Sunday, September 6, 2009

Kita perlukan tafsiran saintifik.

<
Terakhir ini kita melihat satu perkembangan dinamik di kalangan umat Islam untuk menghayati al-Quran. Penghayatan al-Quran tidaklah terbatas kepada aktiviti ngaji, membaca, bertarannum sahaja. Lebih dari itu al-Quran perlu ditadabbur, dibaca dengan memahami maknanya. Lebih afdhal lagi sekiranya dapat membaca tafsir, asbabun nuzul, dan ilmu-ilmu berkaitannya, apa lagi menghafalnya.

Kini pusat-pusat pengajian al-Quran termasuk pusat tahfiz al-Quran tumbuh subur di pelbagai daerah dan lokasi. Dari masa ke semasa ada sahaja pihak yang menubuhkan pusat-pusat sedemikian untuk mengembangkan ilmu al-Quran dan hafazan. Ini satu perkembangan yang sungguh mengagumkan. Kita sedang berdepan dengan satu kesedaran baru menghayati al-Quran di kalangan umat Islam di Malaysia.

Apabila banyak pusat-pusat pengajian al-Quran dan tahfiz didirikan, kita akan menikmati keberkahannya di mana ramai para hafiz akan berada dalam masyarakat. Waktu inipun sudah ramai para hafiz yang menjadi imam masjid dan surau. Solat tarawikh kini diimami oleh para hafiz yang boleh membaca semua surah-surah al-Quran, tidak lagi seperti dahulu. Imam-imam ini pula adalah anak-anak muda lulusan pusat tahfiz di dalam dan luar negara.

Semakin ramai para hafiz akan mempercepatkan lagi pertumbuhan pusat-pusat tahfiz baru kerana mereka ini sebahagiannya akan berusaha mengembangkan aktiviti pendidikan tahfiz di kalangan masyarakat. Selain itu terlihat ada kecenderungan masyarakat Islam untuk menyokong aktiviti sedemikian dengan memberikan sokongan kewangan dan juga sokongan moral. Di samping itu trend menghantar anak-anak ke pusat tahfiz sejak usia muda kelihatan begitu marak kini.

Perkembangan ini meyakinkan kita untuk melihat satu perubahan kepada pemikiran, sikap dan amal umat di masa depan. Perkembangan ini akan melahirkan ulama holisitik sebagaimana zaman kegemilangan Islam dahulu. Kita mengharapkan lebih ramai lahir profesional seperti doktor, peguam, jurutera, arkitek, ahli sains yang juga hafiz. Mereka akan menjadi pewaris Ulul-albab yang akan menampilkan wajah ilmuan Islam yang holistik. Sekiranya mereka ini menjadi pendakwah, mereka akan mengupas pelbagai bidang ilmu melalui pendekatan Quranik.


Waktu itulah kita menjangkakan lahirnya golongan Ulul-albab yang terus mengkaji dan menyelidikan segala sesuatu di alam dan di jagat raya ini, bagi melihat lebih dekat kebesaran Allah SWT padanya. Mereka inilah yang akan menepati maksud al-Quran: Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan peralihan malam dan siang itu terdapat tanda-tanda (ayat) kepada Ulil-albab.(Ali Imran: 190).

Hari ini kajian-kajian sains telah menemukan lebih banyak fakta baru tentang pelbagai bidang. Antaranya ialah bidang biotek. Bidang ini adalah sub-bidang biologi yang sangat dekat dengan hal-hal berkaitan alami (Sunnatullah). Kita mengharapkan lebih ramai saintis Muslim menerokai bidang-bidang ini kerana al-Quran sentiasa menyarankan kita memerhati, mengkaji dan memanfaat sumber alam ini secara baik.

Kita juga mengharapkan akan tiba masanya al-Quran akan ditafsirkan melalui pendekatan sains kerana terlalu banyak fakta-fakta sains yang akhirnya menyokong kebenaran fakta al-Quran. Apabila kita memiliki ulama al-Quran yang juga pakar sains, kita yakin mereka mampu menafsirkan ayat-ayat al-Quran berkaitan sains secara lebih komprehensif lagi. Sudah tentulah tafsiran-trafsiran baru ini akan menambah sempurnakan (komplementari) kitab-kitab tafsir sedia ada. Waktu itu kita akan menemui terjemahan perkataan zarrah dalam surah Al-Zalzalah tidak lagi diterjemahkan sebagai biji sawi, tetapi sebagai atom, nuklear atau nano (merujuk kepada wujud paling kecil).


(Air disebut oleh al-Quran sebagai asal segala sesuatu yang hidup termasuk manusia. 70% tubuh manusia adalah air, malahan tulang juga mengandungi air.)

Kenapa kitab tafsir kita kekurangan tafsiran mendalam tentang ayat-ayat yang menyebut tentang kejadian manusia misalnya. Oleh kerana ahli-ahli tafsir tidak mendalami bidang-bidang sains biologi, mereka tidak dapat menghuraikan dengan mendalam perkembangan proses kejadian manusia yang disebut dari tanah, kemudian dari mani, menjadi segumpal darah, menjadi pula segumpal daging dan tulang. Tulang belulang itu kemudiannya dibungkus dengan daging.

Apakah kita belum terfikir untuk menghasilkan sebuah tafsir saintifik yang boleh diusahakan oleh kelompok ulama yang mahir tentang ulumul Quran, bergabung dengan saintis-saintis kita, untuk mengupas secara mendalam ayat-ayat sains yang begitu banyak dalam al-Quran itu. Kebesaran al-Quan itu tentulah akan lebih terserlah kiranya kita dapat berbuat sesuatu bagi membolehkan orang melihat al-Quran sangat dekat dengan kemajuan ilmu semasa. Apa lagi jika diambil kira al-Quran sebagai mukjizat agung yang sentiasa akan segar dan serasi dengan perubahan dan perkembangan ilmu manusia.

No comments:

Post a Comment