Friday, August 12, 2011

Detik-detik taqwa, detik-detik kejayaan.


Banyak hal boleh disimpulkan tentang masa, namun satu hal yang jelas ialah masa itu adalah denyut nadi kehidupan. Ia adalah nyawa kita, hidup kita.

Mari kita melihat bagaimana satu bangsa itu memberi konsep kepada masa. Orang Inggeris berkata “time is running”. Orang Melayu pula berkata “masa berjalan”. Dua persepsi dari dua bangsa ini tentulah dapat memberikan gambaran tentang masa. Orang Inggeris melihat masa sentiasa berlari, sedangkan orang Melayu melihat masa berjalan. Berlari dan berjalan adalah dua situasi yang berbeza. Orang Inggeris tentulah lebih laju daripada orang Melayu kerana mereka berlari, sedangkan kita berjalan.

Pepatah Melayu menyebut “masa itu emas”. Dalam waktu yang sama dalam budaya Melayu terdapat ‘janji Melayu’ di mana apabila berjanji tentang waktu, mereka selalu akan lewat daripada waktu yang dijanjikan. Mereka terbelit dalam lingkaran ganas ‘janji Melayu’ sehinggakan sulit mengatur acara untuk orang Melayu. Penganjur perlu ‘berbohong’ dengan mempercepatkan waktu. Contohnya untuk acara yang hendak dimulakan pada jam 9 pagi, masa yang dicatat secara rasmi dalam kad undangan adalah 8.30 pagi. Tujuan ‘bohong’ itu hanyalah untuk memastikan mereka datang tepat jam 9 pagi. Kenapa orang tidak mahu datang tepat mengikut waktu yang ditetapkan? Semuanya kerana mereka sangat yakin, tiada orang datang pada waktu yang ditetapkan, maka lebih baik kita pun datang lewat sikit. Inilah belitan ganas yang menjadikan orang Melayu selalu lewat, kerana mereka ikut masa yang berjalan (berjalan pula dengan perlahan). Orang Melayu sepatutnya sangat kaya kerana mereka menyifatkan masa sebagai emas, dan orang Melayu mempunyai banyak masa, sehingga mereka boleh ‘buang masa’. Dalam waktu orang lain mengejar masa, mengisi masa orang kita masih cenderung membuang masa melalui aktiviti lagho dan tidak bermanfaat, borak kosong di kedai kopi, main dam, mengumpat, merempit, dan banyak lagi.


Ketika berkesempatan tinggal sebulan di Jepun 23 tahun lalu, saya sangat teruja dengan sikap orang Jepun yang sangat menghargai waktu. Mereka jauh lebih baik daripada kita, khususnya orang Melayu. Anehnya kita orang Islam tetapi mereka yang belum Islam, mengamalkan nilai-nilai Islam iaitu menepati masa. Ingatlah bahawa kita selalu lupa bahawa menepati masa itu adalah menepati janji, manakala menepati janji adalah salah satu ciri yang membezakan Islam dan munafiq. Nabi SAW menyebut, salah satu ciri munafiq ialah mungkir ketika berjanji!

Kita selalu membaca surah al-Asr, terutama ketika selesai sesuatu majlis, namun di awal majlis, masih sering bermula dengan janji Melayu. Nampaknya tabiat tak tepat waktu ini masih sukar dihilangkan. Akhirnya sumpahan waktu dalam al-Asr akan selalu jatuh ke atas diri kita jua.

Ramadhan ini moga-moga dapat memberikan petunjuk jelas tentang masa dan nilai usia kita. Kenapa Ramadhan dipilih Tuhan sebagai penghulu segala bulan, di mana pelbagai kemuliaan diletakkan di dalamnya. Ibadah puasa sebulan disajikan dalam Ramadhan. Puasa pula satu ibadah yang keikhlasannya tidak dapat disembunyikan, kerana tiada siapa yang mengetahui kita berpuasa atau tidak, melainkan Allah SWT sahaja. Sebab itu balasan baik puasa akan dibalas sendiri oleh Allah SWT.


Selain ibadah puasa, solat tarawikh yang biarpun hanya sunat, tetapi ia tidak dilakukan di waktu lain kecuali di bulan Ramadhan. Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan. Lailatul Qadr hadir hanya di bulan Ramadhan. Nilai ibadah wajib di bulan Ramadhan diganda menjadi 70 kali ganda, manakala ibadah sunat nilainya menyamai ibadah wajib. Malam Qadr pula diberi nilai melebihi 1 000 bulan atau 83 tahun lebih.
Dari sudut masa, Ramadhan adalah satu yang sangat signifikan. Ramadhan itu sendiri adalah bulan, iaitu sejumlah detik yang menjadi minit, kemudian menjadi jam, menjadi hari, menjadi minggu dan akhirnya menjadi bulan. Di hitung ke belakang (berdasarkan 30 hari), satu bulan mengandungi 30 hari, 720 jam, 43 000 minit dan 2 472 000 detik. Bermakna kita mempunyai hampir 2.5 juta detik yang sangat berharga di bulan Ramadhan. Apa lagi jika dihitung nilai Lailatul Qadr, nilainya akan jauh berganda. Hampir 2.5 bilion detik nilai waktu Lailatul Qadr. Itu hanyalah nilai kiraan kita, nilai sebenar di sisi Allah SWT, hanya Dia sahaja yang mengetahuinya.

Marilah kita isikan sepenuhnya detik-detik masa yang sangat berharga yang Allah SWT anugerahkan kepada kita sepanjang Ramadhan ini, semoga kita menjadi orang-orang yang bertaqwa, sedangkan taqwa itulah ukuran kita sebagai orang-orang yang berjaya.

No comments:

Post a Comment