manusia, sebagaimana ciptaan yang mengikut acuan penciptaan Tuhan. Ciri-ciri fitrah manusia berasaskan kepada sifat-sifat manusia yang berbentuk fizikal dan spiritual. Inilah saatnya kita perlu benar-benar dapat membawa diri kembali kepada fitrah.

Antara ciri fitrah manusia ialah status manusia sebagai khalifah Tuhan, di mana pada status ini manusia adalah makhluk istimewa yang diberi kuasa mentadbir alam dan kehidupan di dunia berdasarkan perintah dan arahan Tuhan yang memberikan kuasa tersebut. Di dunia manusia menjalin hubungan dua hala antara langit dan bumi. Hubungan vertikal adalah antara manusia dan Tuhan, manakala secara horizontal, manusia berhubung dengan sesama manusia dan juga dengan alam di sekelilingnya.


Di hari mulia ini marilah kita bermuhasabah menilai status hubungan kita baik hubungan vertikal (hablun minalLah) dan hubungan horizontal (hablun mninan Nas). Apakah kita telah memaksimumkan keupayaan kita dalam hubungan dengan Tuhan, apakah kita telah memaksimumkan hubungan slaturrahim sesama manusia, dan satu lagi hubungan kita dengan alam di sekeliling kita. Hari ini kita diancam oleh cara hidup dan gaya hidup yang meremehkan kesemua hubungan ini. Keegoan dan sikap individualistik menjadikan kita begitu tertutup, dan tidak mahu membukakan diri kepada dunia di luar diri.

Apakah kita masih tidak juga memberi respon positif kepada panggilan Tuhan: apabila hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, katakanlah Aku sangat dekat, Aku memakbulkan segala permintaan (doa) orang-orang yang meminta (berdoa) apabila mereka memintanya kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran (petunjuk). (maksud al-Quran 2:186). Sangat sombong, sangat angkuhlah kita andainya setelah dihulur tangan Rahmatnya, kita masih tidak sudi menyambutnya.

Apabila kita tidak peduli pada panggilan langit untuk kita mendekati-Nya, maka kita telah menanggalkan sifat-sifat fitrah kita sendiri. Meremehkan iman adalah menyanggah fitrah diri, kerana jiwa halus (hati nurani) kita sejak azali sudah menerima dan mengakui Allah SWT sebagai Penciptanya; tiba-tiba apabila berada di dunia kita lupa kepada janji-janji ini. Pesona dunia dengan segala keindahan, keseronokan dan tarikan-tarikan duniawinya, telah melupakan kita tentang hakikat fitrah diri kita.

Apabila kita melupakan Tuhan, maka hati kita akan tertutup. Tertutupnya hati menjadikan kita berada dalam kegelapan (dzulman) dan kegelapan itu juga bermakna kezaliman. Tertutupnya hati menjadikan kita tambah sombong, tambah angkuh, dan merasakan semua kehebatan, kekayaan, kekuasaan di tangan kita adalah hak kita, milik kita. Keangkuhan itu menjadikan kita memandang remeh, memandang rendah orang lain di sekitar kita, di samping tidak mahu peduli lagi kepada alam di sekitarnya.

Watak begini ramai di sekeliling kita. Itulah watak Firaun, watak Namrud, watak Qarun dan Haman. Bermuhasabahlah agar kita dijauhi daripada menjadi seperti mereka. Mereka sesat dalam kehidupan dan menyesatkan ramai orang lain. Apakah keangkuhan mereka boleh menjamin mereka selamat, kekal dan abadi? Kita melihat dengan mata kepala kita, mereka sudah tiada, sebahagiannya ditelan bumi, ditelan lautan. Yang tinggal hanya kesan-kesan keagungan yang dibangga-banggakan mereka, tinggal menjadi bahan sejarah untuk kita belajar daripadanya.

Sifat sombong, angkuh, ego, bukanlah sifat fitrah manusia, tetapi sifat syaitan yang menderhakai Tuhan. Sebab itu apabila ada antara kita yang membiarkan hatinya dihidapi penyakit tersebut, mereka juga termasuk dalam golongan syaitan.



Marilah kita memeriksa diri kita, terutama di saat-saat kita berada di Idul Fitri ini. Marilah kita membuka hati kita, membuka seluas-luasnya ke langit, ke bumi. Mungkin kita jarang-jarang pulang ke lubuk hati sendiri, kerana sibuknya kita dengan urusan duniawi. Hati nurani kita abaikan, kita kesampingkan, mungkin terlalu ghairah melayani akal dan kemahuan (nafsu). Hati nurani adalah jambatan yang menghubungi kita dengan langit. Hatilah tempat tumbuhnya iman, tempat suburnya taqwa, tempat berkembangnya emosi positif seperti kasih sayang, ikhlas, tawaddhu', kemaafan, dan semua emosi mahmudah. Emosi-emosi inilah yang mengangkat darjat diri kita menjadi 'manusia' yang kaya dengan kemanusiaan.

Kita dalam situasi untuk kembali kepada fitrah. Sebulan Ramadhan benar-benar telah membantu kita menggilapkan fitrah diri, untuk kembali bercahaya dan bersinar.

(Salam Idul Fitri kepada semua pengunjung blog ini, semoga Ramadhan mengubah arah hijrah ke maqam lebih baik lagi.)

No comments:

Post a Comment